Kita Mesti Mewarisi Perjuangan Islam


MOHD SABRI SAID | .








PERMATANG PAUH: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, golongan yang suka mengamalkan sikap remeh temeh dan terlalu melampau lebih senang dipergunakan oleh musuh untuk menghancurkan Islam berbanding musuh sebenar.


"Kita mesti mewarisi perjuangan Islam jangan bertindak menjadi acuan kehancuran.


"Dalam Islam pun ada khilaf dan pertelingkahan namun tetap ada ukhuwah dan keakraban persahabatan tanpa ada dendam," jelas beliau ketika menyampaikan kuliah tafsir Surah Al-Fath pada Ijtimak Tarbawi 4.0 di Kompleks An-Nahdhoh, dekat sini semalam.


Katanya, mereka yang tergolong dalam ketogari begitu wajar keluar segera dari kepompong seandainya mahu melihat tunas-tunas baru tumbuh dengan segar.


Beliau menjelaskan, perjuangan Islam menuntut keberanian untuk mencapai keberkatan
"Sebab itu, kita diingatkan untuk terus bersama jamaah. Apa pun yang terjadi tetapkan hati dan ukhuwah, berkasih sayanglah sesama kita kerana ia akan mematikan usaha iblis yang asyik melaksanakan tugasan jahat," tegas beliau.


Menyentuh situasi dunia Islam hari ini, Tuan Guru yang juga Naib Ketua Kesatuan Ulamak Dunia kesal kerana kebanyakan negara umat Islam sanggup berperang sesama sendiri tetapi dalam masa yang sama takut berhadapan dengan musuh.


Menurutnya, mereka sanggup bertempur sesama sendiri walaupun kadang-kadang dalam perkara kecil.


"Hari ini kebanyakan negara Islam takut dengan orang kafir tetapi sanggup bertelagah, berperang dan membunuh sesama Islam. Inilah yang dikatakan tragedi akhir zaman," tegasnya yang juga Ahli Parlimen Marang. - HARAKAHDAILY 7/12/2014

0 comments: