Aishah Mahu Berdakwah Melalui Medium Alternatif


SALMIYAH HARUN | .




DALAM mendepani masyarakat hari ini yang dihidangkan dengan hiburan yang melampau, dan melalaikan bahkan ada yang terpesong daripada syariat Islam. Dewan Muslimat PAS Pusat menyedari keadaan ini, bersedia menyediakan hiburan alternatif kepada masyarakat melalui  Lajnah Kebudayaan, Kesenian dan Rekreasi (LKKR). 



Bak kata Pengerusi LKKR Dewan Muslimat, Wan Aishah Wan Ariffin, manusia cukup rapat dengan kesenian, mahu tidak mahu Muslimat harus menyediakan hiburan berbentuk dakwah khususnya kepada golongan remaja hari ini jika tidak mereka akan cari hiburan diluar sana. Ikuti temubual Wartawan Salmiyah Harun bersama beliau dalam Wacana Garis Panduan Hiburan dan Kesenian Dalam Islam di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamd (KUIZM).





LKKR Dewan Muslimat satu lajnah yang baru ditubuhkan, apakah objektif utama lujnah ini?



Objektif yang utama ialah sebagai medium alternatif untuk menyampaikan dakwah. Kalau kita tengok sebelum ini pun dakwah disampaikan dalam macam-macam cara, jadi tidak salah kalau LKKR Dewan Muslimat ini mula meneroka medium alternatif ini. 




Pada awal penubuhan ini merupakan sesi untuk kumpulkan diri kami sendiri dari segi ahli, sistem bunyi dan usaha mencari dana. Tahun hadapan kami akan bantu setiap negeri untuk tubuh LKKR masing-masing. Dalam masa yang sama kami bergandingan rapat dengan Lajnah Tarbiyah untuk membantu kami dalam misi dakwah. Seni ini akan digunakan sebaik-baiknya dalam masa yang sama ia harus dipantau dengan garis panduan yang berlandaskan tuntutan syariah. 




Kita bagi tumpuan kepada kesenian kerana orang Malaysia sangat suka hiburan dan mereka di kalangan 'top ten' sangat sukakan hiburan. Kita kena berikan mereka alternatif, mahu tidak mahu kita kena berikan terutama kepada golongan remaja. Kalau kita tidak beri mereka akan cari di luar sana, sama ada ikut K-pop atau kita yang hendak beri kepada mereka.





Bagaimana lajnah ini hendak mengetengahkan kesenian ini kepada masyarakat?



Kalau kita buat persembahan ini bukan sekadar persembahan sahaja untuk suka-suka tetapi perlu teliti, misalnya pemilihan lagu yang kita patut cari untuk kita sampaikan. Semua lagu yang disampaikan ada mesej melalui liriknya. Kita baru satu tahap menubuhkan satu kumpulan dan mencari lagu-lagu yang sesuai. Kita masih banyak lagi perlu ditonjolkan sama ada mempersembahkan seksta sebagai usaha meneroka macam-macam jenis seni. Melalui pantun pun kita boleh berdakwah sebenarnya, apa sahaja boleh. Kita kena Islamkan medium alternatif ini. Apa sahaja yang kita buat kita kena Islamkan. Ia jatuh hukum harus bila ia tidak menyesatkan dan tidak menyalahi tuntutan syariah. 




Kita akan mencari cara untuk menarik minat remaja, kita kena aturkan program untuk mereka melalui pendekatan Islam. Mungkin kita boleh buat Musabaqah. Memang untuk tahun pertama LKKR ini misalnya kumpulan nasyid EL Muslimat ini diadakan versi masing-masing di setiap kawasan supaya ia sebagai instrument untuk PAS rapat dengan masyarakat. 




Kadang-kadang orang takut dengan orang PAS, jadi mungkin melalui muzik dan karya seni ini ada satu medium untuk orang akan dekat dengan PAS. Ini cara penting untuk kita masuk ke kampung-kampung bertemu dengan masyarakat. Mungkin mereka tertarik apabila PAS bukan hanya bercakap sahaja tetapi ada juga hiburan seperti qasidah, nasyid dan sebagainya. Kalau kita dapat sampaikan satu perkara baik sekali pun dan diamalkan sudah cukup bagus dakwah kita. Masing-masing ada tahap, macam tahap saya ialah melalui mesej dalam lagu contoh 'Syurga di Telapak Kaki Ibu'.





Jadi, adakah dengan pendekatan ini ia boleh diterima masyarakat bukan hanya berlegar di kalangan ahli PAS sahaja?



Saya rasa ia tidak ada masalah, sebab kita bawa perkara yang baik. Lagipun bentuk hiburan kita bukanlah terkinja-kinja. Medium yang kita pilih akan menunjukkan akhlak Islam itu sendiri. Inilah yang kita kena tunjukkan kepada masyarakat. Saya tidak nampaklah mana-mana bantahan daripada masyarakat. Orang yang ada masalah dalam hal ini memang dia mempunyai masalah daripada awal lagi. Apabila dia tak suka, kita buat benda yang baik pun dia tetap tidak suka. Yang saya buat ini dengan niat saya kerana Allah. Kalau saya boleh mengajar orang baca Fatihah dan orang itu boleh baca, bagi saya ianya satu dakwah yang cukup berharga buat saya. 





LKKR waktu ini hanya tumpu kepada hiburan berbentuk nyanyian? Bagaimana dengan bidang lain seperti rekreasi dan kesenian?



Memang saya sedar banyak lagi cabang yang perlu dibuat, waktu ini kita sedang susun dan tumpu satu persatu dahulu seperti menubuhkan kumpulan El Muslimat. Pertamanya ini saya hendak mencukil bakat dalam kalangan muslimat, supaya kita dapat buat kumpulan untuk menarik orang lain tidak semestinya dalam jemaah di peringkat negeri atau kawasan menyertai kumpulan ini. Kita boleh libatkan siapa sahaja yang berminat. Ini cara kita untuk mendekatkan PAS dengan masyarakat. Ini sangat penting kalau kita lihat di luar sana ada kumpulan marhaban dan kita kena menjadi lebih baik daripada mereka yang penting untuk menyampaikan dakwah. 




Sesi tahun 2015 LKKR hendak membantu setiap negeri untuk menubuhkan LKKR masing-masing dan kita hendak mereka mengembangkan selain kumpulan nasyid, kita mahu satu kumpulan kebudayaan. Misalnya kalau di Johor mereka hendak buat kuda kepang, Negeri Sembilan hendak buat Cak Lempong. Ia mesti ada satu kumpulan budaya. 




Ia kena berperingkat, sebab LKKR merupakan satu lajnah baru bahkan saya sendiri masih baru. Apatah lagi saya perlu ada garis panduan untuk sejauh mana saya boleh pergi. AJK saya tidak ramai, jadi kita buatlah setakat yang mampu dan lepas ini memang kita hendak kembangkan dalam skop LKKR ini. Kita kena cari dana, apabila ada dana barulah kita boleh kembangkan cabang LKKR ini.





Apa harapan LKKR Pusat kepada setiap kawasan terhadap lajnah ini?



Ini adalah satu pembaharuan, setiap pembaharuan mesti ada cabaran mesti ada macam-macma mehnah. Sebenarnya untuk maju kita kena ambil risiko. Kita kena tunjuk bahawa jemaah PAS tidaklah jumud sangat sampai tidak boleh menerima kesenian tetapi kita membentuk jenama kesenian kita berlandaskan Islam yang ada garis panduannya dan tata tertibnya. Yang tidak bertentangan dan menyesatkan akidah kita. 




Yang paling penting menyampaikan sesuatu yang baik. Kita tidak berseni, berkarya hanya hendak layan perasaan ataupun hendak menyampaikan benda-benda yang pelik. Jadi mengharapkan dengan seni ini untuk mencari wasilah untuk kita dekatkan diri dengan Allah. Kalau orang itu jiwa yang halus sudah tentu dengan seni itu dia boleh dekatkan diri dengan Allah. 





Sejauhmana kumpulan EL Muslimat yang ditubuhkan oleh LKKR pusat dapat diterima umum dan bagaimana dengan perkembangan kumpulan ini?



Mula-mula saya pegang jawatan pengerusi LKKR, saya sudah ada visi hendak tubuhkan satu kumpulan. Oleh sebab kami tidak mempunyai dana, dan sekadar bincang sesama sendiri. Kelantan telah menjemput kami membuat persembahan waktu itu kami belum praktis walau satu lagu pun. Saya ada masa dua bulan lebih untuk adakan persembahan ini, tetapi saya berani terima ‘tempahan’ walaupun kita belum pernah berlatuh lagi. 




Kita sudah banyak buat persembahan. Kita sebenarnya hendak meneruskan belajar qasidah dan berzanji, taranum. Bukan setakat itu sahaja kita hendak kekalkan kumpulan ini supaya ia dapat mantap dan menjadi prototaip untuk negeri dan kawasan mengikuti kami. Mungkin kawasan boleh ambil elemen-elemen kenegerian mereka untuk jadikan kumpulan masing-masing. Benda-benda macam inilah yang kita hendak kembangkan ia akan menjadi satu perkara yang sangat-sangat efektif untuk kita sampaikan kepada masyarakat. –HARAKAHDAILY 9/12/2014

0 comments: