Gantung Pelajar, UM Perlu Keluar Daripada Kepompong


MUHAMMAD FAIZAL | .





KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli meminta agar Universiti Malaya (UM) keluar daripada kepompong serta memberi kebebasan kepada anak muda khususnya pelajarnya untuk tampil menjadi seorang pemimpin.



Beliau ketika hadir mendekati kumpulan siswa yang sedang berkhemah di hadapan UM berkata, PAS dan rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) menyokong tindakan yang dilakukan mahasiswa dalam menuntut hak mereka.




"Yang diputuskan oleh pihak pentadbiran UM adalah satu hukuman yang berat dan sangat keras terhadap seorang pelajar.




"Sikap UM terlalu mundur ke belakang sehinggakan tidak mahu melihat jauh masa depan yang dimiliki pejalarnya, ia bukan tindakan untuk memajukan sistem pendidikan negara tetapi tidak ada tanda-tanda untuk mencapai kegemilangan," katanya.




Menurut beliau lagi, keputusan UM yang menghalang kebebasan akan melahirkan anak muda yang penakut serta teragak-agak dalam membuat keputusan.




Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat itu turut menyatakan bahawa satu nota bantahan akan dihantar kepada pihak pentadbiran UM agar meneliti kembali keputusan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap pelajar.




Sementara itu, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli turut berkata perbincangan akan diadakan pada mesyuarat Pakatan Rakyat.




"Kita akan membawa isu ini di peringkat tertinggi Pakatan Rakyat dan bagi peringkat parlimen, nota bantahan akan dihantar dan menggesa agar hukuman ini digugurkan serta merta.




"UM perlu sedar dan memandang kehadapan dalam meningkatkan imej pelajar. UM tidak sepatutnya mambazirkan masa remeh-temeh bergaduh dengan pelajar," katanya.




Setiausaha Agung PKR itu turut meminta agar UM memberi ruang kepada pimpinan Pakatan Rakyat untuk berbincang tentang isu yang dihadapi.




Dalam pada itu beliau juga berharap agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk tidak campur tangan dengan menghalau mahasiswa yang berkhemah di hadapan pintu masuk UM.




"Saya minta semua pemimpin untuk menggesa agar DBKL tidak campur tangan isu ini, ia tidak menganggu sesiapa pun.




"Isu UM adalah hak mahasiswa UM, DBKL jangan terlibat," jelasnya lagi.




Rafizi akan berkhemah bersama-sama siswa pada hari Ahad 14 Disember 2014 bermula jam 11 malam dan menjemput aktivis lain bergilir-gilir setiap hari selagi hukuman tidak digugurkan.




Fahmi Zainol dikenakan hukuman gantung pengajian selama dua semester dan denda RM600 selepas disabitkan terlibat dalam satu program bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober lalu.




Selain itu seorang lagi pelajar, Safwan Shamsudin juga digantung pengajian satu semester yang berkuatkuasa serta merta dan didenda serta amaran.




Manakala, empat yang lainnya diberi amaran dan didenda RM150 setiap seorang, manakala seorang pelajar dilepaskan dengan amaran. –HARAKAHDAILY 11/12/2014

0 comments: