DUA NEGARA BERSEMPADAN BANTU MANGSA BANJIR


Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my


RANTAU PANJANG: Banjir besar yang berlaku kali ini bukan sahaja mempertautkan hubungan kemanusiaan sesama insan, tetapi juga mencantumkan dua negara bersempadan iaitu Malaysia – Thailand.

Akibat limpahan air dari Sungai Golok, sempadan antara dua negara tersebut telah luput dan bersambung satu sama lain hingga tidak membataskan hubungan keduanya.

Kesempatan itu telah dimanfaatkan pihak Thailand untuk menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir di negara ini.

Atas keprihatinan Thailand itu, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Ustaz Mohd Nassuruddin Daud telah memandu sendiri bot rombongan beliau untuk menyambut Pegawai Daerah Takbai, Som Sak Sitikworakan serta para pegawainya di Takbai.

Pihak berkuasa daerah Takbai itu hadir dengan sumbangan keperluan harian yang diisi penuh dalam sebuah bot serta dibawa melihat keadaan kira-kira 300 mangsa banjir di Pusat Pemindahan dalam Dun Meranti, di sini 30 Disember.

Semua mangsa terputus langsung hubungan jalan darat dan hanya dapat sampai dengan bantuan bot.

Som Sak ketika menyampai sumbangan tersebut telah melahirkan harapan agar ianya dapat meringankan beban mangsa menghadapi tahun baharu 2015.

Manakala Dato’ Mohd Nassuruddin pula merakamkan penghargaan terima kasih pihak Kerajaan Negeri Kelantan atas keprihatinan pihak berkuasa Takbai, Thailand itu.

“Hubungan rapat antara Thailand dan Malaysia ini kerana ramai daripada kita yang mempunyai hubungan persaudaraan,” ujarnya pada majlis ringkas penyerahan sumbangan tersebut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi yang turut serta dalam rombongan itu telah melahirkan penghargaan kepada Pemuda PAS diseluruh negara atas usaha membantu mangsa banjir.

Akuinya, banjir pada kali ini adalah luar biasa dan jumlah mangsa terlibat juga sangat ramai di mana Pemuda PAS turut memainkan peranan menyampaikan sumbangan keperluan dan tenaga tanpa mengira perbezaan aliran politik.

“Alhamdulillah, saya sangat berbangga ramai Pemuda-pemuda PAS daripada seluruh pelusuk negara turun bagi meringankan beban negeri-negeri Pantai Timur khususnya yang terjejas teruk akibat bencana banjir kali ini,” ujarnya mengulas perkembangan semasa gerak kerja Pemuda PAS.

0 comments: