Tahap Rasuah: NOW Anggap Malaysia Ketinggalan 10 Tahun

HARAKAHDAILY | .



KUALA LUMPUR: Kegagalan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengukur tahap rasuah menunjukkan Malaysia telah ketinggalan jauh lebih 10 tahun dalam usaha anti-rasuah berbanding masyarakat antarabangsa, kata Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW), Akmal Nasir.


Oleh yang demikian, katanya dalam satu kenyataan NOW menggesa SPRM untuk memulakan usaha menilai tahap rasuah secara sistematik dengan segera dan NOW sedia berbincang dan bekerjasama dengan SPRM agar Malaysia mempunyai kayu ukur tahap rasuah yang boleh digunapakai secara tepat dan telus. 


Berikut kenyataan penuh beliau.

Kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dalam sidang media mesyuarat Negara Anggota Asia Tenggara Memerangi Rasuah (Sea-Pac) yang menyebut bahawa tahap rasuah di setiap negara tidak boleh diukur adalah tidak bertanggungjawab dan memalukan negara.


Alasan yang diberikan oleh beliau: pengukuran tahap rasuah adalah subjektif dan sehingga kini tiada mekanisme untuk mengukur tahap rasuah di setiap negara. Ini menimbulkan persoalan bagaimana SPRM merangka gerak kerja anti-rasuah selama ini sedangkan perkara asas seperti pengukuran tahap rasuah yang sistematik masih gagal dilaksanakan.

 
Maka tidak hairanlah persepsi sinis rakyat yang percaya bahawa kegiatan rasuah masih berleluasa di Malaysia dan bagaimana rakyat hilang keyakinan terhadap usaha kerajaan membanteras rasuah. Ini jelas dinyatakan melalui Laporan Indeks Persepsi Rasuah atau Corruption Perception Index (CPI) 2013 oleh Transparency International yang menyenaraikan Malaysia di tangga ke-53, ketinggalan jauh di belakang negara jiran Asia dan Timur Tengah termasuk Singapura (5), Emiriyah Arab Bersatu (26), Qatar (28), Bhutan (31), Taiwan (36) dan Brunei (38).


Selain daripada ukuran persepsi masyarakat terhadap rasuah, National Oversight and Whistleblowers (NOW) ingin menarik perhatian SPRM bahawa usaha mengukur tahap rasuah secara bersepadu di peringkat antarabangsa telah dilaksanakan sejak tahun 2001 oleh Global Integrity, sebuah badan NGO antarabangsa di mana Laporan Global Integrity Report telah diterbitkan sejak tahun 2004. 


Setakat ini, Laporan Global Integrity Report telah merangkumi 35 negara yang mana usaha ini turut dibiayai oleh United Nation Development Program. Walaupun Global Integrity masih belum membuat kajian terhadap tahap rasuah di Malaysia, SPRM seharusnya tidak menunggu dan sebaliknya mengambil inisiatif untuk mempelajari dan menggunapakai mekanisme tersebut untuk mengukur tahap rasuah negara. 


Sebagai contoh, laporan tersebut menggunapakai prinsip menilai kewujudan, keberkesanan, dan akses rakyat kepada mekanisme anti-rasuah. Melalui kaedah ini, SPRM seharusnya mampu menilai isu seperti ketelusan dalam proses tender kerajaan, kebebasan media, keperluan pendedahan aset dan undang-undang terhadap mereka yang berkepentingan. 


Berikut adalah petikan daripada keadah Laporan Global Integrity:
 
An Integrity Indicators scorecard assesses the existence, effectiveness, and citizen access to key governance and anti-corruption mechanisms through more than 300 actionable indicators. It examines issues such as transparency of the public procurement process, media freedom, asset disclosure requirements, and conflicts of interest regulations.  


Kegagalan SPRM untuk mengukur tahap rasuah menunjukkan Malaysia telah ketinggalan jauh lebih 10 tahun dalam usaha anti-rasuah berbanding masyarakat antarabangsa. Oleh yang demikian, NOW menggesa SPRM untuk memulakan usaha menilai tahap rasuah secara sistematik dengan segera dan NOW sedia berbincang dan bekerjasama dengan SPRM agar Malaysia mempunyai kayu ukur tahap rasuah yang boleh digunapakai secara tepat dan telus. -HARAKAHDAILY 3/12/2014

0 comments: