51 Projek Terbengkalai Berjaya Diselesaikan - Exco


HARAKAHDAILY | .



KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor berjaya menyelesaikan 51 buah projek perumahan terbengkalai sejak Mac 2008 sehingga 30 November lalu.



Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar negeri, Iskandar Abdul Samad berkata, 51 projek itu melibatkan 26,286 unit rumah daripada 28 projek berlesen dan 23 projek tidak berlesen, lapor Selangor Kini.


Menjawab soalan yang dikemukakan Lee Kee Hiong (DAP-Kuala Kubu Baharu), Iskandar menjelaskan, tujuh kali mesyuarat Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) diadakan pada tahun ini dengan 22 projek terbengkalai berada di bawah kajian pemulihan direkodkan.


Katanya, 22 projek yang direkodkan melibatkan kawasan Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Hulu Langat dan Pusat Bandar Kundang.


Menjawab soalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Kajang), beliau berkata Kegagalan pihak pemaju untuk mengemukakan pelan bangunan menyebabkan Majlis Perbandaran kajang (MPKj) tidak dapat mengeluarkan Sijil Layak Menduduki (CF) kepada penduduk di Taman Shahjaya, Kajang.


Katanya, Taman Shahjaya mendapat Kebenaran Merancang (KM) pada awal 1980-an, namun pemaju tiada inisiatif mengemukakan pelan bangunan sehingga kini.


“Penduduk sudah lama menduduki rumah teres setingkat itu sejak akhir 1980-an membabitkan 91 unit rumah dan cukai pintu yang mula dikutip sejak tahun 2002.


“Saya mencadangkan supaya kes begini dibawa ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri atau SPC akan datang bagi menyelesaikan isu yang masih tertunggak di seluruh Selangor,” katanya.


Pada masa sama, Iskandar (PAS-Chempaka) memaklumkan tiada kajian dibuat Unit Kejuruteraan MPKj untuk menentukan kadar jangka hayat bangunan lama sehingga kini.


Sehubungan itu, katanya, satu kajian terperinci berhubung perkara itu akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.


“Satu kajian akan ditetapkan di bawah Unit Bangunan PBT masing-masing untuk membuat kajian berkaitan dengan bangunan lama di setiap PBT seluruh Selangor,” katanya.

0 comments: