Penghibur Wanita, Penonton Wanita – Dr Mariah

SALMIYAH HARUN | .


KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat mengakui pendekatan berdakwah khususnya di kalangan muslimat pada masa kini perlu melalui pelbagai cara sama ada hiburan atau kesenian asalkan tidak bercanggah dengan syariat Islam.



Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Islam sendiri telah menganjurkan hiburan tetapi hiburan itu sebagai medium membentuk minda masyarakat.




Bercakap dalam Wacana Garis Panduan Hiburan dan Kesenian Dalam Islam, Siti Mariah berkata, artis yang berhijrah hari ini perlu mengadakan program mereka di khalayak yang mendapat eksklusif di kalangan wanita sahaja.




"Penghibur wanita, dan khalayak juga adalah di kalangan wanita. Kita buat 'ladies night' dalam masa yang sama kita ada 'infotainment' seperti tazkirah. Kita buat lingkungan muslimat sahaja.




"Mungkin lepas ini kita jemput muslimat sahaja dalam kenduri kahwin yang pernah diamalkan di negara Arab, mereka boleh berhibur di kalangan mereka," katanya ketika merasmikan wacana yang dianjurkan oleh Lajnah Kesenian, Kebudayaan dan Rekreasi (LKKR) Dewan Muslimat PAS Pusat.




Hiburan yang mengikut syariat Islam ini katanya pasti akan terlaksanakan di negara ini melalui usaha-usaha yang dilakukan oleh PAS, suatu hari nanti.




Lajnah ini, katanya perlu ditubuhkan dan diperluaskan di peringkat kawasan dengan dipimpin oleh Muslimat di peringkat pusat.




Bahkan katanya, Lajnah Kesenian juga boleh memperluaskan pendekatan mereka misalnya menganjurkan pertandingan musbaqah Al-quran peringkat pusat sebagai usaha mengetengahkan wanita-wanita diluar sana yang mempunyai suara yang lunak. 




"Ramai wanita di luar sana mempunyai suara yang merdu. Jika kita buat mesti di kalangan muslimat sahaja. Insya-Allah program ini menjadi magnet untuk muslimat di luar sana untuk bertaranum. Kita buat tertutup. Yang penting tujuan kita adalah dakwah," katanya.




Wacana yang berlangsung di KUIZM Taman Melewar turut menampilkan tiga ahli panel iaitu Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, Ahli Majlis Syura Ulama PAS Pusat Dr Wahibah Tahir, dan Pengerusi Lajnah Tarbiyah Dakwah dan Perkaderan Dewan Muslimat PAS Pusat Dr Asiah Ali.




Kumpulan Nasyid El Muslimat yang diketuai oleh Pengerusi LKKR Wan Aisyah Wan Ariffin turut menghiburkan para peserta dengan alunan qasidah yang cukup mengasyikan. – HARAKAHDAILY 8/12/2014

0 comments: