Apungan Terkawal Permulaan Krisis Ekonomi Negara?


DATUK DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI | .



BERIKUTAN pengumuman oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek pada 21 November lalu, bermula pada 1 Disember harga bahan api ditentukan mengikut kaedah pengapungan terkawal (managed float system).



Sekiranya dikira dari sudut cara penetapan harga semata-mata, saya masih berpendirian bahawa kaedah berdasarkanmanaged float system ini mesti dilaksanakan bersekali dengan pemberian subsidi sebagai satu hak yang patut dinikmati oleh rakyat hasil daripada keuntungan hasil bumi minyak negara. Ini sangat penting bagi memastikan rakyat tidak terbeban menguruskan perbelanjaan seharian mereka khususnya ketika harga minyak naik.


Bagi bulan Disember, Menteri mengumumkan bahawa harga runcit bagi RON97 – RM2.46 seliter; RON95 – RM2.26 seliter; dan diesel – RM2.23 seliter. Penentuan harga ini dibuat setelah meneliti perkembangan semasa harga komoditi ini di pasaran antarabangsa dan kadar pertukaran mata wang.


Jika dikekalkan subsidi 56 sen bagi RON95 seperti sebelum ini, nescaya pengguna dapat menikmati harga yang lebih murah iaitu serendah RM1.70 seliter dengan ingatan bahawa subsidi minyak adalah hak rakyat di semua peringkat hasil daripada keuntungan jualan minyak mentah negara.


Harga baru yang diumumkan ini memperlihatkan RON97 dan RON95 mengalami penurunan sebanyak 9 sen dan 4 sen masing-masing kesan daripada kejatuhan harga minyak global. Sehingga semalam, harga minyak mentah dunia sudah pun berada pada paras AS$69.98 setong sedangkan ia masih berada pada paras melebihi AS$100 setong pada Jun lalu. Ini menunjukkan kejatuhan harga yang amat ketara.


Kejatuhan harga yang mudah disimpulkan begini, ‘kerana terlalu banyak penawaran dan terlalu sedikit permintaan’, adalah berpunca kerana pengeluaran minyak di Amerika Syarikat, Canada dan Rusia meningkat dengan skala besar berikutan pembangunan teknologi yang pesat dalam bidang ini.


OPEC (Organization of the Petroleum Exporting Countries) pula memutuskan dalam mesyuaratnya pada minggu lalu berkeras untuk tidak mengurangkan penghasilan minyaknya. Alasannya ialah sebagai suatu strategi untuk melawan peningkatan penghasilan minyak AS yang lebih mahal kos pemprosesannya daripada menguasai pasaran. Pada waktu yang sama ini, permintaan di Jepun dan Eropah menurun; dan kecenderungan untuk mengeluarkan kenderaan cekap tenaga oleh pengusaha industri aotomotif semakin meningkat.


Jutaan pengguna kenderaan di negara ini yang melibatkan penggunaan tahunan dianggarkan berjumlah 15 bilion liter sememangnya bersyukur dengan penurunan harga minyak walaupun sedikit. Namun, berdasarkan harga minyak pada ketika ini dan mengikut kaedah automatic pricing mechanism, rakyat sepatutnya boleh menikmati harga yang lebih murah bagi RON95 iaitu RM2.02 seliter, walaupun tanpa subsidi. Apatah lagi jika dengan tambahan subsidi.


Di saat ramai berdoa agar harga minyak turun termasuk Menteri kerajaan mengajar rakyat berdoa sebegitu, sisi lebih kritikal untuk diberi perhatian ialah kesan kejatuhan harga minyak global ini telah mengurangkan hasil pendapatan negara kita sebagai pengeluar dan pengeksport minyak.


Petronas pada tahun lalu menyumbang sehingga RM68 bilion iaitu 30.3% kepada pendapatan negara. Namun, pada minggu lalu, Petronas mengumumkan hanya mampu menyumbang kepada Kerajaan sebanyak RM43 bilion atau 18.3% sahaja kepada pendapatan negara jika harga minyak mentah kekal pada paras AS$75 setong.


Ertinya pendapatan negara bakal menyusut 25 bilion di saat kerajaan menjangkakan akan mendapat hasil daripada GST sebanyak 20 bilion.


Keadaan ini dijangka lebih teruk apabila diunjurkan harga setong minyak mentah akan mencecah ke paras AS$50 sehingga ke hujung tahun ini. Sekiranya ia berlaku, pendapatan negara hasil daripada Petronas dijangka susut sebanyak RM39.3 bilion berbanding pada tahun 2014.


Dengan trend urustadbir kewangan yang lemah dan tidak cekap oleh kerajaan Barisan Nasional; termasuklah belanjawan defisit 18 tahun berturut-turut, jumlah perbelanjaan pembangunan yang tersangat kecil berbanding perbelanjaan mengurus, hutang persekutuan yang menghampiri paras siling 55% kepada KDNK dan berlakunya peningkatan inflasi serta lebih parah lagi apabila berlakunya kebocoran dan ketirisan dalam pembangunan projek-projek yang dilaksanakan seperti yang didedahkan melalui Laporan Ketua Audit Negara, sewajarnya sekali Bajet 2015 yang telah dibentangkan di parlimen tempoh hari dikaji dan dinilai semula.


Persoalannya, dalam keadaan sedemikian, apakah jaminan kerajaan bahawa penjimatan yang diperoleh dengan langkah yang dinamakan secara kosmetiknya "rasionalisasi subsidi" ini dapat disalurkan kepada rakyat yang berhak dan dimanfaatkan untuk pembangunan sektor-sektor strategik bagi memulihkan pendapatan negara, dan sejauh mana pula ia berupaya untuk mengekang inflasi daripada terus meningkat?


Tanpa simpanan kewangan yang mampan, pengurusan sumber yang berkesan, dan pembangunan yang berinovatif, apatah lagi jika Kerajaan tidak beramanah dan khianat terhadap khazanah negara dan hasil titik peluh rakyat, tidak mustahil kita bakal menghadapi zaman krisis ekonomi yang sangat menyukarkan. Kisah Nabi Yusof a.s. harus dijadikan pengajaran dan teladan oleh kita semua, khususnya pemimpin-pemimpin negara. - HARAKAHDAILY 4/12/2014


Penulis ialah Ahi Parlimen Kuala Nerus.

0 comments: