Pemberian Bonus Felcra, Bapa Lapor Ke SPRM



ANIS NAZRI | .



KUALA LUMPUR: Isu pemberian bonus secara tidak adil dalam kalangan ahli lembaga pengarah Felcra yang didedahkan Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) baru-baru ini membuktikan pendedahan Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa) sebelum ini berasas.



Justeru, bagi memastikan isu tersebut disiasat secara telus, Bapa mengambil langkah membuat laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kuala Lumpur, hari ini.




Pertemuan itu diharapkan dapat membuka ruang kepada SPRM untuk menyiasat isu tersebut selaras dengan pendedahan yang dilaporkan PAC.




Pertemuan itu diketuai Pengerusi Bapa, Haji Razman Zakaria selain turut diiringi Pengerusi Pertubuhan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman, di pejabat agensi itu, di Jalan Cochrane.



Ketika ditemui selepas pertemuan tersebut, Razman memaklumkan pihak SPRM meminta beliau untuk membuat laporan polis berhubung kerana agensi itu beranggapan isu tersebut membabitkan kesalahan jenayah dan bukannya rasuah.




"Selaras dengan cadangan pegawai SPRM tadi, maka Bapa akan membuat laporan polis di Ipoh, esok berhubung isu itu, selain meminta Bapa di peringkat negeri juga berbuat demikian," tegas beliau ketika ditemui di luar bangunan SPRM Kuala Lumpur.




Bagaimanapun, katanya pihak SPRM tetap memberikan jaminan untuk menyiasat  perkara tersebut.




Dalam masa sama, Pesuruhjaya PAS Perak itu turut mengharapkan SPRM bersedia bekerjasama untuk meneliti semua laporan-laporan berhubung penyelewengan yang berlaku di Felcra, yang sebelum ini didedahkan Bapa.




Sebelum ini, PAC yang diketuai Datuk Nur Jazlan Mohamed, dalam laporan PAC menyatakan pemberian bonus kepada ahli lembaga pengarah Felcra dibuat tanpa kelulusan Kementerian Kewangan.




Bonus tersebut diluluskan Felcra untuk diberikan kepada lembaga pengarah Felcra, termasuk tiga timbalan menteri iaitu Timbalan Menteri Pertaanian dan Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman, yang sebelum ini merupakan bekas Pengerusi Felcra,  Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib, dan Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerjaan Tempatan, Datuk Halimah Siddique. – HARAKAHDAILY 8/12/2014

0 comments: