PAS Gesa Elak Penularan Ekstrimisme Di Malaysia

HARAKAHDAILY | .



KUALA LUMPUR: PAS menyeru supaya semua pihak berusaha mengelakkan penularan aliran ekstrimisme di Malaysia dan kembali kepada prinsip-prinsip Islam yang mengutamakan keharmonian masyarakat.


Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, teladan harus diambil daripada sunnah Nabi Muhammad s.a.w. yang berjaya menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Madinah dan seterusnya bagaimana tamadun Islam berjaya membawa rahmat bukan sahaja orang Arab di tanah Arab bahkan kepada seluruh manusia seperti termasuk di Nusantara ini dengan kewujudan Empayar Melaka dan Pasai.


Justeru, katanya kenyataan media oleh 20 orang bekas pegawai tinggi kerajaan dan ahli profesional berkaitan kekecewaan mereka mengenai kurangnya penjelasan dan kefahaman tentang kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan perlu diambil perhatian segera oleh pihak kerajaan.


Berikut kenyataan penuh beliau.

1. Kenyataan media oleh 20 orang bekas pegawai tinggi kerajaan dan ahli profesional berkaitan kekecewaan mereka mengenai kurangnya penjelasan dan kefahaman tentang kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan perlu diambil perhatian segera oleh pihak kerajaan. Setelah kerajaan memperuntukkan peruntukan puluhan juta ringgit untuk membiayai program dan institusi berkaitan agama Islam, hasilnya masih tidak memuaskan. Islam sepatutnya menjadi agama rahmat dan belas kasihan kepada semua rakyat kini mula dipersoalkan. Sepatutnya, dengan kewujudan Jakim, Ikim, Yadim dan Majlis Agama Islam di setiap negeri sepatutnya Islam terus berkembang dan dihormati.


2. Keresahan oleh 20 orang bekas pegawai tinggi kerajaan itu menunjukkan bahawa mereka amat prihatin terhadap perkembangan semasa yang mana label 'Islam' telah digunakan sesetengah pihak untuk menjustifikasikan sesetengah tindakan yang lebih mencerminkan tindakan 'autoritarian' lebih daripada asas rahmat dan belas kasihan kepada semua manusia. Tindakan yang lebih berbentuk 'autoritarian' itu akhirnya akan membentuk jiwa yang keras dan tidak selari dengan slogan 'wasatiah' yang digembar-gemburkan oleh Perdana Menteri.


3. Seharusnya, dengan kelebihan dan sumber yang ada pada kerajaan, budaya ilmu patut disuburkan melalui halaqah ilmu, dialog, wacana dan muzakarah bagi memberikan kefahaman dan peluang interaksi bukan sehaja kepada rakyat yang beragama Islam bahkan juga kepada rakyat yang bukan beragama Islam. Kita percaya bahawa Islam mampu mendepani cabaran dan kritikan dan seterusnya menunjukkan jalan toleransi yang sesuai dengan masyarakat majmuk di Malaysia.


4. Kemunculan NGO yang ultra Melayu-Islam tidak menjernihkan suasana polarisasi kaum dan agama di Malaysia bahkan tindakan sesetengah pihak itu lebih membawa kerosakan Islam sebagai agama yang mampu mendepani zaman. PAS sendiri telah membuat anjakan baharu dalam mendepani soal ini dengan menubuhkan Lajnah Perpaduan Kaum dan juga telah membuka ruang kepada rakyat bukan Islam untuk bersama-sama dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dengan slogan 'Islam Rahmat Untuk Semua' serta slogan 'Negara Berkebajikan'.


5. Oleh itu, saya menyeru supaya semua pihak berusaha mengelakkan penularan aliran ekstrimisme di Malaysia dan kembali kepada prinsip-prinsip Islam yang mengutamakan keharmonian masyarakat. Teladan harus diambil daripada sunnah Nabi Muhamaad SAW yang berjaya menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Madinah dan seterusnya bagaimana tamadun Islam berjaya membawa rahmat bukan sahaja orang Arab di tanah Arab bahkan kepada seluruh manusia seperti termasuk di Nusantara ini dengan kewujudan Empayar Melaka dan Pasai. Kerajaan harus menilai kembali peranan dan amalan di badan-badan agama Islam yang ada supaya fungsi mereka dapat dioptimakan bagi mencegah polarisasi kaum dan agama. Mana-mana peraturan dan amalan operasi standard perlu diperkemaskan dan diperbaharui supaya agama Islam akan terus dihormati. - HARAKAHDAILY 10/12/2014

0 comments: