PAS Menggalas Amanah Menambat Hati Pengundi


MUHAMMAD FAIZAL | .




KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata dalam keadaan masyarakat yang kian terbuka corak dan rentak pemikiran, PAS menggalas amanah besar untuk menambat hati khususnya dalam berhadapan pengundi teras iaitu Melayu.



Katanya, tuntutan politik semasa memerlukan PAS menilai dan mengemaskini strategi yang digunapakai dalam berhadapan dengan kerencaman agar ia sesuai dengan realiti masyarakat.




"Anjakan penting yang diambil ini tidaklah pula sampai kita menggadaikan prinsip dan ketulenan perjuangan yang berpaksikan Akidah yang sahih, sebagaimana peralihan zaman berlaku di dunia ini, begitulah juga parti kita tidak dapat lari daripada resam alam ini. 




"Suasana politik sudah berubah, kian rencam dan pelbagai ragamnya. Islam sebagai Ad-Din tetap kekal relevan sepanjang zaman tetapi bagi kita parti Islam amatlah wajar diperingatkan bahawa PAS akan hilang ditelan zaman jikalau kita gagal mengurus dan mengadaptasikan perubahan zaman ini," ucap beliau pada sambutan ulang tahun PAS ke 63 di Kuala Kangsar. 




Menurut beliau menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), pengundi muda kian bertambah dan akan menjadi kelompok utama yang berperanan sebagai penentu siapa yang layak berada di Putrajaya.




"Mereka ini yang dikenali sebagai Generasi Y (Gen Y), mempunyai ciri yang berbeza dengan generasi kita yang terdahulu. 




"Gen Y ini menginginkan kebebasan dalam bersuara, membuat pilihan, menghargai keterbukaan, ketelusan dan integriti. 




"Mereka ini agak kritikal dalam membuat penilaian dan tidak semudahnya menerima sesuatu perkara yang disampaikan kepada mereka. Mereka adalah terdiri daripada kelompok yang berumur 13 - 33 tahun," sambung beliau.




Ahli Parlimen Pokok Sena menggesa agar PAS perlu bijak dalam merangka formula dan strategi dalam menangani sokongan Gen Y ini agar parti itu dapat memahami aspirasi mereka sekaligus tampak mesra dengan generasi muda.




Katanya lagi, nilai intelektualisme perlulah dipupuk dengan baik kerana mereka sebagai generasi pelapis perjuangan amat diperlukan untuk memacu PAS ke mercu yang lebih gemilang pada masa hadapan, yang mungkin pada ketika itu kita sudah pun tidak berada di alam dunia ini.




"Parti kian meningkat usia, seiring dengan itu proses peremajaan parti amat penting untuk dititikberatkan. 




"Idea baru dan anjakan perubahan perlu dibuat daripada masa ke semasa agar PAS terus kekal relevan di pentas arena politik tanah air," tambah beliau lagi. 




Mahfuz menyifatkan, kesediaan untuk membuat perubahan seiring zaman ini boleh dicapai sekiranya PAS mempunyai keazaman dan keberanian untuk mengubah mentaliti keluar daripada tempurung lama kepada idea dan rentak baru. – HARAKAHDAILY 2/12/2014

0 comments: