Berapa Statistik Kadar Jenayah Terkini Seluruh Negara



HARAKAHDAILY | .



KUALA LUMPUR: PAS meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan statistik kadar jenayah terkini di seluruh negara termasuk gejala sosial seperti buang bayi, rogol, zina dan sebagainya serta langkah-langkah pencegahannya.    


Demikian pertanyaan bagi jawab lisan yang dikemukakan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff pada persidangan Dewan Rakyat.


Ahli-ahli parlimen PAS yang turut mengemukakan soalan hari ini seperti di bawah.


Dr. Mohd Hatta Md. Ramli [Kuala Krai] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyatakan jenis-jenis program dan latihan kemahiran yang dijalankan sekarang bagi melatih Bumiputera dan bukan Bumiputera dalam melahirkan usahawan yang boleh memaksimumkan penggunaan Internet sebagai platform perniagaan.    


Ahmad Marzuk Shaary [Bachok] minta Perdana Menteri menyatakan apakah tindakan drastik yang dilakukan oleh pihak kerajaan terhadap pencerobohan perairan oleh nelayan Vietnam. Berapakah kes yang telah diheret kepada pendakwaan membabitkan penyalahgunaan permit dan lesen oleh pemilik permit dan lesen kalangan rakyat Malaysia. 
   

Datuk Takiyuddin Hassan [Kota Bharu] minta Perdana Menteri menyatakan langkah Kerajaan untuk memendekkan senarai menunggu jemaah haji terutama yang sudah berumur.    


Idris Ahmad [Bukit Gantang] minta Perdana Menteri menyatakan berapakah bilangan peserta Program Siswazah Perantis Perbadanan Usahawan Nasional Berhad dari kawasan Parlimen Bukit Gantang sehingga tahun 2013. - HARAKAHDAILY 6/11/2014

0 comments: