Kekalkan Akta Hasutan Untuk Perkukuh Kuasa Politik, Bukan Untuk Keamanan Negara



Diterbitkan: 03 Disember 2014 
Ditulis oleh YB DATO’ MAHFUZ HAJI OMAR
Dengan pengumuman rasmi untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948 yang dibuat di dalam Perhimpunan UMNO 2014 baru-baru ini, maka sempurnalah pengkhianatan Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak terhadap janji yang dilafaz beliau sendiri sejak tahun 2012 untuk memansuhkan Akta Hasutan. Nampaknya Perdana Menteri memilih untuk tunduk kepada tekanan para ‘warlords’ yang berada di dalam UMNO supaya Akta Hasutan terus digunakan sebagai senjata untuk memperkukuh kuasa politik UMNO dan Barisan Nasional.

PAS bersama dengan Pakatan Rakyat sejak awal berpendirian tegas bahawa kedudukan Raja-Raja Melayu, kemuliaan agama Islam, hak istimewa bumiputera, hak kewarganegaraan dan juga kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa kebangsaan sebagaimana yang sedia termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah merupakan paksi asas negara yang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa pun. Kami menentang Akta Hasutan bukan bermaksud untuk mengizinkan perkara-perkara ini atau apa jua hal-hal lain yang sensitif yang lain untuk dipersoalkan hingga menggugat keharmonian negara. Tetapi hakikatnya kandungan dan peruntukan di dalam Akta Hasutan yang sedia ada telah membuka ruang kepada penguatkuasaan yang selektif dan berat sebelah di atas tujuan politik, dan bukan untuk menjaga keamanan negara. Hakikat inilah yang gagal difahami oleh UMNO dan Barisan Nasional yang berterusan cuba mengelirukan rakyat kononnya Akta Hasutan inilah yang menjadi benteng terakhir di dalam mempertahankan kedudukan orang Melayu dan agama Islam di negara ini.

Ketempangan utama di dalam Akta Hasutan ialah apabila di dalam pendakwaan ke atas sebarang kesalahan di bawah akta ini, pihak pendakwa tidak perlu untuk membuktikan niat (intention) orang yang dituduh untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang berkecenderungan untuk menghasut (seditious tendency) sebagaimana yang disenaraikan di dalam Seksyen 3 dan 4 akta tersebut. Oleh yang demikian, ini membuka ruang kepada apa jua kritikan atau teguran ke atas sebarang institusi kerajaan dan juga dasar-dasar kerajaan, tanpa mengira niat sebenar atau konteks di mana kritikan itu dibuat, untuk dianggap sebagai mempunya kecenderungan menghasut. Dalam keadaan inilah kita menyaksikan sebegitu banyak pendakwaan dibuat dengan semata-mata bersandarkan kepada peruntukan di dalam akta ini walhal motif sebenar ialah untuk mengekang kebebasan bersuara dan menutup segala ruang kritikan terhadap kelemahan kerajaan.

Rakyat harus menyedari bahawa negara kita sudah mempunyai peruntukan undang-undang yang mencukupi sebagaimana di dalam Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia untuk membendung jenayah menanam kebencian dan penghinaan ke atas agama dan kaum dan apa jua perbuatan yang boleh menggugat keharmonian rakyat berbilang kaum. Di dalam Kanun Keseksaan sebagai contoh, terdapat peruntukan seperti Seksyen 298 (perbuatan sengaja mengeluarkan perkataan dan kenyataan untuk menyakiti perasaan penganut agama), Seksyen 298A (melakukan perbuatan yang mengakibatkan ketidakharmonian, perpecahan, permusuhan, kebencian dan prejudis di atas alasan agama), Seksyen 499 (jenayah fitnah), Seksyen 504 (perbuatan menghina dengan sengaja dengan niat untuk menimbulkan kekacauan) dan Seksyen 505 (mengeluarkan kenyataan yang menggugat keharmonian awam ). Dengan adanya peruntukan-peruntukan ini semua, maka tidak ada alasan lagi kenap a akta warisan penjajah ini perlu dikekalkan.

Sesungguhnya pengumuman Perdana Menteri untuk mengekalkan Akta Hasutan tidak sedikit pun menggugat keyakinan PAS untuk terus berganding bahu dengan semua pihak untuk memperjuangkan agar akta ini dimansuhkan. Bahkan PAS akan memperhebatkan kempen besar-besaran secara menyeluruh ke seluruh negara untuk menuntut pemansuhan Akta Hasutan dan lain-lain undang-undang yang zalim dan tidak demokratik.


Yang benar,

YB DATO’ MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Penerangan PAS
Ahli Parlimen Kawasan Pokok Sena
3 Disember 2014

0 comments: