DAP Pertimbang Pinda Perlembagaan Parti


HARAKAHDAILY | .




KUALA LUMPUR: Persidangan Kebangsaan DAP 2014 akan diadakan pada 14 Disember ini dan menimbang untuk meminda Perlembagaan parti.



Menurut Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Loke Siew Fook persidangan itu bertemakan 'Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing'. 




"Intipati tema tersebut ialah solidariti bersama rakyat memandangkan masalah yang paling besar yang membelenggu rakyat Malaysia pada ketika ini ialah kos sara hidup yang semakin meningkat dan ketidakseimbangan pengagihan kekayaan negara hasil daripada dasar kerajaan Barisan Nasional," ujarnya dalam satu kenyataan.




Katanya, Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan DAP yang dipengerusikan beliau telah mengemukakan cadangan-cadangan pindaan kepada CEC dan CEC telah meluluskan cadangan-cadangan tersebut untuk dibentangkan dalam persidangan supaya dapat dipertimbangkan oleh para perwakilan.




Antara cadangan yang akan dibentangkan:



1) Keanggotaan Jawatankuasa Tatatertib ditambah dari 5 orang ke sekurang-kurangnya 10 orang (had maksimum 20 orang). Setiap prosiding tatatertib boleh dijalankan oleh sebuah panel yang terdiri daripada 3 ahli Jawatankuasa Tatatertib.




2) Pemilihan dalam Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) dinaikkan dari 20 orang ke 30 orang. Untuk menggalakkan lebih ramai penyertaan wanita dalam politik, kuota 30% dalam pemilihan tersebut diwajibkan untuk calon wanita. Dalam erti kata lain, CEC yang baru mesti mempunyai sekurang-kurangnya 9 pemimpin wanita. Selain itu, semua Pengerusi Negeri, Ketua DAPSY dan Ketua Wanita yang bukan ahli CEC akan dijadikan sebagai ex-officio dalam CEC.




3) Tempoh jawatan untuk semua Jawatankuasa Negeri dilanjutkan dari 2 tahun ke 3 tahun. Seseorang Pengerusi Negeri tidak boleh memegang jawatan lebih dari 3 penggal.




4) Struktur Jawatankuasa Perhubungan Kawasan Parlimen dirombak semula untuk memastikan keberkesanan fungsinya.




5) Tempoh jawatan untuk semua jawatankuasa cawangan dilanjutkan dari satu tahun ke dua tahun. - HARAKAHDAILY 4/12/2014

0 comments: