Sidang Khas Dun Bincang Kanun Jenayah Syariah


ASLANI M | .




KOTA BHARU: Persidangan khas Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan dijangka diadakan akhir bulan ini bagi memperkemaskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) (II).



Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, sebelum ini kerajaan negeri mewujudkan jawatankuasa kecil untuk menyemak EKJS (II) yang ada sekarang. 




Katanya, ada cadangan dikemukakan kepada jawatankuasa berkenaan bagi memperkemas dan memantapkan lagi enakmen tersebut.




“Enakmen itu sudah siap dan telah dibincang pada mesyuarat Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) 1 Disember lalu.




“Kemudian ia dibentang pada mesyuarat Lembaga Maik yang dipengerusikan Tengku Mahkota Kelantan sebagai Yang Dipertua Maik.




“Apabila mendapat persetujuan daripada dua jawatakuasa terbabit, kerajaan negeri akan mengadakan sidang khas Dun,” katanya di sini.




Sebelum ini Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob memberitahu kerajaan negeri akan membawa usul persendirian ke parlimen untuk membolehkan EKJS II dilaksanakan di Kelantan pada 2015.




Sebagai persiapan ke arah pelaksanaannya kerajaan negeri juga mewujudkan Jawatankuasa Teknikal Peringkat Negeri.




Mohd Amar berkata, Jawatankuasa Teknikal bermesyuarat lima kali dalam tempoh tidak sampai setahun.




“Banyak kemajuan diperoleh. Dalam tempoh itu kita juga telah mengadakan beberapa siri bengkel dan diskusi berkaitan pelaksanaan hudud.




“Antaranya muzakarah kaedah-kaedah pelaksanaan hukum hudud dengan mengundang mufti, hakim-hakim syarie, pakar undang-undang dan pakar perubatan dari seluruh negara,” ujarnya.




Program itu dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).




Kata beliau rumusan muzakarah itu telah siap termasuk memperincikan bagaimana hendak laksanakan hukuman. –HARAKAHDAILY 9/12/2014

0 comments: