DUA NEGARA BERSEMPADAN BANTU MANGSA BANJIR


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my


RANTAU PANJANG: Banjir besar yang berlaku kali ini bukan sahaja mempertautkan hubungan kemanusiaan sesama insan, tetapi juga mencantumkan dua negara bersempadan iaitu Malaysia – Thailand.

Akibat limpahan air dari Sungai Golok, sempadan antara dua negara tersebut telah luput dan bersambung satu sama lain hingga tidak membataskan hubungan keduanya.

Kesempatan itu telah dimanfaatkan pihak Thailand untuk menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir di negara ini.

Atas keprihatinan Thailand itu, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Ustaz Mohd Nassuruddin Daud telah memandu sendiri bot rombongan beliau untuk menyambut Pegawai Daerah Takbai, Som Sak Sitikworakan serta para pegawainya di Takbai.

Pihak berkuasa daerah Takbai itu hadir dengan sumbangan keperluan harian yang diisi penuh dalam sebuah bot serta dibawa melihat keadaan kira-kira 300 mangsa banjir di Pusat Pemindahan dalam Dun Meranti, di sini 30 Disember.

Semua mangsa terputus langsung hubungan jalan darat dan hanya dapat sampai dengan bantuan bot.

Som Sak ketika menyampai sumbangan tersebut telah melahirkan harapan agar ianya dapat meringankan beban mangsa menghadapi tahun baharu 2015.

Manakala Dato’ Mohd Nassuruddin pula merakamkan penghargaan terima kasih pihak Kerajaan Negeri Kelantan atas keprihatinan pihak berkuasa Takbai, Thailand itu.

“Hubungan rapat antara Thailand dan Malaysia ini kerana ramai daripada kita yang mempunyai hubungan persaudaraan,” ujarnya pada majlis ringkas penyerahan sumbangan tersebut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi yang turut serta dalam rombongan itu telah melahirkan penghargaan kepada Pemuda PAS diseluruh negara atas usaha membantu mangsa banjir.

Akuinya, banjir pada kali ini adalah luar biasa dan jumlah mangsa terlibat juga sangat ramai di mana Pemuda PAS turut memainkan peranan menyampaikan sumbangan keperluan dan tenaga tanpa mengira perbezaan aliran politik.

“Alhamdulillah, saya sangat berbangga ramai Pemuda-pemuda PAS daripada seluruh pelusuk negara turun bagi meringankan beban negeri-negeri Pantai Timur khususnya yang terjejas teruk akibat bencana banjir kali ini,” ujarnya mengulas perkembangan semasa gerak kerja Pemuda PAS.

0 comments:

SIARAN LANGSUNG MALAM MUNAJAT PERDANA DAN CHAT WITH ME


MALAM MUNAJAT PERDANA DAN CHAT WITH ME

Rabu (31 Disember 2014)

7.30 Malam 
Kuliah Maghrib
(Tajuk : Air, Nikmat @ Musibah?)
Bersama : Ust Nazmi Karim


8.30 Malam 
Solat Isya & Solat Hajat Perdana bersama:
YB. Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi bin Awang
(Presiden PAS)


Slot 1 “ Persembahan Nasyid Amal ”
-SeeDrain
-Shoutul Amal


10.00 Malam 
Slot 2 “Penampilan Istimewa”


Bersama:
UAI- Ustaz Nazmi bin Karim -Imuda


11.15 Malam 
Slot 3 “Chat With Me 2.0”
Bersama TG.Presiden PAS (AYoh Cik) dan UAI


Moderator : Ustaz Kamaruzzaman Abdullah


Imuda akan melukis gambar Ayah Chik dan UAI.


 Bidaan harga lukisan Ayah Chik dan UAI kepada hadirin khas Bantu mangsa banjir.
(bermula dengan RM500).


 Penyerahan plat kepada Ayah Chik, UAI, Ust Nazmi & Imuda.


12.00 Malam 
Asma’ Ul-Husna, Selawat & Doa (Semua VIP naik pentas)

0 comments:

KES AMBIL BARANG KEDAI DAN RUMAH ORANG LAIN KETIKA BANJIR OLEH DR ZAHARUDDIN ABD RAHMAN


KES AMBIL BARANG KEDAI DAN
 RUMAH ORANG LAIN KETIKA BANJIR 

Oleh : Dr. Zaharuddin Abd Rahman


SOALAN :


Apakah hukum seseorang yang terperangkap dalam banjir dan kelaparan atau kesejukan atau memerlukan barangan asasi lain kemudian pergi ke mana-mana rumah berdekatan atau pasaraya atau kedai lalu memecah masuk dan mengambil makanan yang masih boleh dimakan minum atau guna dan pakai. Adakah ini dikira mencuri atau kesalahan dosa besar di dalam Islam?


JAWAPAN :

Pertamanya, takziah diucapkan kepada semua yang terkena musibah dan ujian dari banjir terbesar negara yang berlaku pada hujung tahun 2014 ini.


Sebelum saya memberi jawapan dari sudut pandang hukum Islam, perlu diambil kira amaran pihak polis pada tarikh 30 Disember 2014, bahawa semua jenis menceroboh masuk kedai dan rumah adalah suatu kesalahan menurut undang-undang dan jika pihak polis menyerahkan kepda budi bicara mahkamah sekiranya individu yang menceroboh ditangkap dan dibawa ke mahkamah kelak.


Adapun dari sudut hukum Islam, hukum asal mengambil barangan milik orang lain tanpa redha dan izin sememangnya berdosa dan salah. Namun pertanyaan adalah dalam situasi tertentu di waktu banjir dan terperangkap serta kekurangan makanan.


Dalam situasi sebegitu dan bukan dibuat-buat, namun memang sebenar-benarnya tersangat mendesak keperluan kepada sama ada makanan, pakaian atau barang keperluan asasi sama ada untuk diri sendiri atau untuk mereka yang dalam rawatan (di hospital atau tercedera contohnya).


Maka Allah swt telah menyebut :-

فَمَنِ اضْطُرَّ فِي مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍ لِّإِثْمٍ فَإِنَّ اللّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Ertinya : Maka barang siapa terpaksa karena kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah Al-Maidah)



Para ulama tafsir mentafsirkan beberapa kalimah penting dalam ayat di atas iaitu :-

(مَخْمَصَةٍ) sebagai perut kosong dan kelaparan amat sangat. Demikian huraian Imam Ibn Kathir, Imam AL-Qurtubi, Alusi, Sheikh Rashid Ridha dan lain-lain.


Manakala kalimah (غَيْرَ مُتَجَانِفٍ) membawa maksud bukan secara sengaja atau suka-suka menyeleweng dan menceroboh untuk melakukan dosa dan mencuri.


Sebagaimana dihurai juga berdasarkan firman Allah swt yang lain tetapi berkaitan iaitu 

فَمَنِ اضْطُرَّ غير باغ ولا عاد فلا اثم عليه
Ertinya :Barangsiapa yang terdesak dan bukan berniat dan menceroboh sengaja dan bukan pula menyerang maka tiada dosa ke atas mereka. (Al-Baqarah : 173)


Demikian di petik dari huraian Imam Al-Qurtubi dan lain-lain ahli tafsir.


KESIMPULAN 

Kesimpulan jawapan ringkas bagi soalan yang diutarakan adalah :-


1. Mangsa banjir yang terperangkap lalu memecah masuk mana-mana rumah atau kedai berhampiran (yang tiada dijaga lagi oleh tuan milik kerana telah dipindah atau menyelamatkan diri) untuk mendapatkan bekalan makanan dan pakaian asasi yang sangat terdesak adalah TIDAK BERDOSA dan DIMAAFKAN di dalam hukum Islam. Mereka juga TIDAK DINAMAKAN PENCURI atau MENCURI. Malah jika wujud hudud dilaksanakan di sesebuah negara, kes sebegini TIDAK termasuk dalam hukuman yang boleh dikenakan hudud.


2. Pun begitu, ia tetap dikira kesalahan menurut undang-undang negara dan pihak polis menyatakan jika didakwa, terserah kepada budi bicara mahkamah untuk memutuskan keputusan terbaik berdasarkan keadaan dan situasi sebenar.


3. Jika mangsa banjir dapat membuat congakan jumlah nilai barang yang diambil, adalah terlebih baik jika mereka dapat membayarnya kemudian, di waktu sudah aman dari ancaman banjir. Jika mereka gagal membuat bayaran semula kerana kemiskinan atau kerosakan & kerugian terlalu besar, maka tanggungjawab mengganti beralih kepada zakat atau ke atas tanggungjawab negara.


4. Bagi pihak pemilik pula, jika mereka menghalalkan dan mengganggapnya sebagai sedeqah atau derma bantuan kemanusiaan. Insha Allah bakal diganjari Allah swt sebagai pahala buat diri mereka di akhirat nanti (khususnya jika muslim) atau balasan kebaikan di dunia bagi non muslim.


5. Memecah masuk secara menyerang dan merampas sedang wujud tuan rumah atau tuan kedai dan merampas dengan paksa adalah ditegah menurut hukum Islam. Sewaktu pemilik wujud, izin mereka mestilah dipohon terlebih dahulu.


6. Memecah masuk dan mengambil barangan secara berlebihan iaitu barang bukan keperluan asasi adalah diharamkan dan berdosa.



Sekian,
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Presiden MURSHID 

30 Dis 2014.



0 comments:

KENYATAAN MEDIA YAB USTAZ DATO' MENTERI BESAR KELANTAN 31 DISEMBER 2014


KENYATAAN MEDIA 
YAB USTAZ DATO' MENTERI BESAR KELANTAN

بسم الله الرحمن الرحيم

Kerajaan Negeri Kelantan sekarang dalam usaha memulih dan membangunkan semula lokasi- lokasi yang telah musnah dilanda banjir. Setelah saya sendiri meneliti situasi di tempat yang agak parah dilanda banjir seperti di Kuala Krai, ianya amat memerlukan sokongan dan bantuan daripada semua pihak khususnya Kerajaan Persekutuan. Bencana banjir yang berlaku ini hendaklah diteliti juga dari sudut pengajaran dan hikmah bagi meneguhkan akidah dan iman umat Islam.


Apabila saya mendengar beberapa pihak termasuk semalam YAB Perdana Menteri Malaysia ada menyifatkan bahawa banjir di Kelantan disebabkan pembalakan tidak terkawal ianya perlulah dirujuk terlebih dahulu kepada pihak Kerajaan Negeri. Sistem pembalakan di Kelantan pada hakikatnya telah mematuhi Kup Tahunan seluas 5,960 hektar setahun yg diluluskan oleh Majlis Tanah Negara malah pengurusan hutan di Kelantan telah diberi pensijilan MC&I SFM oleh badan bebas antarabangsa, manakala pembukaan kawasan untuk projek TLC semuanya perlu lulus EIA sebelum projek dimulakan.


Kejadian pembalakan yang tidak terkawal jika berlaku mungkin disebabkan penerokaan haram yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kerajaan akan melaksanakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan efektif dalam hal ini. Perlu diketahui juga bahawa insiden banjir boleh juga berlaku dengan beberapa faktor lain seperti fenomena limpahan air hujan yang berlebihan sebagaimana yang dilaporkan oleh Jabatan Meteorologi dan hal ini berlaku hampir di semua Negeri di Semenanjung Malaysia.


Disini juga saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak bermula daripada orang perseorangan, NGO, agensi Kerajaan dan swasta yang  sehingga kini tidak putus-putus menyalurkan bekalan kepada mangsa banjir di Negeri ini.



USTAZ DATO' HAJI AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan


Bertarikh : 9 Rabiul Awwal 1436 / 31 Disember 2014

0 comments:

Laporan Terkini Mangsa Banjir Banjir Dan Ramalan Cuaca MEDM PAS Pusat


‪#‎HLS‬: Help> Like> Share


Twitter: @medm_pas

Jumlah Terkini Mangsa Banjir pada 08:00 Petang 31 Disember 2014 ialah180,182 orang dengan melibatkan 45,479 keluarga




0 comments:

Zakat Dan Waqaf Tunai Untuk Bantu Mangsa Banjir


HARAKAHDAILY | .




KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan mengesyorkan supaya zakat dan waqaf tunai dimanfaatkan sebagai salah satu mekanisme untuk bantu mangsa banjir. Demikian kenyataan media DPPWP melalui  Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Mohd Farkhan Md Zain.



Cadangan ini berdasarkan pemerhatian setelah melihat harta benda rakyat, sekolah, masjid dan jalan raya yang rosak  ketika membantu mangsa banjir di Kelantan khususnya di kawasan Manek Urai dan Kuala Krai.




Berikut kenyataan penuh Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan;
Setelah beberapa kawasan di Manek Urai dan Kuala Krai semakin surut, kita telah melihat harta benda rakyat, sekolah, masjid dan jalan raya yang rosak. Sudah pasti ia memerlukan sejumlah peruntukan kewangan yang besar untuk memulihkan segala kerosakan tersebut.

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengucapkan tahniah atas kecekapan dan langkah pro aktif Kerajaan Negeri Kelantan yang telah mengambil langkah menubuhkan Jawatankuasa Khas (Task Force) Pasca Banjir dan penubuhan Tabung Amanah Bencana Banjir Negeri Kelantan yang telah diumumkan baru-baru ini.

Rentetan itu, DPPWP juga ingin menyarankan kepada seluruh Majlis Agama Islam Negeri untuk menyelaraskan pandangan yang telah dikemukakan oleh Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri. Beliau berpendapat agar peruntukan zakat harus diberikan kepada mangsa-mangsa banjir berdasarkan kepada kriteria tertentu menurut peruntukan asnaf al-gharimin.

Pengkategorian al-gharimin dilihat sesuai dengan keadaan semasa yang dihadapi oleh mangsa banjir yang memerlukan pemulihan harta benda yang berkemungkinan terpaksa menanggung hutang. Ia bertepatan dengan maqasid (tujuan) perlaksanaan zakat iaitu menjadi instrumen jaminan sosial dan kafalah (perlindungan) dalam masyarakat.

Selain itu, DPPWP juga menyarankan agar Majlis Agama Islam Negeri terutamanya di negeri Kelantan dapat mengoptimumkan instrumen waqaf tunai bagi membangun semula dan memulih institusi-institusi sosial seperti masjid, surau, sekolah, jalan raya dan dewan. Ia dapat meluaskan keberkesanan peranan institusi waqaf menerusi sumbangan jariah bersama daripada orang ramai. 

Tidak terhad kepada itu, syarikat-syarikat korporat juga boleh menyalurkan sumbangan menerusi waqaf tunai dan seterusnya membina hubungan strategik dengan kerajaan negeri terutamanya di negeri Kelantan. Malah, ia boleh mendapat pengecualian cukai pendapatan dan kelebihan-kelebihan yang lain.

Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) juga turut diseru untuk memanfaatkan dana waqaf sedia ada untuk diagihkan mengikut lima sektor yang telah ditetapkan iaitu waqaf keagamaan, waqaf pendidikan, waqaf kesihatan, waqaf perlindungan dan waqaf penjagaan makanan.

DPPWP optimis kedua-dua instrumen kewangan ini mampu meringankan tanggungjawab kewangan kerajaan negeri bagi mengurus semula kehidupan rakyat pasca banjir. Ia bertepatan dengan maksud Sabda Rasulullah SAW, 
"Perumpamaan bagi seorang mukmin dari sudut kasih, sayang dan lemah lembutnya mereka sesama mereka ialah seperti satu jasad, apabila mengadu salah satu anggota dengan satu kesakitan maka seluruh anggota badannya akan berjaga dan menanggung penderitaan tersebut" (Bukhari: 6011, Muslim: 2586). – HARAKAHDAILY 30/12/2014

0 comments:

Mengapa Bantuan Banjir Ada Gambar Pemimpin Umno?


ASLANI M | .






KUALA KRAI: Sukarelawan dari luar Kelantan mendakwa bantuan banjir kepada mangsa-mangsa agak lewat tiba di lokasi pemindahan disebabkan kerenah birokrasi.


Mereka mendakwa pihak berkuasa membuat sekatan di kawasan tidak jauh dari sempadan Pahang-Kelantan menanyakan pelbagai soalan kepada kenderaan bantuan banjir.




“Mereka tanya permit bawa bantuan banjir. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana mangsa sedang berdepan dengan kesukaran di tempat pemindahan banjir.




“Banyak kenderaan bantuan dari luar Kelantan terkandas kerana pihak berkuasa seperti cuba melengah-lengahkan perjalanan,” kata seorang sukarelawan dari Selangor.




Mereka juga mendakwa bantuan banjir yang diserah kepada pihak berkuasa di tempat-tempat yang sukar dilalui jalan darat difahamkan dilekat pembungkus berwajah pemimpin Umno.




Kata mereka tindakan melekatkan gambar pemimpin menyebabkan bantuan yang sepatutnya diagih lebih cepat mengambil masa untuk sampai kepada mangsa banjir. 




Dakwaan sukarelawan terbabit berasas apabila Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri dilaporkan berkata, apa yang penting sumbangan itu sampai kepada mangsa banjir bagi mengurangkan beban mereka.




“Tak apalah mereka hendak kecam. Yang penting barang-barang daripada kementerian sampai kepada mangsa banjir dan dapat membantu mengurangkan bebanan mereka,” katanya seperti disiar sebuah laman berita. - HARAKAHDAILY 30/12/2014

0 comments:

Angin Kencang, Laut Bergelora Hingga Esok


BERNAMA | .






KUALA LUMPUR: Angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor timur, Sarawak, Sabah (pedalaman, pantai barat dan Kudat) dan Wilayah Persekutuan Labuan dijangka berterusan sehingga esok.

    
Menurut Jabatan Meteorologi hari ini, angin kencang timur laut itu dengan kelajuan 60 kilometer sejam (km/jam) dan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.

    
Selain itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor timur terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut sehingga esok.

    
Jabatan itu juga memaklumkan angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga di perairan Samui, Tioman, Condore, Bunguran, Reef North, Layang-Layang, Reef South, Labuan dan Palawan juga dijanGka berterusan sehingga esok.

    
Angin kencang timur laut itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak. - BERNAMA

0 comments:

POB DUPP POHON KEPRIHATINAN GERAKKAN MISI


POB DUPP POHON KEPRIHATINAN GERAKKAN MISI

Oleh IZWAN ABDUL HALIM



KUALA LUMPUR: Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) telah menubuhkan Pusat Operasi Banjir (POB) DUPP dalam usaha menggerakkan misi bantuan dari kalangan anggotanya dan masyarakat ke daerah banjir seluruh negara.


Ia diketuai Pengerusi Lajnah Kebajikan DUPP, Dr Abu Bakar Abdullah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bencana DUPP dan Ketua Penerangan DUPP, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri selaku Pengarah POB DUPP.


Dengan kekuatan skuad 30 petugas bersama 9 pacuan empat roda dan dua kereta, misi pertama telah bergerak mengagihkan bantuan makanan bernilai lebih RM30,000 ke Dun Pasir Pekan, Bachok pada 27 Disember lalu.


Misi bantuan tersebut turut menyerahkan sumbangan kepada Adun Tawang, Dato’ Hassan Mahmood yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Kelantan sekaligus membuka POB DUPP bagi negeri Kelantan di Dun Tawang, Bachok pada hari sama.


Pada misi tersebut, skuad berkesempatan meninjau keadaan banjir berhampiran penempatan sekitar Jambatan Sultan Yahya Petra dengan menaiki bot di mana hampir kebanyakan rumah ditenggelami air hingga ke paras bumbung.


Skuad turut menyampaikan sumbangan kepada beberapa keluarga mangsa banjir yang masih bertahan di tingkat dua rumah masing-masing.


Pada keesokan harinya, skuad telah bergerak ke Chukai, Kemaman mengagihkan bantuan sebelum ke Kelantan semula menghantar bantuan untuk Dun Mengkebang di bawah seliaan Ustaz Ab Latif Abdul Rahman.


Sebanyak tiga POB DUPP ditubuhkan iaitu di Dun Tawang; Kolej Universiti Zulkifli Muhammad, Gombak dan Maahad Tahfiz wa Tarbiyah, Tok Jiring, Terengganu setakat 29 Disember baru-baru ini.
Sehubungan itu orang ramai diseru menghulurkan keprihatinan dan amal jariah dengan menghulurkan sumbangan ikhlas berupa barangan keperluan harian atau terus ke akaun CIMB nombor 8601765212 atas nama Tabung Kebajikan Dewan Ulamak PAS Pusat dan sumbangan ke akaun boleh dimaklumkan untuk rekod ke 013-746 0000.


Sementara itu Dato’ Dr Mohd Khairudin dalam ulasannya berkata, banjir di Dun Pasir Pekan dan Kota Bharu bukan kerana taburan hujan lebat, tetapi kerana limpahan air sungai Kelantan yang datang dari ulu sungai. 


“Limpahan air menenggelamkan kawasan sangat luas dan agak jauh daripada sungai sehingga rumah yang sebelum ini tidak pernah menghadapi banjir (turut) ditenggelami sehingga ke bumbung. 



“Di sinilah terserlahnya kekuasaan Allah yang di luar kemampuan manusia untuk mengatasinya. Maka ia mengajak seluruh rakyat dan manusia kembali kepada Allah dengan memohon keampunan-Nya seterusnya berdoa agar Allah segera menyelamatkan kita semua,” ujarnya kepada Harakah.

0 comments:

Bersiap Sedia Hadapi Banjir Gelombang Keempat


HARAKAHDAILY | .






KUALA TERENGGANU: Bilik Gerakan Banjir PAS Terengganu mengarahkan Bilik Gerakan Banjir Kawasan Dungun dan Kemaman untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlakunya banjir gelombang keempat.



Pengarah Operasi Banjir PAS negeri, Dr Azman Ibrahim menyatakan demikian merujuk kepada amaran hujan tahap merah yang dijangka melanda sekitar daerah Dungun dan Kemaman yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Metereologi Malaysia.




"Persiapan ini merangkumi persiapan bilik operasi untuk terus diletakkan dalam keadaan siaga, persiapan aset dan peralatan, penyusunan petugas serta stok bekalan barangan makanan dan keperluan lain untuk mangsa banjir.




Menurutnya, menghadapi musim tengkujuh yang berpanjangan dan belum sampai ke penghujungnya sehingga kini, memang tidak dinafikan menuntut banyak pengorbanan masa, tenaga, kos serta penggunaan aset yang banyak.




"Bagi pihak Bilik Gerakan Banjir PAS Terengganu, saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan di atas segala yang telah dilalui dan dicurahkan oleh semua petugas. Hanya Allah yang mampu membalasnya.




"Komitmen kita adalah untuk terus memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat kerana Allah," ujarnya kepada Harakahdaily.




Sehubungan itu, katanya penduduk yang berada di kawasan rendah serta berisiko dinaiki air dinasihatkan untuk terus berhati-hati dan berjaga-jaga serta memastikan keselamatan diri dan keluarga. -HARAKAHDAILY 30/12/2014

0 comments: