2014 tahun kelaparan, ikat perut buat rakyat


KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan 2014 merupakan tahun kelaparan atau ikat perut bagi seluruh rakyat negara ini apabila kerajaan bertindak meluluskaan kenaikkan kadar harga tol dan terif elektrik.

Jelasnya rakyat terpaksa berhadapan dengan rantaian beberapa kenaikkan harga barang keperluan dan makanan susulan dari kenaikan kadar tol yang terus memberi bebanan kepada mereka.

"Saya melihat 2014 bukan tahun  yang mengembirakan rakyat tetapi terus memberi tekanan kepada seluruh rakyat.

"2014 adalah tahun ikat perut atau tahun lapar, rakyat terpaksa membuat catuan dalam perbelanjaan mereka, terpaksa berhadapan dengan satu fenomena yang teruk dari kenaikkan tersebut, " jelasnya kepada Harakahdaily.

Beliau dalam pada itu turut menasihati kerajaan agar tidak takut dengan himpunan yang diadakan pada 31 Disember nanti, jika kerajaan merasakan keputusan kenaikkan tersebut bukan satu kesalahan.

Katanya, kerajaan perlu memberi kebenaran kepada rakyat untuk menyatakan pendirian mereka dengan berhimpunan.

Malah jelasnya, himpunan yang diadakan itu tanpa menggunakan perbelanjaan berjuta-juta ringgit dari kerajaan dan kerajaan hanya perlu memberi ruang kepada rakyat untuk meluahkan perasaan mereka.

"Kenapa kerajaan nak takut bila rakyat berhimpun menyatakan ketidakpuashatian mereka dalam soal kenaikkan tersebut.

"Kalau kerajaan rasa keputusan kenaikkan itu betul dan wajar, maka tidak perlu takut dengan himpun itu. Kerajaan perlu membenarkannya agar rakyat dapat melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi untuk membantah.

"Lagi pun bukan menggunakan wang kerajaan, malah tiada perbelanjaan berjuta-juta ringgit dikeluarkan kerajaan. Semuanya dilakukan rakyat sendiri melalui duit poket mereka. Jadi wajar kelonggaran diberikan sepenuhnya," sambung beliau.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena turut menegaskan himpunan yang diadakan ada 31 Disember nanti merupakan satu perhimpunan yang aman.

Tegas beliau, kekacauan yang berlaku dalam perhimpunan hanya dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan bukan dari peserta yang hadir.

"Saya tegaskan himpunan ini berlangsung dengan aman, bukti telah ada pada himpunan sebelum ini.

"Kekacauan yang berlaku adalah disebabkan oleh pihak tertentu yang telah menimbulkan provokasi serta dengan andaian-andaian yang negetif," ujarnya.

0 comments: