Istiqamah Menggalas Perjuangan



Istiqamah Menggalas Perjuangan

TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | 01 Disember 2014.


ALHAMDULILLAH, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya PAS ‘terus beristiqamah’ menggalas per juangan Islam ini khususnya di bumi Malaysia. Walaupun berusia 63 tahun sejak secara rasmi didaftarkan sebagai sebuah harakah siyasah pada tanggal 24 November 1951, hakikatnya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyambung perjuangan Islam yang dirintis lebih awal di Tanah Melayu demi cita-cita mendaulatkan syariat Allah di muka bumi ini.



Maka, sebagaimana jauh berliku serta penuh gelombang mencabar lagi menggugat perjalanan tersebut dalam rakaman perjuangan para Anbiya, solehin, siddiqin dan syuhada di sepanjang zaman, seperti itulah ditempuh PAS dalam memenuhi peranan dan tanggung jawabnya dengan mengimani firman Allah: “Kalau perkara engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah lagi mudah didapati, dan satu perjalanan sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (kaum munafik) akan mengikutmu; tetapi tempat hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah atas nama Allah dengan berkata: “Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamuĂ®. (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).” (at- Taubah: 42)


Bersempena Sambutan Ulangtahun 63 Tahun PAS dengan tema ‘Istiqamah Menggalas Perjuangan’, kami beriltizam menyatakan kepada umat ini khususnya rakyat Malaysia, bahawa PAS akan teguh memenuhi matlamat ‘Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup lslam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah’ sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan PAS.


PAS komited untuk membebaskan negara ini dari segala kongkongan, cengkaman, penindasan dan kezaliman ke atas kehidupan rakyat sama ada berupa kekuasaan kerajaan, peraturan dan sistem, mahupun material hingga menjadi kepatuhan dan keyakinan thaghut yang bermaharaja lela.


Semua ini akan PAS hapuskan dengan dakwah dan menggantikannya dengan peme rintahan yang saksama di bawah payung Ilahi sebagaimana prinsip terkandung dari ungkapan Pang lima Islam, Rub’ie bin ‘Amir kepada Raja Parsi, Rustum: “Allah telah mengirim kami untuk mengeluarkan siapa yang Dia kehendaki dari perhambaan sesama manusia kepada memperhambakan diri kepada Allah, dan dari sempitnya dunia menuju keluasan akhirat, dari penyimpangan agama-agama yang ada menuju keadilan Islam.”


Lalu dengan perjuangan PAS itu, akan merdekalah Malaysia dan rakyat dalam erti kata sebenar agar berupaya mereka dengan akal fikiran dan hati yang lapang untuk menerima Islam sebagai aqidah dan Din, atau terpulang atas pilihan kehidupan masing-masing.


Sesungguhnya Allah telah berfirman: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (thaghut). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan thaghut dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh dan tidak akan putus....” (al-Baqarah: 256)


(Kata-kata Aluan Presiden PAS Sempena Ulang Tahun PAS ke-63)

0 comments: