Kelantan tubuh pasukan khas banteras pembalakan haram

KOTA BAHARU: Kerajaan negeri Kelantan akan mewujudkan satu pasukan khas bagi menyiasat aktiviti pembalakan dan penerokaan tanah secara haram seperti yang dilapor berlaku di Hutan Simpan Lebir berhampiran Taman Negara Kuala Koh, Gua Musang.
         
Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata pihaknya mempunyai maklumat tidak rasmi berkaitan aktiviti itu di Hutan Simpan Lebir dan akan segera mengambil langkah sewajarnya bagi membendung kegiatan berkenaan.
         
"Pasukan ini ditugaskan untuk membantu kerja menyelia, menyiasat dan memantau aktiviti pembalakan di kawasan Hutan Simpan Lebir sebab kita ada maklumat tetapi tidak ada bukti yang jelas," katanya kepada pemberita selepas Program Watikah Penyampaian Pelantikan Penghulu Peringkat Kelantan semalam.
         
Beliau berkata kerajaan negeri akan sentiasa mencari pendekatan terbaik bagi mengawal dan menghalang tindakan pihak tertentu menjalankan aktiviti pembalakan.
         
Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata Kelantan berharap kerajaan pusat meluluskan peruntukan membina tebatan banjir di Sungai Golok dan Sungai Kelantan bagi mengurangkan risiko yang dialami negeri itu saban tahun.
         
Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri akan mewujudkan sistem Profil Mukim, yang dikendali oleh semua penghulu yang dilantik tahun ini.
         
Menerusi sistem ini, penghulu perlu membuat pendaftaran dan semakan terhadap anggota mukim di kampung mereka bagi membantu exco membuat perancangan gerak kerja, terutama exco pembangunan masyarakat, katanya. - Bernama

0 comments: