PBT Diberi Kuasa Rampas Premis Urut Langgar Syarat

HARAKAHDAILY | .



KUALA LUMPUR: Berikutan permasalahan percambahan rumah urut tanpa lesen di Selangor, Kerajaan Negeri merancang mewujudkan undang-undang agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) boleh merampas premis menjalankan semula perniagaan meskipun dikenakan tindakan sitaan.


Demikian penjelasan Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah, sebagai jawapan kepada pertanyaan mulut daripada Shuhaimi Shafiei (PKR-Sri Muda) pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.


Menurut Ean, undang-undang perlu berikutan masih terdapat premis berdegil meneruskan perniagaan walaupun diarah menghentikan sebarang aktiviti.


“Memang ada isu apabila tindakan sitaan diambil terhadap sesebuah premis, tetapi selepas itu mereka masih jalankan perniagaan lagi.


“Kebiasaannya kita mendapat aduan atau maklumbalas penduduk dan pihak berkaitan, jadi kita panjangkan perkara ini supaya undang-undang khas boleh diwujudkan untuk PBT merampas premis terbabit,” kata Ean dipetik Selangor Kini.


Tindakan sita ini adalah di bawah peruntukan Undang-undang Kecil Pusat Kecantikan kepada premis yang didapati menjalankan perniagaan rumah urut tanpa lesen. Sekiranya peniaga melanggar syarat lesen, maka tindakan penutupan premis akan dilakukan.


Pada tahun 2009 statistik Majlis Keselamatan Negara menunjukkan bahawa ketika itu terdapat kira-kira 4,000 premis pusat hiburan, rumah urut dan pusat refleksologi beroperasi di Selangor berbanding 700 sebelumnya.


Namun, perlu diketahui bahawa penguatkuasaan pembanterasan ini juga membabitkan agensi kerajaan pusat seperti PDRM, Jabatan Imigresen dan sebagainya. – HARAKAHDAILY 4/12/2014

0 comments: