PAS Ucap Takziah Kepada Keluarga Allahyarham Fuad Hassan


MUHAMMAD FAIZAL | .






KUALA LUMPUR: PAS mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Fuad Hassan, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTTA) tengah malam tadi.



Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi berharap agar keluarga Allahyarham bersabar dengan dugaan yang diberikan atas kehilangan orang tersayang.




"Kita (PAS) doakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan keluarganya diberi kesabaran untuk menempuhi dugaan atas kehilangan orang tersayang.




"Kita berharap setiap ahli keluarga dapat meneruskan hidup dalam suasana yang lebih baik dan mengganggap apa yang berlaku ini sebagai dugaan daripada-Nya," katanya kepada Harakahdaily.




Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut melahirkan rasa bangga dengan keluarga Tan Sri Ustaz Hassan Azhari kerana telah dapat membentuk anak-anaknya menjadi individu yang berkepimpinan dalam pelbagai bidang dan Allahyarham Datuk Fuad Hassan adalah salah seorang daripadanya.




"Walaupun dalam latar belakang politik yang berlainan tetapi kita berbangga dengan keturunan keluarganya yang mempunyai tokoh dalam pelbagai bidang serta sumbangan yang diberikan," sambung beliau.




Fuad menghembus nafas terakhir kita-kira jam 12.20 tengah malam tadi di sisi ahli keluarganya setelah tidak sedarkan diri sejak dimasukkan ke hospital berkenaan awal pagi semalam.




Allahyarham sebelum itu diserang sakit jantung semasa menghadiri majlis penutup sempena Program Pemukiman Transformasi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Awana Kijal, Kemaman, Terengganu 11.15 malam kelmarin. – HARAKAHDAILY 8/12/2014

0 comments: