Ku Nan Disaran Teliti Perjuangan Umno



KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN | .



PAS bukan ajaran sesat. PAS tidak pernah mengajar masyarakat mensyirikkan Allah. PAS tidak pernah mendidik ahli dan rakyat agar melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan Syari’ah Islam. Malah, PAS berjuang dengan membawa dimensi Islam yang lebih luas. Merentasi makna sebenar ibadah kepada Tuhan. Inilah yang diperjuangkan PAS sejak daripada ia ditubuhkan hingga ke saat ini.


Kenyataan Ku Nan dalam Multaqa Kebangsaan Biro Agama Umno di Kuala Lumpur jelas berbaur kecaman yang menghanyirkan. Baru semalam Umno mengadakan multaqa untuk mengumpul idea untuk memposisikan Islam dalam hala tuju parti kebangsaan tersebut walhal PAS sepanjang masa berjuang untuk memartabatkan Islam dan menjadikannya sendi dalam berpolitik.


Ku Nan mendakwa Umno sehingga ke hari ini tidak pernah menggunakan secebis ayat untuk mendapatkan kuasa. Apalah nasib Umno jika berjuang tidak berpandu al-Qur’an dan al-Hadith. Adakah ini bermakna Umno tidak menjadikan neraca pahala dan dosa dalam berjuang dan memimpin negara? Janganlah meminggirkan agama dalam kehidupan walau dalam apa jua bentuk.


Umno mendabik dada kononnya mempertahankan kesucian Islam. Namun, mengapa Kerajaan Pusat yang dipimpin oleh Umno dan Barisan Nasional semakin merancakkan lagi aktiviti perjudian di negara ini dengan membenarkan 22 permit cabutan khas 4D kepada setiap syarikat nombor ramalan? Malaysia merupakan antara 10 negara terbesar pengambilan arak di dunia dan purata rakyat Malaysia dikatakan berbelanja sebanyak RM 1.75 bilion untuk minuman keras. Malah, penjualan arak berkembang antara 5 peratus hingga 7 peratus setahun.


Bagaimana pula dengan lambakan pusat hiburan di Kuala Lumpur yang di bawah tanggungjawab Ku Nan selaku menteri? Statistik anak luar nikah bagi orang Melayu yang didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara dari tahun 2005 hingga 2009 berjumlah 74,723 orang. Benarkah Umno benar-benar memperjuangkan Islam di negara ini? Maka, tidak perlu diolah lagi sikap kerajaan dalam menyuburkan persekitaran Islam jika perkara-perkara tersebut masih lagi belum diselesaikan.


Ku Nan hanya melihat Islam dalam kerangka yang sempit. Islam bukan hanya berkisar mengenai ibadah khusus semata-mata, malah horizonnya luas meliputi segenap aspek kehidupan manusia. PAS sama sekali tidak pernah berkompromi dalam hal ini. 
– HARAKAHDAILY 4/11/2014


Ir. Khairil Nizam Khirudin ialah Ketua Pemuda, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

0 comments: