KWSP Didakwa Nafi Hak Pesara


ARIF ATAN | .





KUALA LUMPUR: Persatuan Pesara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Malaysia mendesak kerajaan menyelesaikan kegagalan pelaksanaan opsyen ditandatangani oleh pesara KWSP di bawah Laporan Gaji Harun (HCR) 1975 dan Laporan Gaji Kabinet (CCR) 1977 yang mengakibatkan kerugian gaji dan faedah persaraan. 


Penolong Setiausahanya, Ismail Abdullah menghubungi Harakah berkata, pertemuan bersemuka antara pihak persatuan dan pengurusan KWSP kali terakhir pada 7 Januari 2013 selain banyakberurusan melalui surat sejak beberapa tahun lalu masih gagal menyelesaikan masalah dihadapi.



"Kami berusaha agar dapatlah diperbetulkan ketidakadilan terhadap kira-kira 500 pesara selama ini disebabkan oleh Lembaga KWSP tidak memahami tuntutan kami," ujarnya pada 9 Disember lalu. 



Menurut Ismail, pihak persatuan pada 1991 telah memfailkan kes sivil untuk mendapatkan perintah mahkamah ekoran penolakan Lembaga KWSP terhadap tuntutan mereka dua tahun sebelum itu. 



KWSP melalui surat bertarikh 15 Disember 1989 memutuskan bahawa KWSK (Excess Fund) tidak boleh diteruskan semula dan diiktiraf sebagai gaji dan bukan caruman majikan bagi kakitangan yang memilih faedah pencen.



Dalam jawapan itu juga, KWSP memaklumkan kesatuan kakitangan mempunyai hak untuk tindakan lanjut termasuk membawa perkara tersebut ke Mahkamah Tinggi.



Walau bagaimanapun, KWSP, jelasnya, mengemukakan bantahan selepas kes itu difailkan di mahkamah sebelum bertindak menyingkirkan kes tersebut di Mahkamah Persekutuan dengan mendapatkan perintah mahkamah mendakwa pihak persatuan tidak layak mewakili pesara dalam tuntutan tersebut sebaliknya boleh membawa kes secara individu.



Ismail berkata, tidak berputus asa dengan tekanan dialami satu jawatankuasa ditubuhkan untuk meneruskan tuntutan terhadap pihak pengurusan KWSP. 



Selepas beberapa tahun pihak kesatuan berurusan dengan lembaga melalui surat, ujarnya, pihak pengurusan memberitahu supaya dikemukakan sekali lagi surat rayuan dan pihak Kesatuan berbuat demikian pada 27 November 2012.



Namun, Jabatan Pengurusan Sumber Manusia KWSP melalui Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi), Dato' Ibrahim Taib dalam suratnya bertarikh 14 Januari 2013 tidak mempertimbangkan rayuan pesara dan bekas kakitangan KWSP terbabit dengan antara lain memaklumkan "mengekalkan keputusan-keputusan Lembaga terdahulu". 



Kes semakan penghakiman yang difailkan di Mahkamah Tinggi juga turut disingkirkan atas alasan Private Law manakala kes rayuan seterusnya turut ditolak tanpa membicarakan "merit of the case". 



Mahkamah Persekutuan telah membuat perintah bertulis pada 5 April 2000 dengan antara lain menyebut, "Secara teknikalnya, ini tentunya tidak menghalang pekerja untuk mengambil tindakan sama ada atas nama sendiri secara terpisah atau secara bersama."



"Saya berharap Lembaga KWSP bersikap adil dengan meneliti semula intipati kes ini untuk bersikap adil kepada golongan pesara terlibat yang ramainya sudah berusia 70 tahun selain ada yang sudah meninggal dunia," kata Ismail lagi. - HARAKAHDAILY, 12/12/2014

0 comments: