Kilang Perwaja Steel Tutup 1,500 Pekerja Diberhentikan


HARAKAHDAILY | .





KUALA TERENGGANU: Kilang Perwaja Steel Sdn Bhd (PSSB) telahpun tutup operasinya pada 19 November lalu dan seramai 1,500 pekerjanya diberhentikan setelah tidak dibayar gaji secara tetap dalam tempoh sekian lama.


"Apabila keadaan ini berlaku, maka terdapat lambakan 1,500 tenaha kerja mahir dalam sektor perkilangan industri berat yang terpaksa bersaing dengan tenaga kerja baru untuk mendapatkan pekerjaan," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai, Hanafiah Mat ketika membahaskan Bajet 2015 negeri pada persidangan Dun, petang ini.


Katanya, jumlah mereka yang terjejas sebenarnya adalah 5,000 orang setelah dikira jumlah pekerja, pasangan masing-masing atau tanggungan serta keluarga mereka.


Ini, ujar beliau akan memberi kesan langsung kepada ekonomi setempat serta kesan kepada setiap keluarga yang terlibat.


Justeru, katanya negeri amnya dan daerah Kemaman khasnya juga akan kehilangan putaran ekonomi pada kadar gaji pekerja Perwaja sebanyak RM3.5 juta hingga RM4 juta sebulan.


"Ini memberi kesan langsung kepada sektor perniagaan runct dan sektor perbankan di Kemaman," ujarnya yang juga Penolong Setiausaha PAS negeri.


Setelah mengambil kira implikasi penutupan kilang Perwaja di Kemaman, beliau mencadangkan beberapa langkah yang boleh diambil oleh kerajaan negeri untuk menamatkan krisis itu atau mengurangkan kesannya kapada yang terlibat khasnya dan daerah Kemaman amnya.


Bagi pihak 1,500 pekerja yang diberhentikan, beliau mensyorkan agar kerajaan negeri menggunakan saluran-salurannya untuk mempengaruhi kerajaan Pusat supaya dapat mengiktiraf agar PSSB dapat beroperasi semula dan menjana semula pertumbuhan ekonomi negeri dan negara.


"Kerajaan negeri mesti membantu pekerja yang telah diberhentikan dengan menyediakan satu pelan atau skim yang membolehkan bekas pekerja Perwaja diasimilasi ke dalam masyarakat dengan lebih cepat dan berkesan," ujarnya.


Menurutnya, mereka umpama sudah jatuh ditimpa tangga apabila sebelum ini imbuhan yang mereka dapat tidak dibayar mengikut jadual dan mengalami kesulitan dalam menguruskan kehidupan peribadi dan rumahtangga mereka.


Sekarang, ujar Ketua PAS Kawasan Kemaman itu bulan Disember dan dalam masa tidak sampai sebulan, penggal persekolahan baru akan dibuka.


"Bayangkanlah betapa pilunya hati mereka melihat pakaian sekolah anak-anak yang telah lusuh tidak dapat diganti baharu kerana kini digelar sebagai penganggur.


"Cuba pula kita duduk dalam keadaan mereka, betapa aibnya menjadi ibu bapa yang tidak dapat membayar yuran-yuran persekolahan anak dan membeli buku-buku anak yang bukan sedikit jumlahnya," katanya lagi.


Mereka kini, kata Hanafiah bukan sahaja tidak mampu untuk membuat persiapan menghadapi sesi persekolahan, bahkan memikirkan untuk mencari rezeki bagi menyuap makanan kepada anak-anak juga sudah menjadikan mereka sakit kepala.


Kata beliau lagi, sememangnya penutupan kilang PSSB dan pemberhentian pekerjanya di Kemaman secara total merupakan satu titik hitam dalam sejarah perindustrian negara dan negeri ini.


"Sekiranya ia benar-benar menjadi kenyataan dan kita gagal untuk membendungnya atau mengurangkan impak kepada rakyat, maka kita sebagai kerajaan adalah bertanggungjawab," katanya lagi.


Justeru, ujarnya adalah menjadi harapan agar usaha-usaha dapat digembleng oleh kerajaan untuk mengelakkan perkara sedemikian berlaku dan setidak-tidaknya mengambil langah yang dikira wajar untuk meminimumkan impak dan kesan kepada rakyat negeri ini. -HARAKAHDAILY 9/12/2014

0 comments: