'Tahniah Ustaz Rosli, Tonjolkan Sesuatu Yang Baru'


KHAIRIL ABDUL RAHIM | .





KUANTAN: “Tahniah Ustaz Rosli, paling kurangpun dapat tonjolkan sesuatu yang baru sebagai sebahagian daripada syiar Islam."


Demikianlah ucapan tahniah yang tidak putus-putus diterima oleh Adun PAS Tanjung Lumpur Ustaz Rosli Abdul Jabar yang mempelopor dan menganjurkan majlis perkahwinan beramai-ramai atau Walimatulurus Perdana semalam.


Mereka terdiri daripada 9 pasangan dalam Dun berkenaan yang diijabkabulkan di Masjid Kampung Soi pada sebelah pagi sebelum diarak ke pantai Kempadang dekat sini untuk diraikan.


Lebih 10,000 tetamu hadir memeriahkan majlis kenduri besar di pinggir pantai itu dengan tujuh ekor lembu dan 500 ekor ayam dikorbankan bagi menjamu mereka.


Bercakap kepada pemberita, beliau berkata inisiatif mengadakan majlis yang julung-julung kalinya diadakan di daerah tersebut timbul apabila ada bakal pengantin lelaki yang mengadu dan merungut kos perkahwinan yang tinggi antara sehingga menjangkau RM20,000.


“Dengan mengadakan program Walimatulurus perdana ini pihak penganjur hanya mengambil RM1,500 daripada setiap pengantin atau RM13,500 semuanya.


“Sementara kos keseluruhan dibelanjakan RM50,000, jadi selebihnya ditampung oleh pejabat Adun Tanjung Lumpur dan penderma,” katanya.


Rosli dalam pada itu merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pasangan pengantin yang memberi kepercayaan kepada pihaknya sebagai penganjur.


“Juga tidak lupa kepada Jabatan Agama Islam Pahang yang membantu dalam pengurusan akad nikah, pihak masjid Kampung Soi di mana majlis tersebut berlangsung, JKKK yang membenarkan majlis kenduri di pantai ini.


“Juga terima kasih kami kepada PAS Kawasan Kuantan, Amal Pahang, Sekretariat Dun Tanjung Lumpur yang bertungkus lumus dan akhirnya penyumbang-penyumbang yang ikhlas,” katanya.
Tetamu juga dihiburkan dengan alunan nasyid daripada pelajar-pelajar Darul Fikri. - HARAKAHDAILY 1/12/2014

0 comments: