IKRAM Hargai, Ucap Tahniah Kepada Syed Ibrahim

HARAKAHDAILY | .


KUALA LUMPUR: Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram) mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan perlantikan Syed Ibrahim Syed Noh sebagai Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), seperti yang diumumkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR.



"Ikram menghormati keputusan Syed Ibrahim untuk melepaskan jawatannya dalam Ikram dan terlibat aktif dalam politik," ujar Presiden Ikram, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad dalam satu kenyataan.



Sebagai salah seorang Naib Presiden dalam Ikram, beliau berkata Syed Ibrahim telah menunjukkan kegigihan dan kesungguhan yang amat tinggi dalam mempelopori usaha-usaha Ikram khususnya dalam membina rangkaian hubungan dan melaksanakan program perubahan ke arah kebaikan dan kesejahteraan negara menerusi relung amal masyarakat madani.


"Ikram percaya dengan latar belakang, pengalaman dan kredibiliti yang dimilikinya, beliau boleh berjaya dalam apa juga medan yang bakal diceburi," katanya.


Sehubungan itu, ujar beliau Ikram mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Syed Ibrahim atas sumbangan yang amat besar kepada Ikram khasnya dan masyarakat madani amnya.


Beliau berharap semoga Syed Ibrahim dapat terus menyumbang kepada pembinaan negara bangsa Malaysia dalam lapangan politik kepartian yang diceburinya.


"Ikram berdoa agar Allah SWT sentiasa memberi petunjuk dan hidayah-Nya dalam setiap urusan beliau. Selamat maju jaya," katanya lagi. - HARAKAHDAILY 10/12/2014

0 comments: