1

2

3

4

Wednesday, March 4, 2015

Posted by Hijau FM On 5:18 PM


MEMAKNAI ISTIQAMAH DALAM PERJUANGAN
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my


PUCHONG: Istiqamah itu adalah tuntutan melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan Allah serta meneladani Rasul secara konsisten dalam semua urusan hidup.

Perwakilan Dewan Ulama PAS Negeri Pahang, Ustaz Aris Hazlan Ismail menegaskan perlunya beristiqamah dalam tiga perkara utama iaitu aqidah, ibadah dan akhlak.

Hurainya, beristiqamah dari sudut aqidah mestilah dengan mentauhidkan Allah dengan sebenar-benarnya serta menolak segala isme dan fahaman yang bercanggah.

“Tak kira sama ada ianya nama liberalisme, pluralisme, ataupun ianya bernama umnoisme sekali pun kita tolak segala-galanya. Yang kita terima hanyalah Islam. Kita tak terima isme-isme ciptaan manusia. Cuma perlu diingatkan para ulama jangan terlalu hanyut dengan masalah khilafiyah.

“Ada di kalangan cerdik pandai kita di bidang agama yang terlalu sibuk dengan perkara khilafiyah, mengungkit balik perkara yang telah dikhilafkan ulama 500 ribu tahun yang lalu, membincangkan semula perbalahan ataupun perkhilafan di kalangan para ulama di zaman silam.

“Membangkitkan semula teks usrah PAS yang kononnya bercanggah dengan aqidah Islamiyyah dengan aqidah sunnah wal jamaah kerana berbicarakan tentang tauhid rububiyyah, uluhiyyah dan asma’ wassifat mengatakan ianya bercanggah dengan aqidah ahli sunnah wal jamaah.

“Perkara ini telah pun menjadi khilaf di kalangan ulama sejak sekian lama. Cukuplah kita mengambil intipati yang penting, yang penting kita beriman dan mentauhidkan Allah SWT,” terangnya pada Multaqa Ulama Se-Malaysia II di Stadium Tertutup MPSJ, Serdang Jaya, di sini baru-baru ini.

Keduanya ujar beliau, istiqamah di sudut ibadat dengan memeliharanya sebagaimana Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang walaupun dalam keadaan mencebek beg kencing, beliau sanggup pergi ke pentas ceramah.

Ujar Ustaz Aris, bagi kebanyakan orang tentunya tidak sanggup dan berasa malu untuk melakukan sedemikian.

Manakala ketiga katanya, para ulama perlu beristiqamah dalam memelihara akhlak di mana tidak harus berakhlak sepertimana mereka yang menentang ulama.

Beliau juga menegaskan pentingnya alim ulama memahami secara mendalam makna istiqamah supaya golongan al-atba’ dapat difahamkan mengenainya.

Sementara itu perwakilan Dewan Ulama PAS Negeri Melaka, Ustaz Helmi Salleh menerangkan, walaupun para Rasul dan Sahabat RA merupakan golongan paling istiqamah, tetapi Allah tetap menyeru mereka untuk beristiqamah.

“Menunjukkan bahawa sifat istiqamah ini sangat penting, “muhimmun jiddan jiddan”, juga cara untuk mendapatkan pertolongan Allah dan kemenangan menegakkan agama Allah ini adalah mesti beristiqamah dalam perjuangan Islam. Begitu juga dalam pada masa yang sama juga, barang siapa yang tidak beristiqamah dan mereka ini cuba untuk memecahbelahkan jamaah, pada ketika itu amalan mereka itu ibarat sia-sia belaka,” ujarnya.

Beliau memetik hadis Imam Bukhari di mana Rasulullah menegaskan tidak bermanfaatnya amalan orang yang menyekutukan Allah dan menderhaka ibu bapa serta mereka itu lari dan memecahbelahkan perjuangan Islam.

Oleh sebab itu tegasnya, dalam perjuangan suci ini perlu diberikan komitmen setinggi-tingginya bersama para ulama yang ikhlas dan beramal dengan jiwa raga mereka.

“Dalam perjuangan ini kita mesti meletakkan al-wala’ wal barra yang utama di mana perkataan al-wala’ itu dari segi bahasa berasal daripada perkataan al-waliy yang membawa maksud dekat. Bersama kita dekat dengan pemimpin yang dikasihi Allah SWT. Dalam masa sama kita mengikut apa yang disuruh oleh Allah SWT, berikan ‘support’ dan juga kita memberikan pertolongan dan perlindungan dan mempertahankan kepimpinan ulama yang ada pada hari ini.

“Sama-sama juga memahami konsep wala’ dan barra, di mana isu yang berlaku pada hari ini sebilangan pimpinan ini tidak setuju dengan pandangan Presiden, terus menyatakan mereka ini “ana bariiun” yang membawa maksud bebas peringatan tajarrud dan berlepas diri.

“Ini menunjukkan bahawa apa yang dinyatakan oleh Muhammad al-Qittaani, al barra itu menjauhkan dan mengasingkan diri mereka ini makin jauh dengan jamaah. Sehinggalah mereka ini dalam masa yang sama bermusuhan setelah diberi peringatan kepada mereka,” pidatonya.

Istiqamah juga terangnya, adalah dengan sentiasa bermesyuarat di dalam urusan agama serta berazam kepada Allah SWT dan dalam menentukan sesuatu hukum atau sesuatu pandangan daripada jamaah, hendaklah kamu bertawakkal.


Posted by Hijau FM On 5:16 PM

Diterbitkan: 04 Mac 2015
Ditulis oleh SALMIYAH HARUN | FOTO M NASIR

KUALA LUMPUR: Menjelang Muktamar Tahunan PAS pada Jun ini kritik mengkritik dan label melabel dalam kalangan jemaah parti itu semakin hebat apatah lagi adanya media sosial seperti Facebook, merancakkan lagi perbuatan seperti itu.

Menyentuh perkara ini, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menasihati ahlinya agar tidak keterlaluan dalam melakukan perbuatan tersebut terutama apabila ia melibatkan isu dalaman parti.
"Ketika musim pemilihan ini biarlah kocak-kocak air sahaja janganlah terlalu 'over' sangat," katanya kepada Harakahdaily hari ini.
Namun katanya, PAS mengalu-alukan perbezaan pendapat tetapi perlu ada adab dalam menguruskan pendapat iaitu mesti siqah kepada pemimpin dan tidak membuat kenyataan terbuka kepada media.

Beliau juga mengingatkan ahli agar menjaga adab antara satu sama lain dan jangan sekali-kali membawa suara musuh di dalam parti.

"Jangan ada kritik mengkritik satu sama lain, kita kukuhkan jemaah, perkuatkan jemaah kita," tegasnya ketika mengunjungi Pejabat Harakah di sini hari ini.

Tuan Ibrahim juga akui cabaran media baru  ini merupakan cabaran yang sangat berat dan memberi kesan kepada PAS apabila ia disalahgunakan untuk menghentam parti sendiri.

Beliau berkata, PAS pernah menghadapi cabaran lebih besar lagi daripada ini iaitu pengunduran Datuk Asri suatu ketika dahulu tetapi waktu tiada orang tahu PAS telah berkelahi sesama sendiri.

"Tetapi hari ini, masing-masing berlumba-lumba untuk menjadi orang pertama menyebarkan maklumat di laman sosial. Kita tahu yang sibuk-sibuk ketika ini bukanlah pemimpin," katanya.

Dalam hal ini katanya, para pemimpin kenalah bersikap 'sejuk kepala' dan tidak perlu layan semua isu yang dicampak apatah lagi isu remeh temeh.

"Kalau kita tengok satu-satu isu itu besar, maka besarlah isu itu," tegasnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Oleh yang demikian beliau meminta ahli parti menyemak terlebih dahulu maklumat yang diterima sebelum disebarkan melalui media sosial.

"Biar sekalipun maklumat itu betul, janganlah disebarkan dan perlu difikirkan apa manfaat untuk parti jika maklumat itu disebarkan. Para jemaah perlu berfikir, apakah kita dapat pahala jika kita sebarkan maklumat tersebut," ujarnya.

Katanya, ahli PAS perlu juga melahirkan buruk sangka terhadap maklumat yang diterima bahawa maklumat itu mungkin daripada musuhnya untuk melaga-lagakan PAS.

"Perlu ingat dasar parti bagi hak kepada muktamar dan kepimpinan parti, oleh itu kenyataan itu mestilah dalam ruang lingkup kita walaupun kita ada perbezaan pendapat misalnya dalam Pakatan Rakyat juga mesti menghormati rakan-rakan dalam parti," tambahnya.

Tuan Ibrahim juga mengingatkan rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat agar menghormati dasar parti masing-masing dan tidak terbuai dengan rentak musuh.

"Cita-cita kita untuk tumbangkan BN, jadi kita mesti bina kekuatan bersama. Tidak mungkin kita sampai ke Putrajaya jika kita lemah," katanya. - HARAKAHDAILY 4/3/2015
Posted by Hijau FM On 5:14 PM

Diterbitkan: 04 Mac 2015
Ditulis oleh Harakahdaily

KOTA BHARU: PAS Kelantan akan mengumumkan nama calon pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Chempaka pada 8 Mac ini.
Timbalan Pesuruhjaya I PAS negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, tiga nama yang disenarai pendek telah dihantar kepada PAS Pusat untuk penilaian terakhir.
"Ketiga-tiga nama itu adalah anak tempatan Dun Chempaka. Mereka terdiri daripada golongan ulama dan profesional.
“Pengumuman nama calon mewakili PAS bagi mempertahankan Dun Chempaka akan dibuat di Pusat Tarbiah Islamiah (Putik),” katanya kepada media selepas mesyuarat Exco di di Kota Darulnaim hari ini.
PRK Dun Chempaka akan diadakan pada 22 Mac ini berikutan penyandangnya Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia 12 Februari lepas akibat kanser prostat.
Penamaan calon pula akan diadakan pada 10 Mac ini. Tok Guru menang di Dun berkenaan dengan majoriti 6,500 undi.
Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, ketiga-tiga nama tersebut bukan anak Allahyarham Tok Guru. -HARAKAHDAILY 4/3/2015
Posted by Hijau FM On 5:13 PM

Diterbitkan: 04 Mac 2015
Ditulis oleh RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Sebanyak 12 sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan (Yik) mencapai kelulusan 100 peratus pada peperiksaaan SPM 2014 yang diumumkan hari ini.
Sekolah berkenaan iaitu Maahad Muhammadi Perempuan (MMP), Maahad Muhammadi Lelaki, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Pulai Chondong, Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman Kok Lanas, Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah.
Maahad Muhammadi Pasir Pekan, Maahad Muhammadi Tumpat, Maahad Pengajian Islam, Maahad Ar Rahmah Kenali, Maahad Muhammadi Pasir Mas, Maahad Syamsul Maarif (P) dan Sekolah Menengah Ugama (SMU) (Arab) Rahmaniah Paloh.
 Manakala seramai 32 pelajar Yik pula memperolehi keputusan A dalam semua mata pelajaran. Daripada jumlah itu dua pelajar memperolehi 12A dalam semua mata pelajaran yang diambil.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata empat pelajar mencatat keputusan cemerlang.
Ain Atiya Azmi Nazmi dari MMP memperolehi 11A (10A+,1A), Abdul Wafi Misbah memperolehi 11A (10+,1A-), Faqihah Yusof Maahad Syamsul Maarif Perempuan Pulai Chondong 12A (9A+, 3A) dan Ghazian Amin Mukhtar (12A) dari Maahad Muhammadi Tumpat.
Dr Fadzli berkata, seramai 4,828 pelajar sekolah Yik menduduki peperiksaan SPM tahun lepas dan 143 orang daripadanya memperolehi 9A hingga 12A.
“Daripada jumlah calon SPM seramai 4492 orang atau 93.04 peratus layak mendapat sijil. Keputusan keseluruhan merosot 0.4 peratus berbanding 2013.
“Penurunan itu kerana syarat baru persijilan mulai 2013 yang mewajibkan lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah untuk melayakkan mendapat sijil,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/3/2015

Tuesday, March 3, 2015

Posted by Hijau FM On 11:54 PM

Dewan Pemuda PAS Sarawak mengucapkan tahniah kepada anak-anak Sarawak atas keputusan SPM yang diumumkan hari ini. Keputusan yang diumumkan hari ini mencatatkan sejarah apabila keputusan 2014 merupakan yang terbaik dalam tempoh 11 tahun sejak 2004. Pencapaian calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 di Sarawak mengikut nilai Gred Purata Negeri (GPN) adalah 5.44 berbanding 5.31 pada 2013.

Menurut pengumuman oleh Pengarah Pendidikan negeri, Puan Hajah Serina Sauni, tujuh buah sekolah mencatatkan prestasi cemerlang dalam semua mata pelajaran iaitu SM Sains Kuching, SM Sains Miri, SM Sains Kuching Utara, SMP Lodge Kuching, MRSM Betong, Kolej Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah Kuching dan SMK St Elizabeth, Sibu.
Keputusan ini membuktikan kemampuan anak Sarawak untuk berjaya dalam bidang akademik. Sebelum ini, anak-anak Sarawak juga telah membuktikan kemampuan dalam bidang-bidang lain seperti sukan dan kebudayaan.

Dewan Pemuda PAS Sarawak juga menyokong aspirasi Ketua Menteri Sarawak untuk memajukan prestasi pendidikan Sarawak termasuk usaha menambah guru daripada kalangan anak Sarawak untuk berkhidmat di negeri ini.

Namun, Dewan Pemuda PAS Sarawak mengingatkan supaya kejayaan ini hendaklah tidak mengabaikan pelajar di luar bandar dan pedalaman Sarawak. Fasiliti dan mutu pengajaran di luar bandar hendaklah tidak diabaikan dan ditambah baik.
Pendidikan agama terutama pembangunan sekolah agama juga hendaklah dipertingkatkan bagi melahirkan pelajar yang serba boleh.

Dewan Pemuda PAS Sarawak juga ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada guru-guru seluruh Sarawak atas kejayaan ini. Jasa baik, pengorbanan dan keringat guru-guru amatlah dihargai dan semoga mendapat balasan oleh Allah s.w.t.


M Arifiriazul B Paijo
Ketua Pemuda PAS Sarawak


Posted by Hijau FM On 7:22 PM

Diterbitkan: 03 Mac 2015
Ditulis oleh Dato' Mahfuz Omar

1. Alhamdulillah, pada hari ini saya bersama ibu Sirul, Puan Piah Samad,adiknya Noriatin Omar serta ahli rombongan telah diberikan kebenaran untuk bertemu dengan Sirul di Pusat Tahanan Imigresen Villawood,Sydney. Pertemuan ini berlangsung selama hampir dua jam iaitu bermula Pukul 5.30 petang sehingga Pukul 7.30 petang waktu di sini.
2. Saya berpandangan misi kemanusiaan ini berjaya apabila dapat mempertemukan seorang ibu kepada anaknya yang dikasihi. Puan Piah membawa sambal bilis dari kampung manakala saya membeli anggur dan kasut sukan yang dipesan oleh Sirul. Suasana begitu hiba dan sayu bagi kami pada saat mula pertemuan tersebut apabila si ibu dan anak berpelukan. Tangisan air mata kerinduan seorang ibu kepada anaknya yang berjauhan dan belum tentu nasib yang melanda.
3. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Australia khususnya pihak berkuasa Pusat Tahanan Imigresen yang memberikan kebenaran kami bertemu Sirul. Sirul juga menyatakan salam penghargaan buat semua yang prihatin terhadapnya.

Dato' Mahfuz Omar,
Ketua Penerangan PAS
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS
Posted by Hijau FM On 7:19 PM


KRISIS EKONOMI :
IMPLIKASI & PENYELESAIAN ISLAM


1. Kejutan minyak (oil shock) berikutan kenaikan harga minyak akibat peperangan antara Mesir dan Israel telah mengakibatkan Malaysia mengalami krisis ekonomi pertama sejak 1970 iaitu pada 1973/74. Kesannya, bagi tempoh 1970 hingga 1980, pertumbuhan ekonomi negara hanya meningkat 0.8% pada 1975 iaitu paras terendah bagi tempoh itu.

2. Revolusi Iran pula sekali lagi menyebabkan berlakunya ‘oil shock’ pada 1978. Ia sehingga menyebabkan negara-negara maju yang menganggotai Organisation for Economic Cooperation dan Developement (OECD) yang berpendapatan tinggi dengan Indeks Pembangunan Manusia (Human Developement Index, HDI) yang tinggi mengalami kemelesetan ekonomi. Negara membangun seperti Malaysia juga turut terjejas apabila pertumbhan KDNK meningkat perlahan pada awal 1980an berikutan kejatuhan eksport dan harga komoditi.

3. Akibat kelembapan ekonomi dunia dan kejatuhan harga komoditi seperti petroleum, kelapa sawit dan timah, ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 1% pada 1985. Berbanding pada 1984, kadar penggangguran meningkat sebanyak 2.7% kepada 8.5% pada 1985. Kesannya, perbelanjaan mengurus tidak dapat ditampung oleh Kerajaan kerana hasil pendapatan yang merosot teruk. Ia terus meningkat kepada RM20.1 bilion pada 1986 iaitu peningkatan sebanyak 7%. Defisit berkembar yang terjadi pada 1986 berpunca apabila akaun semasa imbangan pembayaran dan akaun semasa Kerajaan Persekutuan mengalami defisit serentak pada tahun tersebut.

4. Setelah Thailand diserang oleh penyangak matawang, Malaysia turut menimpa nasib yang sama pada Julai 1997 sehingga membawa kepada jualan menyeluruh di pasaran saham dan pasaran tukaran wang. Krisis kewangan Asia yang bermula pertengahan 1997 ini merebak sehingga hampir ke semua negara ASEAN termasuk Indonesia, Jepun, Republik Korea selain daripada Thailand dan Malaysia. Pada tahun tersebut, nilai Ringgit ialah RM4.10 bagi setiap dolar, iaitu kemerosotan sebanyak 50% daripada RM2.50 sebelumnya.

5. Sekali lagi Malaysia berhadapan dengan masalah ekonomi ialah pada akhir 2008 apabila pertumbuhan ekonominya hanya 0.1% dalam suku keempat diikuti dengan KDNK menguncup sebanyak 1.6% pada 2009. Kemerosotan kualti ‘subprime asset’ yang menyebabkan kegagalan institusi kewangan Amerika Syarikat pada 2007 membangkitakan kebimbingan secara meluas dalam pasaran kewangan global. Malaysia terkesan dengan kemelesetan global itu sehinggakan eksport merosot sebanyak 7.4% manakala pengeluaran kilang merosot sebanyak 11.1%.

6. Pada akhir 2014 pula berlakunya kejatuhan harga minyak global yang sudah pasti memberi kesan langsung kepada Malaysia sebagai negara pengeluar minyak. Kejatuhan ini sehingga mengakibatkan Kerajaan terpaksa melakukan semakan semula terhadap Bajet 2015 yang telah dibentangkan pada Oktober 2014. Dengan unjuran purata paras harga minyak baru iaitu AS$55 setong, defisit yang dikaji semula ialah 3.2% berbanding 3.0% seperti yang diumumkan sebelumnya dan perbelanjaan mengurus (operating expenditure) pula dikurangkan sebanyak RM5.5 bilion. Pendapatan negara juga berkurang RM13.8 bilion berikutan kejatuhan harga minyak ini. Mata wang juga mengalami susut nilai yang agak tinggi. Kini ia berada pada paras RM3.60 bagi setiap dolar.

7. Pada 2015 dijangkakan harga barangan akan meningkat sekaligus meningkatkan kadar inflasi. Pelaksanaan GST bermula April dan kenaikan semula harga minyak global khususnya akan lebih ketara bermula suku kedua nanti turut meningkatkan harga runcit bahan api itu dalam pasaran tempatan. Ia pastinya akan menambahkan beban kewangan yang terpaksa ditanggung rakyat.

8. Walaupun pada keenam-enam senario kelembapan atau kejatuhan ekonomi negara seperti yang dinyatakan ini dilihat berlaku kerana faktor luaran, namun, persoalan kesensitivitian persekitaran ekonomi negara terhadap perubahan luar agar mempunyai upaya kendiri bagi mengurangkan impak itu dan membangunkan ‘sustainble economic growth’ adalah sangat penting untuk dinilai dan disemak khususnya dengan kaca mata Islam. Malaysia sebagai negara yang mempunyai pelbagai sumber yang melebihi keperluan sepatutnya berada dalam situasi ekonomi yang sihat dan segar.

9. Akibat urus tadbir ekonomi dan kewangan negara yang bermasalah, keadaan bertukar menjadi sebaliknya; sumber yang ada tidak berkecukupan untuk menampung keperluan. Justeru, ia akan boleh membawa kepada kegawatan dan ketidakstabilan masyarakat, lalu memaksa negara itu meminjam, berhutang dan meminta bantuan daripada negara lain. Keadaan ini akan selamanya berterusan jika ia tidak ditangani melalui penyelesaian-penyelesaian yang bertepatan dengan kebijaksanaan akal manusia yang berteraskan wahyu Ilahi serta sifat amanah para pemimpin.

10. Bagi mencapai apa yang saya maksudkan tadi, panduan-panduan yang dikemukakan oleh Islam di dalam al-Quran dan al-Hadis serta amalan Sahabat perlu kembali menjadi teras pembangunan dan pengurusan ekonomi negara. Antara solusinya ialah;
PERTAMA
Perbelanjaan mestilah dibuat berdasarkan keperluan dan lebihan yang ada. Bukannya merancang dan berbelanja melebihi pendapatan.
“Mulakanlah dengan dirimu sendiri dan bersedekahlah. Sekiranya terdapat lebihan, maka ia untuk ahli keluargamu. Sekiranya terdapat lebihhan lagi (selepas penggunaan ahli keluargamu), maka berikannya kepada kaum kerabatmu. Sekiranya masih ada lebihan juga, maka begitu dan begitu. (Riwayat Muslim)
Bajet dengan perbelanjaan melebihi pendapatan selama 18 tahun berturut-turut menunjukkan kita membelakangkan panduan Islam ini.

KEDUA
Menegah daripada berlakunya pembaziran dan ketirisan; sama ada disebabkan kecuaian ataupun sikap tidak amanah.
“.....dan makanlah, minumlah serta janganlah kamu membazir. Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak suka kepada mereka yang membazir.” (Surah al-A’raf : 31)
Laporan Ketua Audit Negara menjadi bukti kukuh bahawa pembaziran dan ketirisan sentiasa wujud. Sama ada pencegahannya tidak berkesan atau sengaja dibiarkan perkara itu berlaku demi menjamin kepentingan-kepentingan pihak tertentu, ia tetap memberikan impak yang sangat negatif kepada kedudukan kewangan negara.

KETIGA
Menyediakan instrumen membolehkan rakyat memperolehi keupayaan memiliki "pendapatan boleh guna" (disposible income) bagi memenuhi keperluan asas minima seseorang.
Ia boleh dilakukan sama ada dengan pemberian bulanan oleh kerajaan sebagaimana berlaku di zaman Umar bin al-Khatab atau oleh tabung bantuan bersasar oleh korporat-korporat negara. Ini kerana konsep asas Islam ialah kerajaan tidak boleh membiarkan rakyat lapar tidak cukup makan dan tidak cukup pendapatan untuk keperluan asasi. Keadaan ini mendorong berlakunya jenayah.
Di zaman pemerintahan Sayyidina Umar bin al-Khattab seorang hamba milik Hatib bin Abi Balta'ah telah mencuri dan menyembelih seekor unta milik seorang lelaki daripada Muzainah kerana Hatib tidak memberinya cukup makan. Lalu Umar menegaskan kepada anak Hatib yang menguruskan hamba tersebut :
وَاللَّهِ لَأُغَرِّمَنَّكَ غُرْمًا يَشُقُّ عَلَيْكَ
"Demi Allah, aku pasti mendenda kamu dengan denda yang sangat berat."
Umar lalu mengenakan ganti rugi 400 dirham bagi unta yang dicuri dan disembelih dan 400 dirham lagi sebagai denda membiarkan hamba berlapar sehingga terpaksa mencuri. (Riwayat Imam Malik)
Hamba Hatib sepatutnya dipotong tangan kerana mencuri. Tetapi oleh kerana kelaparan menjadi sebab dirinya mencuri maka ia menjadi sebab untuk hukuman Hudud potong tangan digugurkan. Kesalahan pula dibebankan kepada tuan punya hamba yang menyebabkan hambanya lapar lalu mencuri.
Ia menjadi satu asas konsep bernegara bahawa tuan punya hamba atau majikan atau kerajaan tidak boleh membiarkan rakyatnya berlapar tidak cukup makan. Apabila berlaku rakyat kelaparan maka bebanan dan kesalahannya mesti dipertanggungjawabkan kepada kerajaan.
Bagaimana pula kerajaan hari ini yang gagal menguruskan ekonomi dan mengenakan pelbagai sistem percukaian seperti GST, cukai kenderaan yang tinggi, kenaikan harga rumah kerana monopoli dan manipulasi sehingga rakyat kelaparan tidak cukup makan? Apakah kerajaan tidak boleh dipertanggungjawabkan?
Harga barangan dan perkhidmatan, gaji bulanan pekerja dan item-item yang memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat termasuklah kos perumahan dan pengangkutan mestilah direvisi. Jika ia benar-benar berpadanan dengan kemampuan rakyat, pasti jenayah dan perkara munkar yang berlaku dalam masyarakat dapat dikurangkan dan dibasmi.

11. Saya rasa, memadailah tiga panduan yang ditunjukkan oleh Allah, RasulNya saw dan sahabat Nabi seperti Umar ini kita patuhi. Keberkatan pasti akan mencurah-curah ke atas kita semua. Keberkatan inilah “parameter” yang tiada dalam sistem atau model ekonomi selain Islam. Itulah punca sebenar kegagalan ekonomi sesebuah negara.

Sekian.
Oleh :
DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
(Ahli Parlimen Kuala Nerus / Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat)

Tarikh : 3 Mac 2015 / 12 Jamadilawal 1436H
Sila layari www.drtakiri.blogspot.com untuk artikel-artikel lain dalam pelbagai isu negara