MEMAHAMI KEPENTINGAN BAITULMAQDIS


Baitulmaqdis, Tanah Suci Ke Tiga Bagi Umat Islam Yang Kian Diratah Oleh Kerakusan Israel.
[ Artikel Kemanusiaan 03 - Permasalahan Asas Konflik Palestin-Israel : #1 Hak ke atas Baitulmaqdis ]


(MEMAHAMI KEPENTINGAN BAITULMAQDIS)


Nama :

Baitulmaqdis juga dikenali dengan nama al-Quds, Urussalim dan Jerusalem. Umat Islam kebanyakannya selesa menggunakan nama Baitulmaqdis dan al-Quds. Manakala media antarabangsa lebih cenderung menggunakan nama Jerusalem.


Fakta umum :

- Terletak di bukit Hebron / جبال الخليل di antara lautan Mediterranean dan Laut Mati.
- Merupakan antara kota tertua di dunia.
- Bahagian timur menempatkan kota lama Baitulmaqdis.
- Di dalam kota lama Baitulmaqdis terdapat kawasan yang dinamakan al-Haram al-Syarif / Mount Temple.
- Kedua-dua negara Palestin dan negara haram Israel mendakwa Baitulmaqdis sebagai ibu negara masing-masing , namun kedua-dua dakwaan tidak mendapat pengiktirafan antarabangsa.
- Kini Baitulmaqdis moden telah berkembang luas di sekitar kawasan kota lama Baitulmaqdis.


Kepentingan dari sudut agama :

- Baitulmaqdis adalah tanah yang dianggap ketiga paling suci dalam agama Islam selepas Mekah dan Madinah.
- Bangsa Kristian dan Yahudi pula menganggap tanah ini sebagai tanah yang paling suci dalam agama mereka.
- Dalam kota lama Baitulmaqdis terdapat kompleks yang dinamakan al-Haram al-Syarif / Mount Temple. Menurut pandangan kebanyakan ulama, ini adalah kawasan yang disebutkan dalam al-Quran sebagai ‘Masjidil Aqsa’ (Surah al-Isra).


Kota Lama Baitulmaqdis :

- Pada 1538, Khalifah Sulaiman, pemerintah empayar Turki Uthmaniah ketika itu telah membina tembok yang mengelilingi kota Baitulmaqdis.
- Kawasan di dalam tembok inilah yang dirujuk sebagai tanah Baitulmaqdis yang asal atau Kota Lama Baitulmaqdis / Old City of Jerusalem.
- Kota Lama Baitulmaqdis dibahagikan kepada 4 bahagian iaitu kawasan Islam, kawasan Kristian, kawasan Yahudi dan kawasan Armenia.
- Kota Lama Baitulmaqdis menempatkan beberapa binaan yang penting bagi tiga agama iaitu Masjid al-Aqsa dan Kubah Batu bagi umat Islam, Wailing Wall bagi bangsa Yahudi dan Church of the Holy Sepulchre bagi bangsa Kristian.


Baitulmaqdis Timur dan Baitulmaqdis Barat :

- Selepas perang Arab-Israel 1948, Baitulmaqdis dibahagikan kepada dua bahagian. Baitulmaqdis Barat jatuh ke tangan Israel manakala Baitulmaqdis Timur dikuasai oleh Jordan.
- Penguasa Jordan telah mengusir orang Yahudi daripada Kota Lama Baitulmaqdis dan melarang mereka daripada melakukan aktiviti keagamaan di Western Wall/Wailing Wall.
- Semasa Perang Enam Hari 1967, Israel berjaya menawan Baitulmaqdis Timur dan mula mengambil langkah untuk menyatukan keseluruhan Baitulmaqdis di bawah penguasaan Israel.


Israel merampas Baitulmaqdis :

- Pada 23 Januari 1950, Parlimen Israel telah meluluskan resolusi untuk menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
- Selepas Perang Enam Hari 1967, Israel menawan Baitulmaqdis Timur dan meluluskan akta yang menggabungkan Baitulmaqdis Barat dan Timur menjadi sebuah bandar Baitulmaqdis yang baru.
- Pada tahun 1980, Israel memperkenalkan The Jerusalem Law yang menyatakan bahawa Baitulmaqdis adalah satu bandar yang tiada pembahagian (timur dan barat).
- Israel mengisytiharkan keseluruhan Baitulmaqdis sebagai ibu negara menggantikan Tel Aviv.
- Pejabat Presiden dan Perdana Menteri, kediaman Presiden dan Perdana Menteri, bangunan parlimen, pejabat-pejabat kementerian dan mahkamah agung dipindahkan ke Baitulmaqdis secara beransur-ansur.


Respon antarabangsa terhadap penggabungan Baitulmaqdis Timur dan Barat :

- Penggabungan dan pengisytiharan bandar Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel tidak diiktiraf oleh masyarakat dan kebanyakan organisasi antarabangsa.
- Pihak berkuasa Palestin, Kesatuan Eropah, Mahkamah Keadilan Antarabangsa, Perhimpunan Agung PBB dan Majlis Keselamatan PBB menyifatkan Baitulmaqdis Timur adalah sebahagian daripada wilayah Tebing Barat dan merupakan tanah Palestin yang dijajah oleh Israel.
- Resolusi Majlis Keselamatan PBB 478 tidak mengiktiraf The Jerusalem Law dan menyifatkan undang-undang ini tidak sah.


Status Baitulmaqdis Timur :

- Kebanyakan masyarakat dan organisasi antarabangsa masih lagi mengiktiraf kewujudan pembahagian Baitulmaqdis Timur dan Barat.
- Status Baitulmaqdis Timur adalah tanah Palestin yang dijajah oleh Israel (Occupied Palestinian Territory).
- Israel menjajah dan menguasai Baitulmaqdis Timur termasuk kawasan al-Haram al-Syarif.
- Israel menetapkan beberapa peraturan bagi pelawat khususnya di kawasan al-Haram al-Syarif.
- Masjid al-Aqsa diletakkan di bawah pengawasan dan penyelenggaraan Lembaga Waqaf Palestin.
- Raja Jordan sebagai penjaga Masjid al-Aqsa.
- Israel sering mencemarkan kesucian kawasan al-Haram al-Syarif dengan menyekat umat Islam daripada bersolat di Masjid al-Aqsa serta menjalankan operasi penggalian di bawah Masjid al-Aqsa dan Kubbah al-Sakhrah.


Fatwa-fatwa berkaitan Baitulmaqdis :

Haram menziarahi Baitulmaqdis selagi mana ia berada di bawah penguasaan negara haram Israel. Ini adalah pandangan masyhur daripada Syeikh Dr. Yusof al-Qardhawi.

Hujah mengapa diharamkan menziarahi Baitulmaqdis :

1. Rakyat Palestin sendiri disekat dan mesti mendapatkan permit untuk menziarahi Baitulmaqdis khususnya rakyat Palestin yang tinggal di Gaza dan yang tidak memiliki kad pengenalan Israel.

2. Layanan dan diplomasi Israel terhadap pelancong dari luar adalah agenda normalisasi yang bertujuan menutup gambaran kezaliman dan penindasan mereka terhadap rakyat Palestin.

3. Aktiviti pelacongan ke Baitulmaqdis menuntut beberapa urusan yang pasti menggunakan duit dan kadangkala melibatkan jumlah yang tinggi. Hal ini secara langsung meningkatkan ekonomi Israel, dan secara tidak langsung mengiktiraf negara haram Israel serta mengukuhkan entiti Zionist. 

Sebahagian ulama menyokong fatwa ini dengan penambahan, jika pergi ke Baitulmaqdis sekadar untuk tujuan ziarah sahaja tanpa ada usaha untuk membebaskan tanah suci tersebut, maka hukumnya haram.

Terdapat juga sebahagian ulama lain berpendapat, tidak haram menziarahi Baitulmaqdis dengan hujah, tanah tersebut adalah tanah ke tiga paling suci bagi umat Islam dan bayak hadis yang menceritakan tentang kelebihan Baitulmaqdis. 


Dalia Zaidi
Koordinator MAPIM-Mesir

0 comments: