"Isu Ustaz Ekspres dan Ustazah Jadian: Teguran Buat Dato' Dr Ustazah Mashitah Ibrahim"



KENYATAAN MEDIA
"Isu Ustaz Ekspres dan Ustazah Jadian: Teguran Buat Dato' Dr Ustazah Mashitah Ibrahim"


1. Penghijrahan manusia untuk kembali mentaati Allah setelah terjerumus kepada kelalaian dan pelanggaran perintah agama sememangnya perkara yang dituntut oleh Islam.


2. Ia selaras dengan sabda Rasulullah SAW: "Dan orang orang berhijrah adalah yang berpindah dan meninggalkan perkara dilarang oleh Allah.".


3. Bermakna mereka yang berusaha untuk meninggalkan perkara buruk atau mengeluarkan dirinya dari kehidupan gelap gelita serta penuh kepalsuan dan kelalaian, menuju kepada kehidupan baru yang disinari cahaya iman, tindakan mereka adalah perbuatan terpuji dan wajib disokong.


4. Sudah tentu, manusia yang menyedari kesilapan lampau dan berusaha memperbaiki diri dengan bertaubat, adalah mereka yang menyesali perbuatannya itu lalu meninggalkan perbuatan buruknya dan berazam untuk tidak mengulanginya. 


5. Alhamdulillah apabila kita melihat ramai di kalangan artis berhijrah daripada kehidupan lama mereka kepada kehidupan baru, mereka turut memilih PAS sebagai wadah mereka untuk mendekatkan diri kepada Islam disamping melaksanakan tugas dakwah bersama PAS. 


6. Dua perkara perlu kita akui iaitu pertama mereka memilih PAS untuk memahami Islam. PAS sebagai sebuah gerakan Islam di Malaysia bukan hanya merupakan parti politik. Tetapi PAS turut menggerakkan dakwah dan tarbiah yang menjadi tunjang kekuatannya. PAS tidak meletakkan Islam hanya pada seruannya, bahkan berusaha menjadikan Islam sebagai cara hidup yang menjamin kesempurnaan kehidupan manusia.


7. Bahkan ramai pendokong PAS terdiri dri kalangan mereka yang berpendidikan agama dan kewujudan mereka dirasai oleh masyarakat melalui dakwah umum seperti ceramah, forum dan agenda pentarbiahan masyarakat. Bahkan Presiden PAS dan Mursyidul Am PAS adalah tokoh ulama yang dihormati dunia.


8. Keduanya PAS melaksanakan tugas dakwah sebagai tuntutan Islam. Firman Allah: "Hendaklah ada di kalangan kamu satu ummah (kelompok) yang menyeru manusia ke arah kebaikan ( Islam ) dan menyuruh mereka melakukan kebaikan dan mencegah mereka daripada melakukan kemungkaran. Dan merekalah orang orang yang berjaya". Serta sabda Rasulullah SAW: "Sampaikanlah apa yang kamu dengar dariku, walaupun satu ayat."


9. Maka kesediaan para artis yang berhijrah untuk berkongsi menceritakan kehidupan mereka yang baru, serta mengajak masyarakat menjauhi kehidupan yang melalaikan serta meninggalkan maksiat adalah satu amanah amar maaruf nahi munkar yang terpuji dan menepati kehendak Islam. Mereka tidak menghukum individu-individu tertentu, jauh sekali mengeluarkan hukum atau mengeluarkan fatwa songsang. 


10. Penyertaan mereka dalam PAS atau menghadiri program-program anjuran PAS adalah kerana PAS menyokong penghijrahan mereka dan menyediakan ruang dakwah untuk mereka selain PAS berperanan untuk membawa mereka kepada Islam yang syumul.


11. PAS bukan sahaja menerima artis yang ingin berhijrah, malah PAS turut bersedia menerima siapa sahaja yang ingin mendekatkan diri kepada kehidupan beragama. Sekaligus memandu mereka kepada keluasan akhirat sebagai tempat kembali manusia yang kekal abadi.


12. Sepatutnya Dr Mashitah sebagai penceramah tersohor negara suatu masa dahulu perlu menghormati dan memberikan rangsangan kepada masyarakat yang masih belum menutup aurat dan hidup dalam kelalaian untuk berhijrah dan mengeluarkan diri mereka daripada kejahilan kepada Islam. Tidak kiralah sama ada pemimpin negara dan isteri mereka, golongan karyawan dan artis atau masyarakat awam.


13. Beliau juga sewajarnya mencadangkan kepada kerajaan agar memberikan ruang kepada artis yang berhijrah untuk melebarkan dakwah mereka. Kemunculan golongan artis sebagai "figure" masyarakat di pentas pentas dakwah sudah pasti memberi kesan kepada peminat dan masyarakat untuk berubah dan seterusnya mewujudkan masyarakat yang lebih baik. Kerajaan juga disarankan untuk menyediakan garis panduan lebih Islamik khususnya dalam setiap program hiburan, drama dan filem yang disiarkan di dalam negara kita. Unsur dakwah dalam drama dan filem kita jelas amat kurang, sedangkan drama dan filem merupakan medan dakwah yang luas dan belum diterokai dengan tuntas oleh karyawan di negara kita. 


14. Amatlah diharapkan supaya semua pihak memberikan ruang dan peluang untuk sesiapa sahaja yang ingin berubah ke arah kebaikan. Sesungguhnya Allah amat menyukai orang yang bertaubat dan kembali ke jalan-Nya. Amat rugilah mereka yang diberikan hidayah, tetapi menolak hidayah apabila sampai seruan kepadanya. 


Semoga Allah sentiasa memberikan hidayah dan menganugerahkan kita mengikuti petunjuk-Nya.


YB MOHD AZAM ABD SAMAT
Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Kedah
ADUN Sungai Limau Kedah

0 comments: