Kelantan Bantu Kafa Tingkatkan Bola Sepak


SALMAH MAT HUSAIN | .



KOTA BHARU: Dakwaan sesetengah pihak kononnya kerajaan negeri tidak membantu membangunkan sukan bola sepak di negeri ini tidak berasas.


Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri sentiasa membantu Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi memajukan sukan bola sepak.


“Kita berharap kerjasama lebih erat pada masa akan datang kerana kita melihat kejayaan sebelum ini seperti merangkul tiga piala besar dalam setahun jarang berlaku.


“Tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan,” katanya selepas pertemuan dengan rombongan Kafa di pejabatnya hari ini. 


Pengurusan Kafa diketuai pengerusinya Tan Sri Annuar Musa. Hadir sama anggota Exco kerajaan negeri, Dr Ramli Mamat dan anggota parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan.
Sebelum ini pasukan The Red Warriors berjaya menggondol tiga piala dalam setahun iaitu Piala Malaysia, Piala Liga dan Super.


Menteri Besar yang juga Pengerusi Perbadanan Stadium Kelantan berkata, semoga perbincangan dan kerjsama dapat meningkatkan lagi prestasi sukan bola sepak.


Perbincangan itu juga mewujudkan Jawatankuasa Penyelaras di antara Perbadanan Stadium Kelantan dan Kafa yang dipengerusikan, Dr Ramli.


Annuar pula mengucap penghargaan di atas kerjasama kerajaan negeri dan Perbadanan Stadium Kelantan.


Katanya, hasil perbincangan dan tanggungjawab bersama diharap membolehkan Kafa mengharungi cabaran musim depan dengan lebih cemerlang.


“Saya fikir ini satu permulaan yang sangat memberangsangkan bagi bola sepak Kelantan,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 2/12/2014

0 comments: