KENYATAAN MEDIA PEMUDA PAS MALAYSIA


( 12 Muharram 1436 bersamaan 5 November 2014 )


1. DPPM berpendirian tegas bahawa usaha yang giat dikembangkan SIS dengan menyebarkan fahaman liberal atas nama Islam adalah satu kesesatan terang lagi nyata. Ia sama sekali tidak mencapai tujuan Islam diturunkan untuk manusia akhir zaman serta membuka kewenangan kepercayaan, pegangan dan amalan, yakni penyimpangan dari syariat dan manhaj Islam sebenar.


2. Malah SIS adalah kewujudan baru atau penyelewengan agama di mana diasaskan oleh tokoh yang disepakati hampir semua ulama sebagai sesat iaitu Amina Wadud. Asas Islam yang disesatkan Amina kepada umum dan pernah menimbulkan kontroversi seluruh dunia rupanya disambung di negara ini menerusi wadah SIS.


3. Dari bertunjang isu feminisme yang diperjuangkan SIS, golongan ini dilihat semakin berani menyanggah asas-asas Islam pegangan masyarakat negara ini iaitulah mensepakati pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Selain mempermain-main dan menyindir usaha-usaha penegasan syariat Islam kepada masyarakat Muslim negara ini seperti isu tudung wanita di Kelantan, SIS juga mencabar fatwa pengharamannya oleh Jawatankuasa Fatwa MAIS sebelum ini kerana berpegang kepada pluralisme dan liberalisme agama.


4. Secara terang nyata juga, SIS telah mencabar akidah Islamiyah apabila turut mempromosikan pemikiran Yahudi dan Nasrani dengan menyatakan manusia sebagai anak-anak Allah. Bermakna SIS menolak ke-Esaan Allah SWT sebagaimana surah al-Ikhlas.


5. DPPM kesal, SIS bersikap mencabar pihak-pihak berkuasa agama negara ini dan kontradik dengan keterbukaan yang diperjuangkan sendiri apabila gagal menjawab atau menjelaskan segala dakwaan atas mereka terutama berkaitan kesesatan pegangan SIS. SIS hanya berselindung dan beralasan dengan kebebasan bersuara dan hak memberikan pandangan.


6. Kesemua tindak tanduk dan pendirian SIS mewajarkan ia diharamkan serta merta tanpa kompromi lagi setelah barah ini berpanjangan dan kedegilan SIS mencetus pelbagai polemik fahaman dan pegangan umat Islam negara ini. Atas itulah DPPM berdiri bersama dengan keputusan pihak Jawatankuasa Fatwa MAIS.


MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI

Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia



0 comments: