Ketua Pembangkang: Shamsudin Bayang BN Selagor Dalam Dilema


HARAKAHDAILY | .




KUALA LUMPUR: Tindakan Adun BN Datuk Mohd Shamsudin Lias yang meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor (DNS) semalam, sekali lagi meletakkan BN itu dalam dilema.


Shamsudin ketika bercakap kepada pemberita membayangkan sukar bagi BN negeri itu untuk melantik Ketua Pembangkang yang baharu kerana mereka akan berhadapan dengan situasi yang sama.



Adun Sungai Burong itu merujuk kepada Peraturan Tetap 68(1) (Pindaan) Dun Selangor yang mewajibkan Ketua Pembangkang Dun mengetuai Jawatankuasa Kira-kira Wang kerajaan (PAC) negeri, yang dijadikan sebab perletakan jawatan beliau.




"Ia (calon pengganti) belum dibincangkan lagi kerana perkara seperti ini tidak pernah berlaku.




"Selepas ini kalau siapa pun gantikan tempat saya, kita akan berdepan masalah sama.




"Atas dasar ini kita akn bincangkan terlebih dahulu perkara ini sebelum sidang Dun bermula Mac tahun hadapan," katanya dipetik sebuah akhbar bahasa Melayu hari ini.




Sementara itu, Speaker DNS, Hannah Yeoh semalam menggesa BN negeri segera menamakan Ketua Pembangkang baru bagi menggantikan Shamsudin bagi memastikan pentadbiran dewan berjalan lancar.




“BN perlu menamakan salah seorang Adun BN sebagai Ketua Pembangkang supaya mereka dapat melaksanakan tugas dan memainkan peranan dalam pentadbiran DNS secara efektif dan berkesan demi rakyat.




“Saya percaya, dalam kalangan 12 Adun BN, mesti ada seorang yang layak dan sudi untuk jadi Ketua Pembangkang,” katanya.




Hannah bagaimanapun menambah, sidang Dun pada Mac 2015 akan datang masih boleh diteruskan sekalipun tanpa Ketua Pembangkang.




Namun menurutnya, situasi itu akan membantutkan kelancaran dewan.




“Jika itu berlaku, BN Selangor perlu menjawab kepada rakyat kerana mereka  dibayar untuk menjalankan kerja kita dalam DNS,” kata Adun Subang Jaya itu. - HARAKAHDAILY 9/12/2014

0 comments: