HAK ASASI MANUSIA : IKUT ACUAN ISLAM, JANGAN JADIKAN AGAMA


Kenyataan Media

HAK ASASI MANUSIA : IKUT ACUAN ISLAM, JANGAN JADIKAN AGAMA


Oleh :
YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
(Ahli Parlimen Kuala Nerus)

Tarikh : 10 Disember 2014 / 17 Safar 1436H


1. Tarikh 10 Disember mula disambut sebagai Hari Hak Asasi Manusia (Human Right Day) pada tahun 1950. Ia bersempena dengan pengisytiharan Universal Declaration of Human Right (UDHR) yang diluluskan oleh persidangan PBB pada tahun 1948 dengan undi sokongan oleh 48 daripada 58 buah negara aggota pada ketika itu.


2. Pada tahun ini, ia disambut dengan slogan, “Human Right 365” sebagai seruan kepada seluruh bangsa manusia agar melindungi hak asasi manusia pada setiap hari dalam setahun. Ban Ki Moon meyampaikan seruannya itu di dalam perutusannya hari ini.


3. Selain daripada UDHR yang mengandungi keseluruhan 30 Artikel, dokumen penting berkenaan hak asasi manusia ialah International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR) dan International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights (ICESCR).


4. Dalam hal hak asasi ini juga, negara-negara anggota OIC mempunyai tafsiran tersendiri yang dijelaskan di dalam Cairo Declaratioan on Human Rights in Islam (CDHRI) dengan huraian sebanyak 25 Artikel yang berakhir dengan penegasan pada Artikel 25, “Syariah Islam ialah satu-satunya sumber rujukan untuk tafsiran dan penjelasan terhadap semua artikel yang termaktub dalam Deklarasi ini”.


5. Deklarasi ini mengukuhkan lagi bahawa hak-hak asasi dan kebebasan sejagat merupakan sebahagian daripada teras Islam sekaligus menafikan fitnah dan sangkaan jahat sesetengah pihak yang mendakwa bahawa Islam adalah agama yang menindas, mengongkong dan mendiskriminasi.


6. Sebagai orang Islam, dalam usaha-usaha memperjuangkan penegakan hak asasi manusia, melindungi manusia daripada eksploitasi dan penganiayaan, serta mengesahkan kebebasan dan haknya untuk untuk hidup bermaruah, mestilah dilakukan berdasarkan kepada ajaran Islam yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah.


7. Ini kerana, manusia walaupun telah berada pada tahap kemajuan teknologi kebendaan yang hebat, mereka tetap berhajat dan memerlukan kepercayaan (belief – religious faith) bagi menyokong peradaban dan sebagai kuasa dorongan kepada diri dan manusia sejagat untuk mempertahankan hak-hak mereka.


8. Apa yang mendukacitakan dan membimbangkan ialah apabila ada dalam kalangan pejuang hak asasi manusia ini yang taksub dan membuta tuli merujuk kepada UDHR untuk memahami hak asasi manusia serta menjadikannya sebagai satu-satunya rujukan dalam perkara tersebut.


9. Dalam konteks negara kita, isu-isu hak asasi manusia khususnya yang berkaitan dengan peranan agama, etika dan budaya, ia perlu ditanggapi secara selari dengan tuntutan agama Islam dan perlembagaan negara. Jika tidak, ia akan menghakis kehidupan beragama dan mengundang keruntuhan moral dan akhlak dalam kalangan masyarakat.


10. Pihak Kerajaan juga digesa agar segera megembalikan semula hak rakyat negara ini khususnya dalam perkara berkaitan kebebasan untuk bersuara, berhimpun dan berpersatuan serta hak untuk dibicarakan termasuklah melaksanakan sesuatu akta secara adil tanpa memberikan kekebalan tertentu kepada invidu atau pihak yang berkepentingan.


Sekian.

Sila lawati blog rasmi Ahli Parlimen Kuala Nerus di : www.drtakiri.blogspot.com

0 comments: