Gagal Realisasi 'Dengar Dan Taat' Terdedah Perpecahan


HARAKAHDAILY | .




HULU LANGAT: Dengar dan taat merupakan elemen dan tonggak penting dalam menentukan kekuatan dan kemenangan perjuangan PAS, kata Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.



Menurut Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat itu lagi, assam'u wa tha'ah (dengar dan taat) merupakan asas kejayaan untuk membawa risalah perjuangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.


Bahkan, katanya kegagalan untuk merealisasikan elemen tersebut menyebabkan ahli PAS terdedah kepada perpecahan yang dicela dan tegah oleh agama.


Dengar dan taat adalah satu rukun penting dalam organisasi gerakan Islam sebagaimana Nabi s.a.w. menuntut baiah para sahabat dari Yathrib sebelum hijrah sepertimana diriwayatkan oleh Ubadah bin Somit: "Kami baiah Nabi s.a.w untuk dengar dan taat ktka sukar dan senang ketika cergas dan keadaan tidak suka".


"Kerosakan sebuah organisasi gerakan Islam apabila ketua yang mempunyai hak ditaati pada hukum syarak dalam perkara makruf dipertikai, dikecam, dicerca dan dimaki.


"Kata Abu Darda' permulaan sifat nifak seseorang ialah mengecam ketua," tegas beliau pada satu majlis yang diadakan di sini, kelmarin.


Jelasnya, walak ditagih kerana Nabi s.a.w. menagih walak untuk dengar dan taat dalam peristiwa baiah orang-orang Yathrib di Mina sebelum berhijrah ke Madinah.


"Ditagih dan dituntut, maka menjadi kewajipan kepada ahli-ahli mentaati ketua dan apabila keengkaran mereka dituntut untuk kembali dengar dan taat apabila berlaku keengkaran," ujarnya. -HARAKAHDAILY 7/12/2014

0 comments: