Hudud: DAP Kena Buka Minda

MUHAMMAD SYAFIQ JAMALUDIN | .



BARU-baru ini dalam sidang tahunan DAP telah mengkritik pelaksanaan Hudud. Nampaknya DAP masih dengan sikap lamanya sejak dari dulu lagi tidak mahu membuka minda dan cuba memahami kebaikan dan hikmah di sebalik pelaksanaan undang-undang ini. Propaganda BN memburukkan undang-undang Hudud pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir berjaya menanam sentimen buta kepada  muslim dan non-muslim supaya prejudis kepada undang-undang ini.


Dalam persidangan itu, saudara Tan Kok Wai dalam ucapannya mengatakan undang-undang Hudud tidak harus berlaku dalam negara berbilang bangsa dan agama dengan menegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular. 


Walaupun tidak menyebut secara khusus tentang usaha PAS melaksanakan undang-undang Islam itu, namun kenyataan ini sangat menyerang hak umat Islam secara keseluruhannya di Malaysia untuk merasai cara hidup Islam yang benar.  Seperti melaksanakan ibadah solat dan ibadah puasa yang wajib bagi umat Islam, hudud juga merupakan ibadah dalam Islam yang wajib dilaksanakan kerana Ibadah Islam berbeza dengan Ibadah agama lain yang banyak menyentuh amalan spiritual dan moraliti. Malah pelaksanaan hudud hanyalah untuk muslim dan bukan untuk non-muslim. Maka DAP sepatutnya tidak perlu risau akan pelaksanaannya sekalipun negara ini berbilang kaum.


Mengeksploitasi  kepelbagaian kaum di Malaysia untuk menghalang pelaksanaan undang-undang ini adalah tidak sepatutnya dilakukan. Sepanjang sejarah negara Malaysia, keharmonian hidup pelbagai kaum dapat diraikan bersama dengan semangat kesejagatan antara kaum dan agama. Malah Islam juga menyeru kepada keamanan dan menentang amalan perkauman. Sepertimana pelaksanaan undang-undang syariah lain, pelaksanakan hudud langsung tidak mengancam hak non-muslim atau hak kaum bukan melayu untuk hidup aman dan tenteram di negara Malaysia. – HARAKAHDAILY 15/12/2014

0 comments: