Himpunan Tuntut Turun Harga Minyak 31 Disember


MUHAMMAD FAIZAL | .





KUALA LUMPUR: Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO), parti politik serta kumpulan aktivis akan bersama-sama pada himpunan Demokrasi Rakyat pada 31 Disember bagi menuntut harga minyak Ron95 diturunkan ke harga RM1.90 sen seliter.



Pengerusi Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun), Mohd Azan Safar pada sidang media berkata, parti-parti politik dan kumpulan aktivis serta NGO telah menyatakan sokongan mereka untuk turut sama pada himpunan malam tahun baru nanti.




"Kita akan berkumpul di Dataran Merdeka dengan berpakaian baju hitam bermula jam 9 malam.




"Pada tahun lepas kita telah berjaya berhimpun di tempat yang sama dengan jumlah penyertaan yang besar dan untuk 31 Disember nanti, saya menjangkakan jumlah yang lebih besar dapat kita kumpulkan," katanya.




Jelasnya, himpunan ini bagi menuntut kerajaan menurunkan harga minyak pada kadar RM1.90 seliter bagi Ron95 iaitu mengambil kira harga pasaran, jaminan keuntungan kepada syarikat minyak dan subsidi 30 sen setiap liter.




Dalam pada itu, Azan yang turut memberitahu bahawa pihaknya tidak akan memohon permit untuk mengadakan perhimpunan itu kerana kedatangan mereka untuk menyambut tahun baru 2015.




"Kita ingin sambut tahun baru 2015 yang merupakan tahun beban kepada rakyat, tidak salah untuk kita hadir seperti mana mereka yang datang sambut tahun baru.




"Jadi kenapa kita harus memohon permit untuk kita turun menyambut malam tahun baru," sambungnya.




Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat turut berjanji memberi sokongan pada himpunan tersebut.




"Bukan hanya Pemuda PAS sahaja tetapi seluruh pemuda Pakatan Rakyat memberi sokongan pada himpunan tersebut.




"Isu kenaikan harga minyak dan barang ini bukannya isu golongan tertentu tetapi keseluruhan rakyat negara ini," katanya. –HARAKAHDAILY 11/12/2014

0 comments: