Pelancaran Logo Sambutan Ulangtahun PAS Kali Ke-63





KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar hari ini melancarkan logo sambutan ulang tahun PAS ke-63 di Pejabat Agung PAS.

Sambutan ulang tahun yang dianjurkan Lajnah Penerangan dan Hubungan Media PAS Pusat itu akan diadakan di Kuala Kangsar, Perak selama dua hari bermula 29 - 30 November.

Mahfuz pada sidang media memberitahu sambutan ini adalah bagi mengingati kembali penubuhan PAS pada tahun 1951.

"Dengan usia yang menjangkau usia 63 tahun, sudah pasti PAS kaya dengan pengalaman selok belok cabaran politik di negara ini.

"Selain itu meraka yang ada sekarang perlu mengetahui hasil pengorbanan para pimpinan terdahulu yang sangat besar pengorbanan, sumbangan dan jasanya kepada PAS," jelasnya.

Tambah beliau lagi, setiap ahli di seluruh negara perlu hadir pada sambutan tersebut sebagai menghargai perjuangan PAS selama ini.

"Kita meminta agar semua hadir, termasuk ahli-ahli parlimen, kita kena tunjukan sokongan kepada pengorbanan sebelum ini.

"Sambutan ini perlu dijadikan hari keraian PAS setiap tahun sepertimana sambutan Kemerdekaan, dengan cara ini sahaja kita dalam menyelami perjuangan PAS," sambung beliau lagi.

Beliau yang turut memberitahu, sambutan tersebut bakal dihadiri pimpinan-pimpinan Pakatan Rakyat dan akan dirasmikan Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 30 November jam 9 pagi.

Sempena pelancaran tersebut pelbagai acara menarik akan diadakan, program tersebut akan berlangsung di Kompleks PAS Kuala Kangsar berhampiran Istana Bukit Chandan.‎ - HARAKAHDAILY 6/11/2014

0 comments: