Hak Asasi Manusia Adalah Untuk Semua - Suhakam

HARAKAHDAILY | .




KUALA LUMPUR: Setiap hari merupakan hari hak manusia, dan bahawa hak asasi manusia adalah hak yang tidak terpisah daripada semua.



Demikian ditegaskan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Tan Sri Hasmy Agam dalam satu kenyataan hari ini, sebagaimana di bawah.


Hari Hak Asasi Manusia disambut setiap tahun pada 10 Disember bagi memperingati hari pada tahun 1948 apabila Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menerima pakai Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) yang akan diraikan pada tahun 2014 bertemakan "Hak Asasi Manusia 365".


Penekanan ini adalah untuk memberikan kefahaman bahawa setiap hari merupakan hari hak manusia, dan bahawa hak asasi manusia adalah hak yang tidak terpisah daripada semua.


Pada hari ini, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia ingin menyatakan bahawa hak asasi manusia adalah untuk semua, juga merupakan slogannya, akan dicapai apabila kita mampu untuk mengubah idea di sebalik UDHR ke dalam budaya, dengan mengamalkan prinsip dalam kehidupan seharian, di samping mengambil kira konteks khusus setiap masyarakat.


Suruhanjaya ingin mengingatkan semua pihak bahawa walaupun UDHR bukan sebuah instrumen yang mengikat, namun ia telah berkembang untuk menjadi konvensyen dan triti yang mengikat secara undang-undang.


UDHR telah diisytiharkan sebagai "standard bersama terhadap pencapaian oleh semua masyarakat dan negara", yang mana individu dan masyarakat harus bergerak ke arah "berusaha dengan langkah progresif, di peringkat negara dan antarabangsa, bagi menjamin pengkitirafan dan pematuhan sejagat yang berkesan".


Ia adalah undang-undang antarabangsa yang mana selepas diratifikasikan, sesebuah Negara itu diwajibkan oleh undang-undang antarabangsa untuk melaksanakan dan mematuhi semua peruntukan triti tersebut, kecuali jika terdapat reservasi.


Oleh itu, Suruhanjaya berpandangan bahawa, sebaik sahaja diratifikasi dan dipersetujui, kesahihan atau kesesuaian sesuatu triti antarabangsa tidak harus dibangkitkan sebagai isu.


Pada hari Hak Asasi Manusia ini, Suruhanjaya juga ingin menyangkal tanggapan bahawa hak asasi manusia adalah agenda barat, dan mengulangi konsep kesejagatan hak asasi manusia seperti yang termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.


Paling penting, hak asasi manusia adalah berasaskan penghormatan terhadap maruah dan bernilai bagi setiap individu.


Suruhanjaya mengulangi semula seruannya agar Kerajaan memenuhi peruntukan perisytiharan seperti Deklarasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Terhadap Hak Orang Asli dan memperbaharui cadangannya bahawa Kerajaan akan menyertai baki teras triti hak asasi manusia antarabangsa untuk terus maju ke arah mencapai matlamat yang mapan dan pertumbuhan inklusif serta penghormatan terhadap hak asasi manusia. - HARAKAHDAILY 8/12/2014

0 comments: