Terminal Bas Tudan Jadi Projek Gajah Putih?


JOFRI JARAIEE | .


MIRI: Terminal Bas Tudan dalam kawasan Senadin yang sudah lama dibina dan menelan belanja jutaan ringgit sehingga kini masih belum beroperasi sepenuhnya. Ia sudah jadi projek gajah putih dan membazirkan wang pembayar cukai.
Tujuan utama terminal itu sepatutnya berfungsi sebagai hentian sementara untuk bas ekspres interlokal daripada Sabah dan Brunei. Kawasannya agak jauh dari pusat bandar lantas menyebabkan penumpang tidak ramai menggunakan perkhidmatan bas ekspres ke terminal itu. Mungkin juga kawasan Terminal Bas Tudan tidak memberi kemudahan  untuk orang ramai singgah ke pusat bandar dan jauh dari tempat kediaman menyebabkan ia mendapat kurang sambutan orang ramai.
Antara lain mungkin juga disebabkan ramai pengusaha bas ekspres di negeri akan menghentikan operasi tidak lama lagi sekiranya kerajaan tidak campur tangan untuk membantu mereka dalam menghadapi kegawatan ekonomi dan persaingan sengit.
Seperti yang dilaporkan dalam akhbar tempatan, Pengurus Besar Miri Transport Company Sdn Bhd, Yeo Yow Shun berkata mereka dan lain-lain pengusaha telah mengalami penurunan sebanyak 20 hingga 25 peratus dalam jumlah penumpang dan jika ini berpanjangan mereka perlu “menutup kedai”. 


"Kami akan menghadapi nasib yang sama sebagai pengusaha bas berhenti-henti, jika kerajaan tidak campur tangan untuk membantu dengan meningkatkan subsidi diesel dan kuota," katanya. 



Miri Transport Company Sdn Bhd terpaksa menarik diri daripada enam laluannya pada awal tahun ini. Dua pengusaha bas adalah Miri Belait Transport dan Miri City Bus.
Masalah pengangkutan di bandaraya Miri juga semakin teruk disebabkan kurang penumpang dan banyak tempat laluan operasi telah dihentikan. Akibat mengalami kerugian dari penurunan muatan penumpang dan peningkatan kos operasi telah menyebabkan mereka menamatkan perkhidmatan bas di sepanjang laluan untuk Maktab Perguruan Sarawak (11), Riam-Lapangan Terbang (22, 28), Lambir (24), Pujut Corner / Hospital (33A, 20), Piasau Link / Piasau Garden / Piasau Utara (42) dan Krokop (44).
Kami mengesa pihak pengusaha bas boleh meneruskan perkhidmatan pengangkutan awam dengan menggunakan bas mini sebagai ganti untuk memenuhi pemintaan pengguna yang masih memerlukan pengangkutan awam dalam kawasan perumahan yang tiada perkhidmatan pengangkutan awam.
Walaupun satu cadangan telah diutarakan untuk menubuhkan pasar lambak baru di Terminal Bas Tudan bagi menempatkan sementara waktu sekumpulan penjaja yang telah berdagang secara haram di E-mart dan kawasan Senadin namun ia mendapat kurang sambutan orang ramai.
Juga dicadangkan bagi penduduk yang tinggal di bahagian utara bandar berikutan kejayaan pasar lambak yang pertama di perkarangan tempat letak kereta pusat sivik di sini setiap hari Ahad tapi masih tidak menarik perhatian orang ramai.
Oleh sebab masalah pengangkutan awam di Miri juga semakin gawat, maka pihak kerajaan sepatutnya menggunakan bas terminal itu sebagai kawasan perhentian bas ekspres interlokal dengan membina infrastruktur bagi memudahkan penumpang singgah untuk makan, solat, membeli buah-buahan, kraftangan dan barangan buatan tempatan sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing. Mungkin ini akan menarik pelancong dari dalam dan luar negara untuk menikmati cita rasa makanan tempatan apabila mereka singgah sementara sebelum meneruskan perjalanan.
Ini secara tidak langsung boleh memberi sumber pendapatan kepada penduduk setempat daripada terus membiarkan terminal bas itu terbiar begitu saja. Dengan caj yang murah serta berpatutan sudah pasti ramai yang akan menjual barang dagangan mereka di situ.
Kami mengesa pihak berkuasa tempatan mengkaji semula tujuan sebenar pembinaan Terminal Bas Tudan itu agar ia boleh memberi manfaat kepada pengguna dan juga penduduk di sekitar kawasan Tudan dan Senadin. Kita tidak mahu ia terbiar begitu saja dan menjadi projek gajah putih yang hanya merugikan wang pembayar cukai. –HARAKAHDAILY 12/12/2014

0 comments: