Allah Yang Tentukan Bagaimana Islam Menang

USTAZ KHALIL ABDUL HADI | .




1. Antara tujuan Ijtima’ Tarbawi Pemuda PAS 4.0 adalah untuk para pemuda memahami tentang Fiqh Nasr wal Intisaar (Fiqh Pertolongan dan Kemenangan daripada Allah) yang merupakan di antara Fiqh al-Jihad.


2. Surah al-Fath dipilih sebagai tema bagi menerangkan mengenai erti kemenangan dalam Islam dan cara-cara untuk mendapat pertolongan daripada Allah bagi mencapai kemenangan di dalam perjuangan Islam.


3. Banyak cerita dan pengalaman orang lama perlu diambil oleh para pemuda untuk mencapai kemenangan iaitu perlu digabungjalinkan hamasatus syabab wa hikmatus syuyukh (semangat anak muda dan kebijaksanaan orang lama).


4. Walaupun kita tidak pernah menang secara mutlak (menang dalam PRU sehingga boleh menguasai kerajaan pusat), akan tetapi kita tetap menang di sisi Allah kerana erti kemenangan yang sebenar ialah kemenangan menegakkan kebenaran agama-Nya yang dijanjikan oleh Allah dengan pahala dan syurga di akhirat. Inilah yang menjadi akidah perjuangan kepada pemuda-pemuda PAS.


5. Kemenangan kepada perjuangan Islam bukan boleh dibeli dengan harga yang murah. Permata yang mahal untuk mendapatkannya memerlukan kepada pengorbanan apatah lagi untuk memperoleh kemenangan kepada perjuangan Islam, ia memerlukan pengorbanan nyawa, harta dan tenaga semaksima mungkin. Firman Allah yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah membeli daripada orang-orang beriman jiwa dan harta mereka bahawa bagi mereka syurga... "


6. Kita memilih jalan pilihan raya sebagai pendekatan untuk memenangkan Islam. Walaupun kita tahu pilihan raya yang diadakan di negara kita penuh dengan penipuan, rasuah dan salahguna kuasa.


7. Saya percaya dengan sistem demokrasi yang diamalkan di negara kita, tidak mungkin untuk PAS memenangi pilihan raya tetapi kita bertegas untuk terus istiqamah dengan pendekatan ini kerana inilah pendekatan yang mengikut manhaj anbiya yang berdepan dengan golongan pemerintah zalim pada zaman masing-masing dan bagi melaksanakan tuntutan menegakkan amar ma'ruf dan nahi munkar.


8. Kita selalu berfikir bahawa kemenangan itu akan dicapai mengikut acuan yang kita tentukan. Tetapi hakikat yang sebenar kemenangan itu ditentukan oleh Allah. Kita menjangka Namrud akan dikalahkan oleh Nabi Ibrahim a.s setelah orang ramai mengikutnya akan tetapi Namrud yang angkuh itu tersungkur dengan hanya seekor nyamuk. Kita memikirkan bahawa Nabi Muhammad SAW akan menang dan menakluk Mekah dengan peperangan akan tetapi ketentuan Allah Mekah dibuka dengan jalan damai. Kemenangan umat Islam menawan kota Konstantinople dijanjikan oleh Rasulullah SAW pada zamannya tetapi hanya menjadi kenyataan ratusan tahun selepas baginda wafat.


9. Begitulah juga dengan Umno/BN; kita memikirkan PAS akan menang dalam PRU menumbangkan Umno/BN akan tetapi apa yang dirancang oleh Allah kita tidak mengetahuinya. Apa yang penting kita mestilah istiqamah berjuang di atas jalan yang benar.


10. Hari ini kita melihat Umno/BN menuju ke jalan kemusnahan. Setiap perjuangan mempunyai rohnya. Roh perjuangan Umno ialah kebendaan dan wang ringgit; apabila ia susut dan berkurangan akan lenyaplah Umno dan BN. Adapun roh perjuangan PAS ialah Islam yang sentiasa hidup selagi mana PAS istiqamah dengan Islamnya maka kita terus kuat dan gagah.


11. Semakin kita ditekan dan diasak semakin kita perlu untuk terus berpegang dengan prinsip Islam dan pasti kita akan semakin kuat dengan pertolongan Allah


12. Kita pernah menegaskan bahawa kita akan menang dalam PRU13 tetapi kita belum lagi diberikan kemenangan oleh Allah. Pada kali ini kita juga menegaskan bahawa kita melangkah menuju kemenangan dalam PRU14. Jika sekiranya kita ditakdirkan tidak mencapai kemenangan juga kita sentiasa menegaskan bahawa kita akan menang dalam PRU15, 16, 17 dan seterusnya kerana kemenangan Islam itu adalah pasti sama ada dekat ataupun jauh. Firman Allah yang bermaksud;

"Dan adalah wajib ke atas kami menolong orang-orang yang beriman. "


13. Persiapan yang perlu kita lakukan untuk memacu kemenangan PRU14:-

a. Kita mestilah istiqamah dan berpegang teguh di dalam memperjuangkan isu-isu yang berkait dengan Islam dan hak-hak orang Islam dan mestilah kehadapan menegakkannya.

b. Fokus yang lebih kepada pengundi Melayu khususnya anak muda.


14. Akhirnya kita mestilah yakin kemenangan Islam adalah suatu perkara yang pasti, jangan kita persoalkan bila dan bagaimana kerana ia adalah rahsia Allah. Tanggungjawab kita adalah terus istiqamah memperjuangkan agama-Nya. – HARAKAHDAILY 9/12/2014

0 comments: