Tak Sampai 30% Janji Pilihraya Dilaksana BN - Nizar

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .



IPOH: Kerajaan Negeri Perak digesa memberikan penjelasan adakah telah melaksanakan segala janji yang ditaburkan dalam Manifesto BN menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, manifesto yang diumumkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir pada ketika itu mengandungi 82 'janji manis' namun ianya masih belum direalisasikan oleh kerajaan walaupun sudah 20 bulan memegang tampuk pemerintahan.


Menurutnya, hasil daripada pemerhatian dan kajian pihaknya, sehingga ini tidak sampai 30 peratus daripadanya telah diselesaikan serta dilaksanakan oleh kerajaan negeri.


"Sepanjang hampir 20 bulan pemerintahan BN, berapa banyakkah daripada 82 aku janji dibuat yang telah dicapai atau dalam proses perlaksanaan?


"Pelbagai janji seperti Simpanan Amanjaya sebanyak RM200 bagi setiap anak yang dilahirkan, had pendapatan isi rumah bagi kelayakan dermasiswa dinaikkan daripada RM1200 kepada RM3000, menaiktaraf perkhidmatan bas rakyat bagi setiap daerah, mewujudkan pusat jagaan harian kanak-kanak di setiap jabatan dan agensi kerajaan, meningkatkan peruntukan kepada Orang Asal sebanyak RM3 juta, membina 15 ribu rumah mampu milik dan banyak lagi.


"Saya harap Pangkor (Dr Zambry) berlaku jujur dalam menyatakan sama ada janji-janji ini telah atau sedang diselesaikan," katanya ketika membahaskan Bajet Perak 2015 dalam Persidangan Dun Perak, dekat sini hari ini


Mantan Menteri Besar Perak itu menjelaskan, Perak masih berhadapan dengan kemelut kemiskinan yang berpanjangan khususnya dari kalangan orang Melayu di luar bandar. 


Ujar beliau, angka 5,000 keluarga miskin tegar di negeri itu adalah sangat 'keterlaluan' namun di dalam belanjawan negeri tahun hadapan tidak dibentangkan kaedah penyelesaiannya.


Jelas Mohammad Nizar, kaedah lama seperti Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) tidak menunjukkan keberkesanannya dalam usaha mengurangkan masalah kemiskinan tersebut.


"Kerajaan negeri perlu meneliti setiap perjanjian jangka panjang yang termeterai dengan agensi-agensi besar dan mega seperti Felcra, Felda, Plus, TNB dan sebagainya yang bertapak di negeri ini.


"Kita boleh mendapat manfaat daripada penglibatan serta keberadaan mereka di negeri ini, keuntungan yang mereka peroleh perlu disalurkan kepada Kerajaan Negeri Perak seterusnya diagihkan kepada rakyat," jelasnya lagi. - HARAKAHDAILY 9/12/2014

0 comments: