Bekalan Air, Elektrik Sekolah Agama Negeri Dipotong

HARAKAHDAILY | .



KUALA TERENGGANU: PAS ingin tahu apakah punca yang menyebabkan kes pemotongan bekaan air dan elektrik di beberapa sekolah agama negeri.



Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga bertanya apakah bentuk penyelesaian yang telah diambil.


Beliau bertanya demikian dalam soalan bertulis pada persidangan Dun Terengganu yang bermula hari ini.


Berikut ialah jawapan daripada kerajaan negeri.

Sebelum tahun 2014, sekolah menengah agama negeri menghantar bil-bil bekalan air dan elektrik tidak termasuk bil telefon kepada Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pelajaran Malaysia untuk dibuat bayaran kepada syarikat berkenaan.


Mulai tahun 2014, BPI telah memberi bantuan untuk bayaran bil-bil utiliti sekolah sebanyak RM2,000 sebulan dengan memasukkan ke akaun sekolah dan diuruskan bayaran oleh sekolah.


BPI juga menghantar satu pekeliling ke sekolah: Pekeliling Kewangan Bil 12/2010 "Prosedur Pembayaran Bil Utiliti Sekolan Bantuan Kerajaan di Semenanjung Tahun 2011" melalui surat BPI bertarikh 24 Ogos 2014.


Hal ini menjadi punca yang menyebabkan sekolah kekurangan kewangan bagi membayar air dan bil elektrik dan seterusnya menyebabkan berlaku ke pemotongan bekalan air dan elektrik.


Bagi mengatasi masalah ini, pihak sekolah berkenaaan telah membuat rayuan tambahan peruntukan daripada BPI bagi bayaran bil-bil utiliti.


Sebahagian sekolah telahpun mendapat peruntukan tambahan daripada BPI berdasarkan kedudukan kewangan BPI.


Namun demikian, peruntukan tambahan yang diterima masih tidak mencukupi bagi membuat bayaran bil-bl utiliti yang tertunggak. -HARAKAHDAILY 8/12/2014

0 comments: