Salah Faham Terhadap Ulama Haraki


NASRUDIN BIN HASSAN | .


1. Ulama yang terlibat dengan gerakan Islam dikenali sebagai Ulama Haraki. Iaitu Ulama yang aktif mengamalkan ilmunya dan menggerakkan kebangkitan ummah untuk mendaulatkan syariat Allah SWT di atas muka bumi tercinta ini.


2. Sifat haraki pula ialah pro aktif, responsif, kreatif, sensitif dan agerasif. Maka Ulama yang Haraki terdedah kepada teguran, kritikan dan nasihat terbuka dari pelbagai pihak. Sementelah berada dipentas politik terbuka di era globalisasi ini. Tanggapan ulama haraki ini tidak boleh ditegur dan dikritik lalu disamakan dengan kepimpinan mullah juga adalah fitnah berangkai yang tiada sudahnya untuk menjatuhkan reputasi dan prestasi mereka.


3. Ulamak haraki dalam PAS pula jelas kelihatan sifat keterbukaan mereka dalam menerima kritikan dalaman mahupun luaran. Mereka dihujani kritikan dan teguran yang keras dari pelbagai pihak. Bermula dari Al Mursyidul Am PAS dan ahli Majlis Syuranya sehinggalah kepada Presiden parti dan seluruh anggota Dewan Ulamak PAS Pusat juga negeri, mereka menyerap segala kritikan dan teguran itu dengan tabah dan cekal serta mengambil pengiktibaran dari sudut yang wajar.


4. Pengamatan saya, sesekali mereka tampil memberi penjelasan dan pencerahan di atas kekeliruan dan salah faham anggota parti dan masyarakat awam terhadap sesuatu isu, maka ia bukanlah bermaksud mereka tidak boleh menerima teguran dan kritikan. Sebaliknya mereka bertanggungjawab untuk mendidik dan membimbing ummah berasaskan ilmu Islam yang mereka bawa tanpa memperkecilkan teguran, nasihat dan kritikan membina yang dihantar kepada mereka.


5. Malah secara jujurnya, saya lihat perkembangan mutaakhir aksi para ulama haraki juga sebahagiannya hasil dari "ambil kira" teguran dan kritikan membina yang dihantar kepada mereka secara dalaman mahupun secara terbuka. Kepimpinan Ulama yang dipraktiskan dalam PAS sebagai sebuah Gerakan Islam unggul di Malaysia adalah sebuah kepimpinan yang sangat berkesan dan teruji khasnya apabila Negeri Kelantan mempamerkan skil dan skima pemerintahan di bawah Kepimpinan Ulama sejak 1990 yang lalu. Ia sangat dihormati dan disayangi oleh semua termasuk majoriti masyarakat. –HARAKAHDAILY 8/12/2014

Nasrudin bin Hassan ialah Timbalan Pengerusi 1, Lajnah Dakwah PAS Pusat

0 comments: