Harakah Dikunjungi NGO Forum Media Palestin


SALMIYAH HARUN | .


KUALA LUMPUR: NGO Forum Media dan Komunikasi Antarabangsa Palestin mengadakan kunjungan hormat ke Harakah sebagai platform menjalinkan kerjasama menyiarkan perkembangan Palestin dari semasa ke semasa.



Menurut Pengerusinya, Hisham Qasem, kerjasama dengan akhbar Harakah perlu diwujudkan terutama dalam isu-isu yang mengancam kedudukan rakyat Palestin oleh tentera Zionis.




"Peranan media di seluruh dunia amat penting dalam menonjolkan isu-isu Palestin. Hubungan ini juga sebagai usaha menggabungkan media Malaysia dengan media Palestin," katanya.




Bahkan katanya, hubungan ini penting apatah lagi Malaysia telah dipilih sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB Oktober lalu sebagai kekuatan Malaysia untuk bersuara dalam isu Palestin.




Tambahnya, hubungan ini juga sebagai usaha menggalakkan generasi muda Palestin untuk berinteraksi dengan media antarabangsa misalnya dengan mengadakan persidangan pertama di Istanbul pada April 2014.




Beliau berkata, persidangan yang dihadiri 400 pengamal media dan penulis di seluruh dunia telah mencapai tiga resolusi iaitu memberi anugerah untuk media Palestin, melancarkan dana untuk menyokong Palestin dan menubuhkan institut perfileman.




Malah katanya, beberapa kempen media yang telah dilakukan termasuklah mengutuk peperangan di Gaza dan ancaman terhadap Masjid al-Aqsa serta mengadakan hubungan dengan mana-mana organisasi media.




Sementara itu, Pengarah Urusan Harakah Dr Rosli Yaakob yang menerima delegasi ini menyambut baik perkembangan usaha NGO Forum Media Palestin dan bersedia untuk mengadakan kerjasama bersama mereka.




"Kita sudah lama sedia membantu menyebarkan maklumat mengenai Palestin, dengan kehadiran NGO ini kita mendapat banyak sumber sahih untuk diberitakan dalam akhbar Harakah. 




"Malah kita sentiasa menyiarkan perkembangan semasa apa yang berlaku di Palestin melalui sumber yang kita peroleh daripada Lajnah Antarabangsa PAS Pusat," katanya dalam pertemuan itu. –HARAKAHDAILY 2/12/2014

0 comments: