Selesai PAU, Umno Terus Ambil Tanah Rakyat

MUHAMMAD FAIZAL | .




KUALA LUMPUR: Walaupun Persidangan Agung Umno (PAU) yang lepas membincangkan isu membabitkan tanah bumiputera, namun parti yang dikatakan memperjuangkan hak bumiputera itu terus mengambil tanah rakyat dengan alasan pembangunan.



Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Nasaie Ismail berkata keputusan yang dibuat Kerajaan Negeri Melaka mengekalkan untuk mengambil tanah rezab Melayu di Kampung Sungai Jerneh untuk dijadikan empangan adalah tindakan tidak bertanggungjawab.


"Isu kehilangan 70 peratus tanah rezab Melayu menjadi topik hangat bermulanya Perhimpunan Pemuda Umno dan seterusnya Perhimpunan Agung Umno serta disebut Presiden Umno pada penggulungannya.


"Namun tindakan Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi Umno Melaka mengekalkan usaha kerajaan mengambil tanah kampung ini sehari selepas PAU berakhir menampakkan penegasan mereka dalam Perhimpunan Agung UMNO hanya satu lakonan semata-mata," jelasnya kepada Harakahdaily.


Mohd Nasaie turut berkata, kampung Sungai Jerneh merupakan sebuah kampung yang berusia 200 tahun dan rumah-rumah di kampung tersebut telah dibina sejak tahun 1830 lagi.


"Kampung ini mempunyuai nilai sejarah tersendiri, di kampung inilah pahlawan Melayu Dol Said berkubu pada tahun 1832 selepas tewas dalam pertembungan dengan Inggeris di Tabuh Naning.


"Bagi Pemuda PAS, kerajaan negeri sepatutnya membangunkan kampung tersebut dan menjadikannya sebagai produk pelancongan sejarah di melaka.


"Usaha mesti dijalankan agar kampung ini diikhtiraf oleh agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai tapak warisan dunia, sebaliknya tindakan untuk membina empangan adalah tidak sepatutnya," sambung beliau lagi.


Beliau yang turut menggesa jika Kerajaan Negeri Melaka ingin meneruskan juga pembinaan empangan  tersebut ia perlu dipindahkan ke lokasi yang tidak didiami penduduk apatah lagi perkampungan bersejarah.


Perkara ini disebut oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Idris Harun dalam berita Astro Awani semalam. – HARAKAHDAILY 3/12/2014

0 comments: