Kelantan sedia bantu bina semula kedai terbakar

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan membantu mangsa kebakaran di Rantau Panjang melalui beberapa kaedah selain bantuan Tabung Serambi Mekah yang diumum Menteri Besar sebelum ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, untuk membina semula kedai yang terbakar itu, kerajaan negeri akan menunggu laporan lengkap berhubung status kedai tersebut.

“Ini kerana kita mendapati sebahagian besar unit kedai tersebut milik individu,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco, di sini semalam.

Menurutnya, pada masa yang sama kerajaan negeri juga akan fikirkan cara untuk menyelesaikan masalah peniaga yang hilang tempat mencari rezeki.

“Sebelum ini Bazaar Siti Fatimah telah dibina dan mampu memuatkan seramai 150 orang penjaja,”ujarnya.

Tegasnya, memandangkan ianya terletak di kawasan bebas cukai popular, kerajaan negeri akan membantu agar ianya lebih proaktif.

Pada Isnin malam lalu sebanyak 74 deretan kedai di Rantau Panjang hangus terbakar kira-kira jam 11.00 malam.

Kerugian dianggarkan bernilai RM2 juta apabila premis yang mempamerkan jualan peralatan dapur, pakaian dan alas tidur itu hangus terbakar.

Bagaimanapun tiada kematian dilaporkan berlaku memandangkan semua peniaga telah pulang selewat-lewatnya jam 7.00 malam.

Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, Anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof, anggota exco kerajaan negeri, Datuk Hanifa Ahmad dan lain-lain pimpinan turut melawat tempat kejadian.

0 comments: