Kejatuhan Minyak Dunia Jatuh Beri Kesan Dana Khas

HARAKAHDAILY | .




KUALA TERENGGANU: Hishamuddin Abdul Karim merakamkan rasa bimbang dengan kedatangan tahun 2015 yang sangat mencabar walaupun anggaran hasil negeri ini bagi hadapan sebanyak RM2.4 bilion berbanding 2014 sebanyak RM2.2 bilion.



Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh itu berkata, kebergantungan hampir 88.6 peratus melalui sumber Kerajaan Persekutuan perlu diberikan perhatian oleh kerajaan negeri.


Katanya, dengan 11.4 peratus dari sumber sendiri sangat mustahak untuk diberikan perhatian oleh semua pemimpin negeri.


"Jika diperhatikan melalui Dana Khas Persekutuan yang tentunya kita cukup faham Dana Khas Persekutuan muncul bagi menggantikan bayaran royalti oleh pihak Petronas," ujarnya ketika membahaskan bajet negeri 2015 pada persidangan Dun di sini, semalam.


Menurutnya, bagi tahun 2014 dengan anggaran RM1.83 bilion dan bagi tahun 2015 dengan anggaran RM1.97 bilion, 2014 dilalui dengan selesa.


"Anggarannya lebih rendah, jauh bezanya dengan akhir 2014 dan berterusan pada 2015. Kejatuhan harga minyak dunia dan nilai mata wang Malaysia" ujarnya lagi.


Tetapi, kata beliau kenyataan terakhir Presiden Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas yang menegaskan jangkaan kehilangan 37 peratus pendapatan untuk negara adalah satu perkara yang serius dalam keadaan kita rancak berbelanja.


Tambahnya, kenyataan itu terbuti memberi kesan awal apabila Indeks Bursa Saham Malaysia jatuh teruk pada 1 Disember lalu.


"Berbanding RM29 bilion (sumbangan dividen), RM26 bilion (cukai), RM13 bilion (royalti minyak dan gas) untuk tahun 2014 ini daripada Petronas, sekaligus saya percaya ia akan memberikan kesan terhadap pemberian Dana Khas Persekutuan untuk Terengganu," katanya lagi.


Justeru, ujar beliau pihak kerajaan negeri diharap dapat mengambil kira semua faktor itu menjelang tahun hadapan.


Pun begitu, beliau merakamkan kekecewaan terhadap ucapan bajet oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dalam isu Dana Khas Persekutuan.


Semasa membentangkan bajet itu kelmarin, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri tidak berhasrat untuk terlibat dalam polemik sama ada sumber pendapatan negeri adalah royalti ataupun bukan royalti.


"Saya mewakili rakyat, tidak menganggap kalaulah penegasan Menteri Besar terhadap royalti bukanlah sebagai satu polemik, malahan ianya merupakan satu perjuangan penting rakyat Terengganu.


"Cukuplah merakamkan rasa kekecewaan dengan Menteri Besar yang menganggap ia sebagai satu polemik walaupun ia merupakan hak rakyat Terengganu sejak sekian lama," tegas Hishamuddin. - HARAKAHDAILY 10/12/2014

0 comments: