Konsep Wasatiyyah Umno BN Hanya Cakap Kosong


AZIZ MUDA | .




PETALING JAYA: Kerajaan Umno BN hanya bercakap kosong dari segi konsep wasatiyyah kerana ia hanya dijadikan temanya sahaja, tetapi tidak dilaksanakan seperti yang dituntut dalam Islam.


Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, tindakan kerajaan memperkenalkan konsep wasatiyyah merupakan satu langkah yang baik kerana ia mengambil pendekatan untuk menyelesaikan masalah secara holistik.



Menurut beliau, konsep wasatiyyah sememangnya sesuai dengan keadaan di negara kita yang mempunyai masyarakat majmuk, lebih-lebih lagi ia diamalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. sendiri di negara Islam Madinah.


"Tetapi apakah kerajaan yang memperkenalkan konsep ini, konsep yang baik ini, mengamalkan konsep ini? Di bawah pemerintahan Umno BN, corruption berlaku, penyelewengan berlaku, penindasan, kezaliman berlaku. Sepatutnya apabila sudah dilaksanakan wasatiyyah tak boleh buat itu semua," katanya.



Bercakap dalam wawancara eksklusif bersama akhbar Sin Chew Jit Poh di pejabat akhbar itu di sini hari ini, beliau berkata, konsep wasatiah seperti yang terdapat dalam ajaran Islam membabitkan pelbagai aspek termasuk politik, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan dan undang-undang.



Katanya, dari sudut ekonomi sahaja, kerajaan telah melakukan pelbagai percanggahan dengan konsep wasatiyyah yang diperkenalkan itu termasuk dalam kes 1MDB sehingga menyebabkan berbilion ringgit wang negara habis.



Dari sudut pendidikan, katanya, kerajaan turut gagal melaksanakannya dengan baik termasuk yang membabitkan pinjaman PTPTN, apabila kaedah yang digunakan begitu membebankan para pelajar atau peminjam terutama mereka yang belum dan baharu mendapat pekerjaan tetap dan bergaji kecil.


"Dalam aspek kemasyarakatan, kerajaan sepatutnya membela orang miskin, tetapi ini tidak dilakukan. Walaupun diberikan BR1M, itu bukan penyelesaiannya, apatah lagi jika ia adalah untuk tujuan matlamat politik," ujarnya.


Beliau turut kesal dengan tindakan kerajaan Umno BN dalam perkara-perkara yang dipertikaikan termasuk ketelusan kerajaan dalam TPPA (Trans Pacific Partnership Agreement) dan pelaksanaan GST (cukai barangan dan perkhidmatan), sehingga rakyat sendiri tertanya-tanya mengenai perkara itu tetapi tidak diberikan penjelasan yang sewajarnya oleh pihak kerajaan.


"Mengenai Akta Hasutan, untuk menghalang fitnah, dalam Islam pun tak boleh fitnah orang, tetapi Akta Hasutan digunakan secara terpilih. Kalau dikenakan Akta Hasutan kerana fitnah yang tak boleh dilakukan, betulkah orang itu melakukan fitnah? Ini tak tepat dengan wasatiyyah," ujar beliau. 


Turut hadir bersama beliau ke pejabat akhbar Sin Chew Jit Poh ialah Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat, Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Ketua Penerangan Pemuda PAS, Mohd Nasaie Ismail, Timbalan Ketua dan Setiausaha Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud dan Azlina. -HARAKAHDAILY 10/12/2014

0 comments: