2014 bakal jadi tahun 'barang naik'

KUALA LUMPUR: Tahun 2014 yang akan tiba beberapa hari lagi bakal menjadi 'tahun barang naik' ekoran kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang disebabkan oleh kenaikan harga minyak dan tarif elektrik.
Ahli ekonomi, Dr Rosli Yaakob berkata, kenaikan harga petrol Ron95 sebanyak 20 sen seliter September lalu menyebabkan kenaikan menyeluruh harga barangan dan perkhidmatan kerana petroleum adalah salah satu barangan asas di dalam ekonomi.
"Semua alat pengangkutan mengunakan bahan bakar ini untuk bergerak. Kesan langsung dan segeranya adalah kos perkhidmatan pengangkutan naik.  
"Perlu diingat bahawa perkhidmatan pengangkutan adalah satu perkhidmatan asas di dalam ekonomi dan semua barang-barang perlu diangkut dari lokasi pengeluaran ke lokasi pemasaran," kata bekas Penolong Gabenor Bank Negara itu ketika diwawancara Harakah.
Kenaikan harga bahan bakar ini, ujarnya akan menyebabkan kenaikan kos pengangkutan dan memberi kesan kepada kenaikan harga barangan.
Menurut beliau, tiada satu barangan pun dalam ekonomi yang tidak menggunakan perkhidmatan pengangkutan.
"Kalau ada pandangan bahawa kenaikan harga petroleum berpunca dari penarikan subsidi, ia  pandangan yang sukar dipertahankan," jelasnya.
Dr Rosli turut menyentuh kenaikan tarif elektrik yang menjadi bahan input penting dalam proses pembuatan barangan dan perkhidmatan.
"Tiada kilang pembuatan barangan yang tidak menggunakan tenaga eletrik hari ini? Apabila kos tenaga eletrik naik bermakna kos pengeluaran barangan dan perkhidmatan akan naik.
"Tenaga eletrik juga digunakan terus oleh pengguna untuk menerangi rumah kediaman mereka dan lain-lain keperluan rumah," jelas beliau.
Sehubungan itu, tambahnya kenaikan tarif eletrik akan menyumbang kepada kenaikan kos pembuatan barangan dan penyediaan perkhidmatan dan akhirnya menyumbang kepada kenaikan harga barangan pengguna di pasaran.
"Jelas bahawa kenaikan harga dua bahan asas dalam ekonomi ini pasti membawa kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan," ujarnya.
Menurutnya, adalah sukar bagi harga barangan dan perkhidmatan turun setelah mengalami kenaikan dan ini sekaligus akan menyebabkan inflasi.
"Dalam keadaan harga barangan dan perkhidmatan yang semakin mahal dan pendapatan rakyat tidak bertambah secepat kadar kenaikan harga, maka kesannya ialah kos sara hidup akan terus naik dan taraf hidup rakyat akan merosot.
"Kuasa beli setiap ringgit akan menjadi semakin terhakis," ujarnya.
Beban daripada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan  ini, ujar beliau akan dipikul oleh rakyat khasnya yang berpendapatan rendah dan miskin.
"Dengan menarik balik subsidi ke atas gula (juga bahan asas dalam ekonomi) dan petroleum, menaikkan harga tol lebuhraya, tambang pelbagai jenis pengangkutan dan dengan pengenaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mulai April 2015, kerajaan sebenarnya menjadi pecetus kitaran inflasi (inflationary cycle)  dalam ekonomi," ujar beliau.  
Soal beliau, adakah cetusan kitaran inflasi di dalam ekonomi yang ditanggung rakyat ini boleh dianggap sebagai "menjaga kepentingan masa hadapan ngara?"
Menurut beliau, demi kepentingan masa hadapan negara dan generasi akan datang, kerajaan perlu mendisiplinkan diri di dalam mengurus belanjawan negara.
Sehubungan itu, ujarnya kerajaan perlu mengikis sikap boros dalam berbelanja, menghapuskan pembaziran, menghentikan ketirisan dan mengekang budaya berhutang.
"Hasil dipungut banyak manapun sekiranya pemimpin negara tidak langsung terikat kepada satu disiplin belanjawan yang wajar, masa hadapan negara bakal tergugat dan generasi akan datang akan dibebani hutang besar seperti yang berlaku kepada negara Greece, Ireland dan Portugal hari ini," ujar beliau.      

0 comments: