Risalah Dakwah Siri 079: Ijtimak Tarbawi 4.0 ke Ijtimak Liwahdatil Ummah: Kesinambungan Tarbiyah Sepanjang Zaman

Photo: Risalah Dakwah. Siri 078

Ijtimak Tarbawi 4.0

1. Ijtimak ialah Perhimpunan. Tarbawi pula ialah nisbah kepada pembinaan dan perkaderan. Ijtimak Tarbawi membawa maksud himpunan yang mengumpulkan semua anggota jamaah untuk dibina aqidah, pemikiran dan akhlak mereka, lalu dikaderkan untuk memiliki persiapan dan kesediaan turun ke medan guna memperjuangkan Islam serta menyebarkan risalah an Nabawiyah kepada ummah.

2. Pulau Mutiara menjadi destinasi Ijtimak Tarbawi edisi ke empat. Ijtimak Tarbawi bermula dengan edisi pertamanya di Rusila Terengganu, sementara edisi 2.0 berlangsung di KUIZM Taman Melewar Selangor sebelum Ijtimak Tarbawi edisi 3.0  melabuhkan tirainya di Pagoh Johor. Tentunya Dewan Pemuda PAS Malaysia menjadi tunggak utama untuk meletakkan Amal Tarbawi ini terus mengungguli aktiviti pengkaderan jamaah.

3. Selepas Dewan Pemuda PAS Malaysia, individu yang selayaknya diberikan "penghargaan" sebagai orang penting di sebalik Ijtimak Tarbawi yang kini menjadi gathering tarbawi tahunan negara ialah Al Fadhil Yb. Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz bagi Ijtimak Tarbawi edisi 1.0, 2.0 dan 3.0. Kini baton itu digenggam kemas oleh Al Fadhil Ustaz Mohd Khalil Abdul Hadi (dibawah kepimpinan Sdr Suhaizan Kaiat selaku Ketua DPPM) untuk melangsungkan Ijtimak Tarbawi edisi 4.0. Kedua mereka adalah Pengerusi Lajnah Tarbiyyah Dewan Pemuda PAS Malaysia pada zaman masing - masing dan merekalah yang bertanggungjawab bagi memastikan Ijtimak Tarbawi dapat dilangsungkan dengan jayanya.

4. Setinggi - tinggi tahniah jua buat Murabbi Ummah Al Fadhil Yb. Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang (Presiden PAS) yang pasti menjadi tonggak utama Ijtimak Tarbawi. Al Fadhil Tuan Guru akan membatalkan semua program beliau yang lain semata - mata mahu bersama - sama peserta Ijtimak Tarbawi yang rata - ratanya adalah terdiri dari kalangan anak muda. Program teras Ijtimak Tarbawi ialah "Durus wa I'bar Min Tafseeril Quran" bimbingan Tuan Guru Presiden menjadi tumpuan anak - anak muda yang siap mahu membina aqidah, fikrah dan Syakhsiyah dengan sinar wahyu  bersama Gerakan Islam ini.

5. Saya ambil kesempatan ini untuk turut mengerahkan seluruh dua't (pendakwah) PAS dari seluruh negara agar menghadhiri Ijtimak Tarbawi 4.0 di Kompleks Yayasan Nahdhah Kubang Semang Permatang Pauh Pulau Pinang Pulau Mutiara yang akan berlangsung pada 5, 6 dan 7 Dec 2014 akan datang. Justeru duat (pendakwah) juga mesti memiliki asas pentarbiyyah yang kukuh dan mantap untuk menjalankan tugas sebagai pendakwah. Temui anda di sana.

Nasrudin bin Hassan
Timbalan Pengerusi 1
Lajnah Dakwah PAS Pusat.

www.perjuanganku.com
www.instagram.com/tantawy
https://twitter.com/tantawi100
tantawy08@yahoo.com



1. Saya orang baru dalam PAS. Menyertai PAS sebagai ahli di Kawasan Rompin Pahang pada tahun 1985, beberapa ketika selepas Tragedi Memali. Asas penglibatan saya dan sebahagian besar ahli PAS adalah kerana keberkesanan sistem pentarbiyyahan PAS selain dari faktor - faktor tambahan yang lain. Selepas era Kepimpinan Ulamak 1982, aktiviti Amal Tarbawi semakin rancak dan meninggalkan kesan yang mendalam kepada setiap ahlinya.



2. Namun saya sempat menikmati air tangan tokoh - tokoh seperti al Marhum Ustaz Yahya Othman, Al Marhum Ustaz Mawardi, Al Marhum Ustaz Musthafa Rusdi, Al Marhum Ustaz Abu Bakar Chik selain Tuan Guru Al Mursyidul Am PAS Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pulau Melaka dan Tuan Guru Presiden PAS Hj Abdul Hadi Awang di Rusila, yang merupakan antara tokoh Amal Tarbawi yang pernah berbakti mencetak anggota gerakan Islam dan kepimpinannya yang berkualiti di sepanjang sejarah penubuhannya.


3. Pastinya Amal Tarbawi yang diagendakan oleh mereka adalah warisan emas yang dipusakai pula dari orang - orang terdahulu. Saya menyedari fakta itu tetapi tidak mahir untuk meriwayatkannya. Saya sekadar membaca sejarah mereka untuk menyerap roh perjuangan yang digerakkan sejak awal penubuhan jamaah ini. Insyaallah, sahabat saya Al Fadhil Ustaz Dr Riduan Mohamad Nor adalah orang yang layak mengukir memori dan menatah sejarah gemilang Amal Tarbawi di sepanjang zaman menelusuri penubuhan PAS sebagai sebuah Gerakan Islam unggul di Malaysia.


4. Pengalaman saya sendiri, sejurus menamatkan peperiksaan SRP pada waktu (1985), saya mendapat suluhan tarbiyah dan bimbingan ilmu yang pertama melalui Tuan Guru Hj Abdul Hadi di Masjid Rusila sebelum saya bermukim di Madrasah Muhammadiah (Pondok Sungai Durian Kuala Krai Kelantan) untuk bertalaqqi di rehal Al Marhum Tuan Guru Hj Abdul Rahman. Tidak lama kemudian saya ditaqdirkan untuk meneruskan permukiman di Madrasah Ad Diniah Al Bakriah (Pondok Pasir Tumbuh) di bawah bimbingan Al Marhum Tuan Guru Hj Hashim. Kedua - dua pondok ini adalah antara pondok yang banyak membantu kekuatan PAS terutama di era 80an, khasnya di Kelantan seterusnya melahirkan para pejuang Islam yang bertebaran di seluruh negara.


5. PAS terus mara seimbang di pentas politik Malaysia dengan gerakan Tarbiyah, dakwah dan siasah. Saya masih ingat di akhir 80an, Ijtimak Kok Lanas dalam sebuah ladang getah yang dihadiri hampir seratus ribu peserta telah membugar semangat juang dan menyuntik motivasi Amal Tarbawi kepada ahli. Tentunya selepas itu saya turut berpeluang menghadhiri dua siri Ijtimak Alami Liwahdatil Ummah di Rusila Terengganu. Masih segar dimemori ini, angka pendaftaran saya pada Ijtimak Alami siri pertama pada tahun 1989 ialah ke 140K. Suatu Ijtimak yang telah berjaya mencetus gelombang kebangkitan ummah bersama perjuangan Islam dan akhirnya membantu kemenangan PAS di Kelantan bersama Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada pilihanraya edisi 1990.


6. Sepanjang tempoh itu, PAS sememangnya kaya dengan Amal Tarbawi yang diketengahkan melalui pelbagai aktiviti tarbiyah mingguan malah bulanan seperti Usrah, Tamrin, Mukhayyam, Ijtimak, Liqa Fikri, forum, kuliah dan ceramah. Semuanya menjadi medium semaada secara khusus mahupun umum untuk mendidik anggota jamaah dan masyarakat agar menyertai perjuangan suci menegakkan Islam di bumi tercinta ini.


7. Zaman Al Marhum Ustaz Abu Bakar Chik sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, sebuah unit sukarelawan yang diberi nama Unit Amal (dan kini dikenali sebagai Jabatan Amal Malaysia) telah ditubuhkan. Jabatan Amal ini pula mempunyai jambori tahunannya sejak awal penubuhan. Sdr. Cikgu Husin ( Timbalan Pengerusi Tetap PAS sekarang ) adalah penggerak utama Jabatan Amal ini sehinggalah beralih kepimpinan dan kini ia dikenali sebagai Tentera Merah yang banyak melahirkan tenaga sukarelawan yang sanggup meninggalkan kemasyhuran untuk bersama bahtera perjuangan Islam ini.


8. Dewan Pemuda PAS Malaysia terus diharapkan berperanan sebagai sayap penting mengemudi agenda mencetak pewaris bagi perjuangan besar ini. Ijtimak Tarbawi yang kini menjengah episod ke 4 adalah mata rantai Amal Tarbawi yang tidak pernah padam dari sejarah dan masa depan perjuangan Islam. Ia terus menggamit kerinduan anggota jamaah yang inginkan pengisian, bimbingan dan sentuhan sepadu antara Aqidah, Fikrah dan Syakhsiyah pula mencakupi 3 kategori selari iaitu Tarbiyah, Dakwah dan Siasah.


9. Insyaallah, dengan segala komitmen dan upaya yang dimiliki bersama rakan - rakan seperjuangan yang lain di bawah bimbingan Naib Presiden Kesatuan Ulamak Sedunia merangkap Presiden PAS Yb. Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, akan diusahakan satu lagi Ijtimak A'lami Liwahdatil Ummah (Himpunan Perpaduan Ummah Antarabangsa) buat kali ketiga di bumi Malaysia kelak. 


10. Harapan yang dibawa ialah menyemarakkan kembali Amal Tarbawi agar ia menyerap kesetiap urat nadi ahli jamaah ini dan sekaligus ia merupakan vaksin terbaik untuk menangani virus perpecahan dan krisis dalaman yang kian menular mutaakhir ini. Bukan sahaja kepada PAS tetapi vaksin ini akan disebarkan ke seluruh dunia melalui rangkaian Gerakan Islam yang ada agar turut terselamat dari virus yang sengaja disebar untuk merosakkan prestasi dan reputasi gerakan Islam di seluruh dunia terutama melalui jaringan media baru.


Nasrudin bin Hassan
Timbalan Pengerusi 1
Lajnah Dakwah PAS Pusat.


www.perjuanganku.com
www.instagram.com/tantawy
https://twitter.com/tantawi100
tantawy08@yahoo.com

0 comments: